Wednesday, May 25, 2011

Ibu: antara santun dan mulia

bagi seorang saudagar emas permata, kurnia terbaik baginya mungkin para pelanggan yang kaya-raya membeli jualannya. pelanggan yang membeli,lantas membawa pulangan yang lumayan kepada si saudagar, buat membina mahligai dan sebagai tabungan untuk anak dan isteri-isterinya. lalu dengan itu sang saudagar berbudi dengan menjamin hidup keluarga di masa depan.

bagi seorang petani pula, mungkin sebuah kurnia baginya apabila hujan turun menyubur tanah buat menumbuh-besarkan tanamannya. maka dengan tanaman itu dia bisa menyambung kehidupan, menyuap nasi kepada keluarga serta memberi pendidikan kepada anak. lalu dengan itu sang petani berbudi kepada sebuah kehidupan.

namun bagiku, kurnia terhebat bagi seorang insan yang kerdil dan buta sepertiku hanyalah islam dan itu sahaja sudah terlalu indah bagiku. kerana dengannya telah membuat aku 'hidup bernyawa' dan bangkit dari kematian yang panjang. dengan islam, masa depanku terjamin, dan hari-hariku sentiasa bermakna kerna budi Islam atas diriku.

aku masih ingat satu ketika dulu, betapa bencinya aku dengan sebuah taqdir yang begitu menyakitkan. ketetapan Tuhan yang terlalu ingin kumusnahkan dari kanvas perjalanan hidupku satu masa lalu. ketetapan yang tak mampu aku pilih, apatah lagi dapat aku ubah. itulah dia sebuah taqdir pedih, bahawa aku ini terlahir dari rahim seorang wanita yang menderitai skizofrenia.

semasa kecil, -entah kerana apa- aku memanggilnya dengan gelaran 'kakak' tapi bukan 'mak'. Yang kugelar 'mak' adalah nenek, dan aku amat berharap aku adalah anak nenek. masih segar di ingatan, aku amat benci jika dihadapkan dengan soalan-soalan dari ibu dan bapa saudara (adik-beradik mak) yang bergurau -sambil mendidik, barangkali- "eh, itu bukan kakak awak laa, itu mak awak.. ni mak kite (sambil menunjuk kepada nenek)". aku akan meraung semahu-mahunya untuk menafikan hakikat itu.

namun hakikat tetap hakikat, dan ia suatu kebenaran yang takkan mungkin berubah. semakin aku meniti usia remaja, aku semakin faham bahawa mak adalah ibu, dan itu takkan berubah sampai bila-bila.

aku cuba menerimanya seadanya, namun hatiku tidak pernah ikhlas setulus-tulusnya untuk menerima mak sebagai ibu yang bertakhta di hati. tambahan pula, dek kerana skizofrenia yang dihidapinya, mak tidak begitu ambil pusing dengan sekeliling melainkan dirinya dan abang yang dipelihara dengan tangannya sejak lahir, yang sentiasa tagging dengannya sehingga usia abang sekita 7-8 tahun aku kira.

begitulah kehidupanku, dan pendidikan agama dari datuk dan nenek serta sekolah telah membuatkan aku sedikit siuman. siuman, dalam erti kata cuba melayani dan memberi hormat kepada mak sekadar yang sepatutnya.

namun tiba-tiba, di saat aku paling jauh dengan Allah dan semuanya, islam datang mengetuk pintu hatiku. siapa sangka, di bumi peti sejuk itulah aku tiba-tiba terlahir sebagai orang baru. tika itu, bersama dinginnya bayu yang menyelimuti kulit, islam mulai meresap masuk ke seluruh sendi dan denyut jantungku. cahayanya tak mampu aku tangkis lagi, lantas aku tenggelam dalam asyiknya berkenalan dengan satu-persatu hakikat islam yang sejati. aku memahami erti sebenar keislamanku, dan betapa besarnya nikmat yang sedang aku junjung ini.

dan salah satu hakikat yang diajar oleh islam ialah wajibnya 'jihad'. jihad, dalam erti kata berusaha sekeras-kerasnya untuk meninggikan islam. jihad yang luas dan merangkum pelbagai jenis usaha, tidak hanya pada perang. dan dan aku terpana atas hakikat wajibnya jihad atas semua mukmin, tetapi kewajiban itu terangkat apabila tergalas tanggungjawab memelihara dan memuliakan ibu!!

aku bersyukur diberi peluang oleh Allah a.z.w.j untuk mendapat sentuhan seorang pendidik yang amat-amat menjadi qudwah hasanah buatku dalam islam, dakwah dan kehidupan. dan yang paling mengesankan buatku ialah bagaimana dia memuliakan ibunya berbanding selainnya. bagaimana dia mendahulukan ibunya dan memberi KHIDMAT terbaik buat ibunya, namun tetap memberi KHIDMAT terbaik buat dakwah. darinya aku belajar dan mulai menghayati hakikat yang paling pedih namun bertukar menjadi indah-- hakikat memuliakan ibu...

dan aku bersyukur, dihidupkan oleh Allah kembali, dan bertemu peluang emas untuk memberi khidmat buat ibu. walau hanya sekejap, walau bukan paling baik dan penuh compang-camping, kumohon agar diterima oleh-Nya... walau mungkin beratnya hanya seperti sebutir pepasir yang tidak terpandang atau malah lebih ringan, namun aku berdoa agar Allah Al-Latif akan mengampuni dosaku ke atas ibu, dan menemukan kami kembali di suatu tempat, di mana kami dapat bersenang-senang atas tandu yang bersalut haruman kasturi...

ya Allah, rahmatilah ibuku, berikanlah dia keamanan jiwa dan kerehatan hakiki.. gantikanlah baginya apa yang telah Kau ambil darinya dahulu.. mak, dikaulah kenangan terindah bagiku.....

~in memory of Hapsah Ibrahim, R.I.P 13 April 2011... semoga syurgalah tempatmu~