Thursday, February 19, 2009

rindukah?

alangkah indahnya jika aku dapat bermalam
di sebuah lembah dikelilingi rerumput menghijau dan tumbuh-tumbuhan bugar
dapatkah suatu hari nanti aku merasai kembali air kolam Majannah?
dapatkah aku kembali menyaksikan gunung Shammah dan Tufail?

syair sayu Bilal bin Rabah tika hatinya begitu kuat dicengkam rindu tanah yang ditinggal pergi...


Suatu ketika Rasulullah s.a.w terdengar kata-kata Usail mengungkapkan keindahan Mekah, lalu air mata baginda mengalir... Sabdanya;

"Usail, biarkanlah hati-hati ini tenang..."


Rindu. Mengheret hati memburu ketenangan.
Hati, tenanglah.
_________
1) terjemahan syair di atas dipetik dari risalah IHAB

Saturday, February 07, 2009

sila

salam. sedikit pencerahan buat yang beramal dakwiy;


sila klik

Friday, January 30, 2009

Usrah? Eeeek!

Suatu petang, di hadapan masjid setelah bersolat asar, lelaki kacak berjanggut yang wajahnya bercahaya datang merapat, lalu memberi salam. Ukhti terkejut, tidak menyedari hadirnya jejaka itu dari belakang.

"Eh, abang dah sudah solat? Tak perasan plak abang datang. Terkejut adik." Adik
"Ha ah. Eh, cantik sticker? Tak perasan adik bubuh kat keter adik" Abang.
"Yup, aritu dapat org bagi free. Diorg buat utk perhimpunan Falastin" Adik.
"Ada lebih? Abang nak satu, tampal kat kete. Save GAZA" Abang.

Ukhti pun mengeluarkan sticker lebihan dan menghulurkan kepada abangnya. Sambil tu sempat si abang berbual;

"Haritu ada program kat tempat abang. Tengtibe jek ustaz PQRS talipon malam sebelum tu, bagitau esoknya ada ceramah Palestin. Ape la ustaz tu tak bagitahu awal. Boleh tolong mana patut. Ni dah dekat program baru nak bagitau"
"Ooo.. Camana nak bagitahu awal, biasanya orang bagitau masa usrah. Pegikla usrah yang ustaz PQRS tu ajak"
"Hmm. Abang nak buat kerja amal je. Tak perlu kot pergi usrah. Bukan nak meningkat dalam tanzim yang entah apa tuh"

Wah. Jejaka kacak berjanggut ini banyak pengetahuan nampaknya.

"Ha ha. Ikut usrah untuk meningkat dalam tanzim? Yang bener ini? Adik ikut usrah kerana nak usrah. Bukan nak yang pelik2 tu."
"Kalau setakat buat amal kebajikan tu abang nak lah. Ikut usrah-usrah ni nanti kena brainwash ke apa. Not my style la."

Ukhti terkedu, begitu rupanya pandangan orang tentang usrah dan insan sekitar perkataan usrah ni. Untuk mengelakkan kekeruhan buat kesekian kalinya, Ukhti tersebut hanyalah berdiam diri lantas mengubah topik perbualan.

"OK la abang. Adik pegik dulu. Jumpa hari adik anto mak nanti ea. Tata. Assalamualaikum"
Si adik bersalam dan mencium tangan si abang, kemudian meluncur laju menaiki Hadhrak meninggalkan masjid dengan perasaan tak-tau-nak-explain-macamana-lagi-dah.

kesian ukhti tu.
Buat apelah nak usrah-usrah ni?
nak jadik mi-litan?
jadik orang baik sudah la.
takyah la eskrim sangat. wasatiyah...

kite berikan kepada Ustaz ABCD lah jawap.
jawap sikit ustaz... [klik la, jangan tak klik].

Wednesday, January 28, 2009

feeling-feehiling

adik,
tiba masa kau sendiri
tatihanmu bukan lagi dengan pimpin tanganku
jatuh bangunmu bukanlah lagi depan mataku

masih teringat waktu dahulu
sedikitnya kita bukan penghalang
kurangnya kita bukan kekurangan
mana yang banyak sama kita kongsikan
mana yang sikit sama kita rasakan
segala yang susah kita usahakan
apa yang mudah kita teruskan...

adik,
kalaulah kau tahu
adakalanya berbunga-bunga hari silamku
adakalanya begitu kelamnya hari-hariku
semua dengan adanya kamu
semua kerana adanya kamu
hadir kalian mencalit warna-warna hidupku
memberi harapan kepada 'rumah teduhanku'
membawa siraman kepada maraknya api
yang menjahanamkan rumah kita yang sedang terbakar ini...

adikku sayang,
aku telah bertemu cahaya
dari lilin para guru yang menghulur kepadaku
lalu aku jaga cahaya itu penuh hati-hati
walau terkadang cahayanya seakan mahu malap
dan aku kongsikan cahaya itu denganmu
agar jangan kau ulangi menempuh zulumat
menghitam pekat hatimu sepertiku dulu...

dari saat gelap hitam kembaraku
lalu dicahayakan dan ditunjuki jalan
lalu kini kucuba lakukan yang sama untukmu
walau sedar diriku punyai sejuta perkara yang kurang
namun tetap kucuba pastikan
lilin yang diberikan kepadaku terus marak nyalaannya
agar dapat terusku membakar lilin buatmu, adikku..

tika itu,
saat aku mula kembara sendirian
aku tahu satu hari aku perlu melepaskanmu dari tatihan
aku tahu kau perlu berjalan dan berlari sendirian
agar kau belajar mempertahan jalan ini
agar kau belajar menghargai nikmat ini
nikmat keberadaan di jalan ini
nikmat jatuh bangun di jalan ini
nikmat jalan dakwah, jalan kita ini..

adikku, kesayanganku,
betapa hatiku berdebar gusar melepaskan tanganku
betapa aku takut membiarmu sendiri
merencana nasib sendiri
menilai-nilai jalan kiri dan kanan secara bersendiri
namun aku tahu
inilah masanya melepaskanmu

telah dibekalkan safarmu dengan kata azimat
telah disematkan di dadamu dengan al-hikmah
telah diperkenalkan padamu al-Furqan
maka berjalanlah, berlarilah
walau jauh dariku, pergilah
pergilah
pergilah...

semoga suatu hari nanti
kamu dan aku bisa berkumpul semula sebagai satu
untuk berlarian bersama sekali lagi,
mencari jiwa-jiwa untuk dicahayakan

atau mungkin jika tidak
moga waktu itu sudah tiba masanya untuk bersama
menikmati indah kampung yang menghijau malar
meneguk air sungai yang nyaman segar
bersenang-senang dengan para wildanun mukhalladun
membawa hidangan-hidangan..

adikku,
terbanglah semahumu
namun jangan kau kaburkan tempat kembalimu nanti...

saz
fatehbangi
::disinisegalanyabermula::
1:40pm

Sunday, January 18, 2009

KITA dan FALASTIN

Assalamualaikum wrm para pembela agama sekalian..


Gaza dalam bahaya. Falastin yang telah lama dilanda bencana kini menjadi tumpuan media. Sana-sini orang berkempen, demonstrasi, berkumpul secara besar-besaran, malah ikhwah sibuk berceramah siang malam semata-mata ingin mengambil peluang keemasan ini untuk menceritakan dan 'mendidik' masyarakat tentang Falastin. Alhamdu Lillah wa Masha Allah.

Keparahan keadaan masyarakat Falastin memang telah sedia dimaklumi bukan sekadar dua-tiga minggu kebelakangan ini sahaja, malah penindasan dan kekejaman Israel dan Amerika telah sekian lama dalam pengetahuan kita. Sejak 1948, isu ini tidak pernah surut. Kekejaman dan kebengisan Yahudi memang telah lama terpampang, dengan 80 resolusi PBB yang dibuat semenjak dahulu sememangnya tidak pernah satu pun dipatuhi Israel. Semua itu sudah sejak sekian lama diketahui umum. Tetapi kali ini -dan sesungguhnya Allahlah yang mengaturkannya- masyarakat dengan tiba-tiba kelihatan lebih terpukul dan turut sama terjun ke dalam arus 'peduli Falastin' ini. Sentimen yang dimainkan media negara kita begitu memuncak, sehingga isu ini sepanas isu karikatur Nabi; malahan jauh lebih hangat lagi. Semua lapisan masyarakat kelihatan begitu bersungguh-sungguh ingin mengambil berat isu Falastin ini, dan turut serta dalam segala kempen, boikot, demo dan sebagainya. Lalu bagaimana pendirian kita sebagai "du'at qobla kulli syaik"?


Kita du'at mengatasi apa sahaja tugas yang lain

Kita semua sedia maklum, tugas kita sebagai du'at bukanlah dilandasi oleh berita-berita hangat semasa atau banjir-banjir tsunami yang melanda sekali sekala. Keterlibatan kita dalam dunia dakwah dan mentarbiyah rijal-rijal ini bertitik-tolak dari kefahaman terhadap keadaan ummah dan watan sekarang, yang telah sekian lama kehilangan seorang Khalifah meneraju seluruh umat Islam sedunia.

Umat Islam; dari Maghribi hingga ke Indonesia, malah sekarang meliputi benua Amerika hingga ke Australasia, kini dalam keadaan berpecah belah dan meroboh. Setiap inci watan kita sudahpun diracuni idea-idea nasionalis yang menyebabkan keterikatan ummah bukan lagi kepada Islam tetapi kepada tanah-tanah yang dipecah-pecahkan oleh perbatasan dan sempadan. Maka, seharusnya tugas sekarang ialah kita mencari dan menyedarkan rijal-rijal yang kehilangan taringnya agar kembali bangun dan mendasari perjuangan ummah membangunkan semula khilafah yang hilang!

Seharusnya tugas menceritakan qodhaya ummah ini telahpun lama kita jalankan demi memahamkan dan mendidik rijal-rijal. Tidak sepatutnya kisah saudara-mara Falastin kita hanya rancak diheboh kesana-kemari hanya sesudah media memainkan sentimen-sentimen tertentu yang barangkali didalangi oleh orang-orang berkepentingan! Bagaimanalah nanti setelah sejuk isu ini, akankah ia seperti isu banjir? Banjir menyurut, maka kita pun turut sama surut dalam berdakwah?


Akhawati fillah,

Kita ini bertemu atas jalan dakwah ini kerana ingin membina semula kegemilangan Islam yang telah punah dirobohkan oleh tangan-tangan keji. Kita telahpun mengikat ikrar setia untuk membina rijal-rijal agar 'Rumah Teduhan' kita yang sedang marak terbakar ini dapat diselamatkan dan kembali menjadi naungan seluruh alam. Syahadah al Haq kita harus telah lama memanaskan dan terus-menerus membakar marak nyalaan semangat kita untuk menumpukan seluruh tenaga dan usaha kita dalam melaksanakan dakwah kita. Kerja kita bukan bermusim. Tugas kita takkan pernah surut. Tidak akan ada erti henti dalam dakwah kita, selagimana Rumah Teduhan kita tidak dapat diselamatkan! Walau apapun cerita dan 'ledakan berita' dalam arus masyarakat kita, kembalilah kepada titik tolak asal perjuangan kita--kita ini berjuang mencari rijal untuk mengembalikan khilafah yang telah hilang.


Jalannya adalah ISLAH

Sedarlah saudaraku! Hanya dengan kembali kepada Allah dan melakukan islah serta amalan soleh sajalah yang bisa membantu dengan sebenar-benar bantuan. Kita takkan dapat mengembalikan kegemilangan Islam dan kemakmuran yang dibawanya, dengan hanya menghantar kontena-kontena ubat dan makanan atau dengan huluran barang seringgit dua. Tidak dinafikan, bantuan material seperti amat penting kepada saudara-mara kita di Falastin, namun percayalah bahawa Islam takkan tertegak hanya dengan sadaqah dan derma kedalam tabung Falastin. Kita mahu yang lebih dari itu. Kita mahu rijal-rijal dan jundiy-jundiy untuk mempertahankan agama ini!

Ingatlah hadith Thoifah... Tidak akan berlaku hari Qiyamah sehingga orang-orang islam memerangi orang Yahudi hattakan batu dan pokok-pokok pun turut memanggil2 memberitahukan kewujudan orang Yahudi menyorok dibelakangnya (Au kama qaal). Takkanlah kita hanya mahu biarkan orang Falastin sahaja berjuang mati-matian dan kita pula hantarkan bantuan kain kafan buat mereka? Ingatlah! Sebahagian mereka sudahpun bersenang-senang di atas pelaminan, duduk bersama pelayan-pelayan suci! Ringgit kita belum tentu cukup untuk dihantar menjadi mahar daerah syurga!!! Mereka menghantar anak, mengirim nyawa, takkanlah kita hanya mengirim ringgit saja?


Jadi Siapakah Rijal?

Persoalan ini bukanlah soalan yang boleh dijawab dengan 'bertele-tele' tanpa asas. Rijal bukan saja merujuk kepada 'budak lelaki' seperti maksud literalnya. Rijal adalah para pembela agama, tidak kiralah lelaki mahupun perempuan yang mahu menegakkan islam dalam dirinya dan memilih jalan perbaikan (islah) sebagai jalannya. Dr Abd Karirn Zaidan menggariskan beberapa ciri RijaludDakwah ini; rijal harus memiliki kefahaman yang mendalam, keimanan yang mantap dan hubungan yang intim dengan Allah Ta'ala. Atau dengan kata lainnya kita perlu mempersiapkan rijal-rijal yang memiliki persiapan dari sudut aqliyah, ruhiyah dan harakiyah. Maka siapakah yang akan menanggung tugas berat mencari rijal sebegini ini, jika kita tidak melakukannya secara berfokus? Fikirkanlah!


[Peringatan ini tidak lebih hanyalah buat diriku yang terkadang lupa... Harus lebih laju berlari!]

Saturday, January 10, 2009

Bumiku


Falastin bumiku
Maafkan aku
Kerana jika dalam seribu nikmat yang diberikan
Bangsaku lelah menghulurkan walau satu

Aku terkapar melihat erti juang
Yang terkadang dimaknakan
hanya pada kain-kain rentang
pada baju-baju dan tulisan
ji-hadku dan bangsaku kadang-kadang
hanya pada cakap-cakap dan kertas buku

Falastin bumiku
entah bilakah kau akan kusebut 'kampungku'
akankah kami terus-terusan mempertahankan watan
kerana aku dan bangsaku juang umpama banjir
Banjir surut, perjuangan pun hanyut...

SAZ-jb
855pm

Friday, January 02, 2009

Bukti Cinta

Ya Tuhan Kami...
Apalah yang dapat kami tunjuk pada-Mu
Sebagai bukti cinta kami kepada-Mu

Amal kami tak seberapa
Solat malam kami entah yang bagaimana
Tilawah dan tadabbur kami macam manalah agaknya
Dakwah kami entahkan kepada siapa
Ji-had kami ke manalah halanya...

Ya Tuhan Kami...
Saat kami jatuh tertimbus fail-fail
Letih kami berjuang dengan laptop dan komputer
Sejuk kami dek hawa pendingin udara
Mereka pula jatuh tertimbus batu-batu
Letih mereka berjuang demi sebuah watan
Sejuk tergigil hilang rumah dan khemah,
Kebulur kelaparan dek kurang makan
Mati akhirnya kerana peledak dan senapang-senapang..

Saat mereka jerit sahut-sahutan
Allahu Akbar Allahu Akbar
Kami pula berdendang nasyid sahut-sahutan
melaungkan "Allahu Akbar, Alhamdulillah, syukur"
Sambil duduk menikmati secangkir teh
Menjamu selera, sebelum terus menyiapkan kerja
Duduk dan duduk, menikmati udara dari pendingin hawa.

Tika mereka berhibur dengan bidadari suci dari syurga,
Kami terus-terusan terhibur dengan astro dan channel-channelnya.

Epilog Palestin
SAZ-jb
1.33am

Tuesday, December 30, 2008

Mahar Syurga


Tuhan
Dikirimkan maharnya ke daerah sana
Sebagai bukti saksi keramat
Lamarannya terhadap syurga
Inginnya terhadap salsabila
Mahunya terhadap kauthar
Rindunya memakai sutera hijau
Asyiknya bersanding di pelaminan
Dikelilingi pelayan-pelayan suci bermata jeli

Ya Rabb
Maharnya tak seberapa
Hanya seorang bayi mulus
Yang sebenarnya pinjaman semata
Kini dipulangkannya semula
Dengan satu ucapan belasungkawanya;
Terimalah! Terimalah!

Gema di hatinya;
Anakku, berbahagialah engkau di sana
Nantikan Abi di taman syurga
Kuhantarkan engkau dahulu
Tunggulah, doakan Abi menyusulmu!

~Epilog Palestin~
SAZ
6.32 jb

*Gambar dari Utusan Malaysia

Monday, December 15, 2008

Kembara Jakarta 2




Sudah usai enam hari ana bermukim di kota Jakarta ini. Kota ini memang kota yang sarat dengan kepulan asap, namun juga penuh mengandungi kepulan didikan dari Maha Pendidik. Enam hari banyak memberi pancaran insaf di hati, seraya menyuntik hamasah agar terus-terusan menapaki lorong-lorong ini, terus kuat membina paradigma baru dunia. Semuanya demi merubah gerhana kepada dunia islam kini. Mencari-cari manakah lagi hati yang harus diikat dengan ukhuwah dan iman, agar dapat terusku berlari bersamanya hingga akhir hayat nanti biiznillah.

Melihat segenap pelosok lorong-lorong sempit berhias longkang berlumut tegar menghitam, sambil mengerling kepada jutaan kelompok manusia gigih mengharung hari-hari demi sesuap nasi, ana kira inilah tazkirah yang paling besar. Bilamana manusia hilang punca matlamat kehidupannya, maka membesarlah mereka untuk menjadi tua dalam kepayahan memenuhi kemahuan al hawa'.

Teringat pesan seorang ustaz; hidup di luar negara hanya akan mendesak kita menjadi satu antara dua--sama ada memilih jalan kebenaran atau akan menjadi bahkan semakin larut dalam kesesatan. Itulah dia hebatnya penangan kota ini, bisa menyesatkan atau bisa juga membawa ke sisi cinta sejati Ilahi.

Sekali-sekala mengharung lautan jutaan manusia yang kebanyakannya menggalas hati yang belum hidup--semoga Allah menjauhkan kita dari keadaan mati hati-- hati ditebak rasa sayu. Tuhan, terlalu banyak tugasanku, apa mampu kuharungi segalanya dalam istiqomah, sehingga harinya aku Kau jemput ke sisi-Mu demi hirupan-hirupan salsabila dan kauthar. Merasai jamahan anggur dan bersenang-senang dengan yang bermata jeli.

Kelmarin, ana berkesempatan menjengah kota Bandung. Kota ini punyai udara yang sedikit dingin, dan hiruk pikuknya juga tidak seteruk Jakarta. Segalanya sedikit berlainan, namun ada satu yang tetap sama--mujahadah untuk meneruskan kehidupan di sini tetap perlu maksima! Pelajar di sini perlu bersesak di dalam Angkot (kependekan kepada Angkutan Kota) atau bajaj (disebut bajai) untuk sampai ke kuliah. Hidangan tengahari atau malam yang menjimatkan pula perlu dibeli dari dorongan-dorongan (read: gerai kecil yang dibuka tepian jalan, yang disorong kesana-kemari)yang belum tentu dapat dipastikan bebas pencemaran. Jalan rayanya juga kerap macet (read: jam). Masha Allah, semoga semuanya yang kutemui di sini akan terus gagah mengharungi hidup. Moga Allah memberi kebaikan yang besar melebihi sekadar butiran mutiara ilmu. InsyaAllah =)


Sesungguhnya setiap yang baik itu dari-Nya dan yang sebaliknya itu dari kelemahan diri ana sendiri.

Wednesday, December 10, 2008

Kembara Jakarta 1

Perjalanan hari ini terasa panjang. MashaAllah, terkadang merasakan Dia itu barangkali sengaja menjentik hati untuk tegar kuat memegang tawakkal kepada-Nya.

Perjalanan dimulakan jam 8.30 pagi dari rumah, dan lebih kurang jam 10.30 pagi sudahpun berada di dalam S’pore MRT menuju Changi. Semuanya berjalan lancar hinggalah tiba di kaki kaunter daftar masuk di Changi Airport. Tiket ana tak dapat dikeluarkan kerana ana gagal menunjukkan kad yang digunakan sewaktu pembayaran! Beberapa panggilan ke Jakarta dibuat, dan memang pegawai di kaunter enggan memberi izin daftar masuk walau sebenarnya masalah yang disebutkan itu memang tiada!

Perasaan yang sedikit panas akhirnya menjadi surut; bukan kerana selesainya masalah, tetapi kerana lamanya menunggu. Teringat pesan mak murobbiah lama: gelora akan tenang setelah beberapa masa, kerana masa itu adalah pegubat.

Akhirnya, ketika semua orang sudahpun selesai check in, dan ana sudahpun memuhasabah diri berjela-jela di dalam tafakur selama lebih sejam, ana mendekati kaunter dengan perasaan sepenuh tawakal dan titisan airmata di pipi. “Is there anything you can do? Please don’t say that I cannot board on the plane…” Makcik kaunterpun menyuruh proceed ke kaunter lain, dan tiba-tiba pegawai di situ tersenyum simpul meminta maaf atas prosedur yang menyusahkan itu. Ana dibenar check-in, entah kenapa. Terasa begitu dekat pemerhatian-Nya kepada hati ini, memeriksa tawakkal dan membetuli niat hati.

Dan, akhirnya di sinilah ana. Mengharung hiruk-pikuk kota ini, demi mengutip permata pahala yang berlambakan. MashaAllah. Kali kedua menjejaki bumi Jakarta ini, hati menjadi rawan semula. Menelusuri lorong-lorong sesak kota Jakarta telah tidak semena-mena meninggalkan kesan mendalam di hati. Bagai ada suatu semangat yang tak terungkapkan yang masuk kedalam hati, mengajak diri untuk membuat koreksi dan terus maju melangkah dalam dakwah dan tarbiyah ini. Kota Jakarta, bersama sesaknya ada berjuta tarbiyah dari Sang Pencipta.

Kedatangan ke kota ini buat kali kedua pastinya bukan kosong semata. Ada seribu pengharapan yang harus ditunaikan, ada sejuta doa yang telah dikirimkan. Bi iznillah, kota Jakarta ini harus kugagahi demi meneruskan langkahan larianku selama hayat di dunia fanaa' ini.