Monday, September 27, 2010

murahnya cinta akhawat

Akhi Ayyub bermangu sendirian membaca emel yang masuk ke peti elektroniknya. debar jantungnya yang bermula ketika membaca tajuk emel itu bertukar menjadi detak-detak yang makin perlahan. Getaran hati bertukan menjadi hampa. Berita yang ditunggu selama hampir sebulan kini tiba--namun isi berita itu tidak seperti yang didoa-doakannya panjang-panjang setiap tahajjud.

***

"Pakcik bukalah ruang dan kesempatan pada majlis kecil kita ini untuk antum berdua taarufan, berkenal-kenal tentang latar belakang masing-masing. Insha-Allah, kita mencari jalan terbaik dan paling salim agar usaha membina keluarga-keluarga du'at ini dapat dijayakan. So Ayyub, silakanlah," tenang pakcik Amran berbicara. Amalia mengerling sekilas pada wajah Makcik Aqilah, terlihat makcik sedang senyum mengusik. Akhi Ayyub duduk bersila sebelah Pakcik Amran namun pandangannya dilempar ke arah pintu keluar. Amalia pula yang ditemani Makcik Aqilah menyorok wajah, menghadap ke kanan. Terasa wajahnya panas, dek kerana darah yang menderu ke muka.

Akhi Ayyub mula berbicara. Petah sekali. Bicaranya lancar benar, petanda keyakinan dirinya yang menebal. Ketika bercakap, matanya terus tertuju kepada permaidani indah itu, atau sesekali menangkap pandangan Pakcik Amran. Tidak sekali pun beliau memandang kepada Amalia, sungguhpun dia adalah calon isteri yang dicadangkan oleh Naqib kepadanya.

Friday, September 03, 2010

the good friend of Allah: Khalil-ur-Rahman

entah kenapa, apabila mengingatinya hati pasti tersentuh dengan amat-amat. tidak dapat tidak, ana harus akui bahawa ana terlalu amat menyukai kisah hidup dan perjuangannya.. saat membaca ayat-ayat Allah tentangnya, pasti murah saja air hening meluncur keluar dari tubir mata.

paling ana gemari ialah bagaimana Khalilurrahman mendakwahi bapanya yang merupakan tukang berhala.saat itu hanya dia seorangan sahaja yang diberikan hidayah.. tiada sesiapapun di sisi yang memahami dakwah yang dibawanya, tiada keluarga, tiada ikhwah wa akhawat, malah tiada seorangpun murobbi untuknya! namun Allahuakbar, betapa teguhnya Abiina Ibrahim menyandang tugas menyampaikan risalah Ilahi. Keseorangan, kesepian, ketiadaan teman... Namun semuanya dilalui dengan menjadikan hanya Allah sebagai Peneman!

kasihnya sebagai seorang anak sangat mendalam, sehingga kata hatinya inginkan si bapa bersamanya di syurga nanti amat menyentuh jiwa. "wahai bapa, ikutilah aku... aku akan minta ampun untukmu..." allahu rahman! kuatnya kasih anak, mendamba syurga buat si bapa.

apabila mentadabburi doa-doanya pula, masha Allah... begitu indah sekali, tanda dekatnya hati, jiwa, ingatan dan kasihnya kepada Ar-Rahman. walau dia tahu saat meninggalkan si isteri dan anak kecil itu, pasti Allah takkan mensia-siakan mereka.. namun rintihan dan rayuannya kepada Ar- Rahman terlalu indah dan menusuk ke jiwa...

kemudian apabila mengingati bagaimana rendahnya hati Khalilurrahman ketika membina bait al-atiq, kisahnya pasti membasuh-basuh jiwa ana. ketika dengan penuh ketaatan dia membina rumah Allah itu, Khalilurrahman masih lagi mendamba redha dan penerimaan Allah.. sedang memang dia tahu bahawa Allah pasti meredhai dan mengasihinya... kerana dia memang seorang nabi yang dicintai. namun masih, dia mendamba agar Allah meredhainya..

allahu akbar.. jadikan aku sepertinya..........
jadikan aku sahabatmu ya Allah..

Tuesday, August 24, 2010

kaku

dalam kesibukan ramainya orang, kulihat ukhti itu berjalan menghampir ke arahku. hatiku melonjak-lonjak girang. tidak sabar rasanya merangkul ukhti ini dalam pelukan ukhuwah. dari kejauhan aku memandang tepat ke wajahnya dan mencari anak matanya, sambil bersedia melempar senyum. lama sungguh rasanya tidak bersua dengan wajah yang sering menghias rabithahku ini. tetapi, semakin dia mendekat, kulihat dia tidakpun menghalakan pandangannya kepadaku. malah wajahnya dilarikan dariku. aku amat pasti dia tahu aku di situ. pasti.

serta-merta hatiku diserbu sebak. kali akhir bertemunya adalah ketika dalam perjalanan pada musim cuti yang lepas. aku fikir pertemuan yang lepas berakhir dengan baik-baik saja. namun tingkahnya kali ini amat merungsingkan. mungkinkah aku tersalah tutur kata atau tersilap mimik wajah, lalu melukakan ukhti ini?

aku melambai tangan dan menyeru namanya. ketika itu barulah dia memandang dan melempar senyum tawar. terdengar kata-kata manis dari lidahnya menyatakan gembiranya bersua, namun entah kenapa aku rasakan bahawa dia terlalu 'sejuk' kali ini. kaku sekali. genggaman tangannya tidak seerat tiga atau barangkali empat tahun yang lepas. pelukannya tidak lagi sehangat dahulu. ataukah hanya aku yang membuat telahan ini?

hatiku berkira-kira. ah! pasti akulah yang bersangka buruk. barangkali inilah dia hasil tarbiyah syaitan untuk mengoyak ukhuwah kami. barangkali hatiku masih terlalu kotor sehingga pada bulan yang mulia inipun tarbiyah syaitan masih kuat membelenggu hatiku sehingga demikian cepatnya aku berkesimpulan sedemikian.

petang itu aku membuat kesimpulan dalam muhasabah sendirian.

pertama, Rasulullah menganjurkan agar kita berziarah mungkin kerana jika lama tidak berjumpa boleh menyebabkan syaitan cepat memanah suu'uzzhon. jadi kena ziarah dan jumpa2.

kedua, suu'uzzhon berasal dari suu'ul qolb. hati yang tidak bersih. so bila ada terdetik perkara-perkara suu' maka bersegeralah mendeletenya.

ingatlah wahai daie... Allah akan melakukan proses pembersihan... tiada sesiapa yang tidak bersih boleh memegang panji dakwahnya dalam jalan juang mencari syahid ini... suatu peringatan buat diriku yang (sering) lupa...

Wednesday, August 04, 2010

simtom orang kuciwa

"akak, tau tak simtom orang kecewa?"

"Ulama mana yg cakap?"

"Ulama kehidupan.."

"Apa dia?"

"Bila seseorang tu takde perasaan dengan semua benda. Rasa nak lepas tangan dengan semua perkara. Rasa nak stop and have time for own self."

"Hmm.. Rasa hopeless. kan?"

Tuesday, July 27, 2010

it's my way, says he

Telefon genggam hitam legam itu bergetar-getar dengan nada riang di penjuru meja tulis, petanda satu pesanan ringkas sudah memasuki peti masuk telefon. Zahra' yang sibuk menatap skrin komputer sambil menaip-naip, berjeda seketika sebelum mencapai telefon itu ke dalam genggamannya. Mesej dibuka dan dibaca. Pengirimnya seorang sahabat yang dikiranya paling setia. Senyuman berputik di wajah polos Zahra'.

"Habibti, hari ini aku benar-benar yakin bahawa Allah tu memang Maha Adil, Maha Mengetahui," kirim si sahabat.

"Baru kutahu kau belum mencapai iman yang agung,"Zahra' membalas pendek

"Aku membaca di blog mu, lalu aku skeptis. Benarkah pemahamanmu kepada qadha' dan qadar Tuhan," sahabat membalas.

"Tentang apa?" sms bersahut lagi.

"Tentang katamu... Kau mendamba jambangan bunga indah namun Allah menghantar kaktus berduri... Kemudian kau kata kau suka lihat rama-rama di taman, namun yang menghuni taman rumahmu hanyalah ulat-ulat beluncas," dia membalas.

"Sekarang kaktus kau dah ditumbuhi bungalah? Dan ulat beluncasmu sudah menjadi rama-rama, aku kira?" Zahra ketawa menaip SMS itu.

"Terima kasih.. Aku tahu, memang Dia akan memberi pada waktunya. PASTI"

"bersabarlah dan kuatkan kesabaranmu! wassalam, aku ada kerja!" Zahra menutup kata.

Wednesday, July 14, 2010

bebas

Wednesday, July 07, 2010

of love and life


Baju renda putih itu dihamparkan atas katil yang sudah siap berhias indah. Di sisi katil, sembilan dulang hantaran berhias ros putih, pink dan merah darah bersusun tertib. Aku pula duduk menyimpuh di pojok bilik, sekadar memerhati sahabat baik sekampungku itu bersiap-siap. Di mindaku berputar-putar kenangan kami semasa zaman sekolah dahulu. Aku di sekolah rendah, dia di sekolah menengah. Tapi setiap petang dia ke rumahku untuk mendengar kisah zaman Jepun dari arwah Nenek. Atau sekadar menolong nenek meraut lidi penyapu.

Apa yang aku paling ingat tentangnya ialah dia gadis yang amat pemalu. Wajahnya sangat biasa, namun serinya ada pada sifat malunya itu. Dan kini, dia yang sembilan tahun lebih tua dariku bakal menamatkan zaman daranya. Setelah sekian lama menanti. Setelah sekian kali taarufan terhenti di tengah jalan, akhirnya Alhamdulillah.

"Ana macam tak percaya lah," Khairah membuka bicara sambil memegang baju putih renda-renda tersebut.
"Ah, bukankah ini yang anti tunggu? Detik-detik menukar status diri dari single kepada complicated. Kan?" Tawa kami berderai.
"Itulah. Tapi ana semacam risau pula jika ini bukan yang terbaik.
"Haha, anti yg setuju nak pilih, anti tanggunglah nanti," aku sekadar berseloroh namun penuh makna.

Benarnya ini calon cadangan keluarga. Usia pengantin lelakinya sebayaku. Dahulu sekelas denganku semasa di sekolah agama. Namun sungguh, hebat benar lelaki itu kerana rela memilih agama berbanding faktor-faktor keindahan duniawi yang lain.

Wah, selang beberapa jam lagi Khairah akan menjadi isteri! Hatiku berbunga-bunga riang melihat sahabatku ini begitu berseri-seri kegembiraan. Sekian lama menunggu untuk disunting, akhirnya kini dia bakal bergelar isteri.

"Doakan ana tau," Khairah meminta doa.
"InshaAllah hanya yang terbaik," aku menggenggam kedua bahunya kejap. Dalam hatiku menutur doa agar pasangan seperti ini akan dijadikan teladan dalam masyarakat.

Saturday, June 26, 2010

cellotape

Aku menggolekkan cellotape yang semakin menipis tersebut separa berleha-leha. Perlahan ia merentas meja, menuju ke arah Khadijah. Di seberang meja, Khadijah mengembangkan jemari menanti kedatangan cellotape.

"Anti nak buat apa dengan sellotape tu," aku bertanya sambil menancapkan mata kembali pada skrin komputer. Banyak lagi data pemarkahan ujian yang berbaki perlu dimuat naik hingga membuat aku sentiasa sibuk. Oh paling kurang pun buat-buat macam sibuk.

Zras!Khadijah menarik cellotape. Panjang. Diteliti pangkal cellotape itu, lantas dilekat ke tubir meja. Serentak, jemariku memeriksa tubir meja makmal komputer. Berhabuk. Hujung jariku seperti ada bedak. Nampak sangat makmal ini jarang-jarang sekali dibersihkan.

"Ana nak balut hadiah ni. Dari tadi cari cellotape, tengok-tengok ada dengan anti di makmal," Khadijah mengulum senyum sambil menggocang-goncang kotak empat segi yang agak besar itu. Kedengaran bunyi seakan-akan kaca di dalamnya. Gelas-gelas berlaga, barangkali? Aku melempar senyum. Acuh tak acuh.

Sambil dia membalut, cellotape dipotong-potong. Satu demi satu hujung pembalut dilekat ke kotak. Tiba-tiba cellotape panjang tercabut. Bila cuba dilekatkan kembali ke tubir meja, cellotape berdegil.

"Cellotape memang macam tu, Ija. Kalau dah kotor, mana nak melekat. Anti pergi lekatkan dia pada meja kotor, camanalah nak lekat," aku berleter. Khadijah menggosok-gosok tubir meja dengan ibu jari, membersihkan ruang secukupnya untuk cellotape. Kerja membalut diteruskan.

Sambil menaip aku membuka bicara; "kita dengan fikrah islam ni macam cellotape lah juga Ija. Kalau jiwa dah melekat dengan habuk-habuk dan karat, payah islam nak lekat di hati. Tambah pula kita ni nak fahamkan hati-hati manusia kepada Islam. Lagilah taknak melekat."

Khadijah terus menekuni balutan. Sesekali dia berjeda seketika, seolah menghadam poin yang ingin aku bawa.

"Kadang kita persoal, kenapalah semua yang aku didik ni tak menjadi? Segala ilmu yang belajar, ditinggal kat tempat belajar. Tak dibawa balik. Tak diresap di hati. Dah diberi segala keperluan. Dah disupport dengan macam-macam pengikat hati. Hadiah, sms, call, ziarah segala. Bila telitikan semula baru tahu... Oh rupanya cellotape kita ni tak melekat, sebab itulah semua tak melekat dengan mereka."

"Jazakillah, ukhti. Ana tau dah nak buat camana sekarang. Oklah, dah jam 9 am," Khadijah bingkas, dan hadiah ditolak tepi dengan perlahan. Dia melangkah, menuju musolla.

Monday, June 07, 2010

benarlah

Benarlah seperti kata-kata seorang ulama sufi, Imam Ibn Syihab al-Zuhri, “Kita tidak pernah lihat zuhud yang lebih hebat daripada zuhud pangkat dan gila hendak jadi ketua. Kadangkala anda boleh lihat orang zuhud dalam makan minum dan harta benda tetapi kalau dicabar kerusi keketuaannya, dia terus melenting dan bermusuh”

Tuesday, June 01, 2010

hiatus tu apa?

notakecil yg takyah baca pun ok.

Setiap kali ingin menulis
akan terngiang suatu suara hati
"alamak, baik buat kerja lainlah
banyak benda tak setel lagi!"
lantas tetingkap terus dipangkah..

bukan apa, segan kat syuhadak sekalian
mereka sudah bertemu kekasih
sedang kita masih di sini
mengendong cita-cita,
yang kadang pasang kadang surut juga

mungkin ini masanya untuk tumpang pernyataan;
"kita tidak mencetak tulisan,
kita mencetak insan"
membuka hati-hati
demi berkongsi cahaya..

suka nak share sth dari someone;
"tu la ana dah cakap
kena sabar sikit saja lagi.."

baiklah. mari bersabar dan kuatkanlah kesabaranmu!
wslm