Wednesday, November 15, 2006

Cotton Buds

Telefon bimbit W810i pemberian ayahnya bergetar, lantas mengeluarkan bunyi-bunyian. Diamat-amati, bunyi itu rupanya lagu Pinky and the Brain. Kamu tahu kartun Pinky and the Brain? Kalau tak tahu, mungkin kamu bukan sezaman dengan dia. Sama ada kamu budak mentah, atau kamu dah tua bangka. Ataupun kamu budak geek. Kamu tahu geek? Kalau kamu tak tahu Pinky and the Brain, kamulah geek. Geek itu macam nerdlah.

Dia terpisat-pisat bangun dan memecat selimut tebal corak petak-petak coklat yang menemani tidurnya saban malam. Dicapai telefon atas meja di hujung kakinya, lantas ditenyeh-tenyeh telefon hitam itu. Mata yang kuyu dan merah kerana kurang tidur, tiba-tiba dia jegilkan. Terkejut benar barangkali membaca mesej itu.

"Salam. Qum. Qiyamullail," kata mesej yang terpapar. Dari Sulaiman Lonjong.

Dia memandang jam di tangan. "Eh, mana aku pakai jam masa tidur malam-malam buta nih," dia merengek sendiri. Matanya melilau mencari jam radio yang bersinar memaparkan waktu tempatan tika itu. Oh, di situ. Atas rak yang penuh dengan buku-buku bertimbun itu. Jam 3:30 pagi rupanya. Pagi betul. Tentu embun jantan sedang mulai menyiram bumi. Eh, kenapa panggil embun jantan? Kalau embun betina turun pukul berapa pula? Dia menggaru-garu kepala memikirkan soalan yang tiba-tiba terlintas di kepala.

Dia berguling-guling atas katil. Malas mahu bangkit dan membasahi wajah dengan air sejuk yang membekukan. Eh, bukan! Bukan dia berguling ala bintang hindustan, kamu jangan bayangkan yang bukan-bukan. Dia bergolek ke kiri dan ke kanan, gaya orang malas. Tentu, syaitan sedang mengalun-alunkan lagu merdu kedalam gegendang telinganya, agar tidur semula. Dengan kedinginan pagi yang memang mengasyikkan lena. Tambah pula dengan kesyahduan suasana pagi hari yang sunyi sepi. Fuh! Memang seronok kalau menyambung tidur. Alah, Sulaiman Lonjong bukannya ada di sini.

Dan. Dia terlena juga dalam berkira-kira dan menghitung-hitung seronoknya lena di waktu ini. Waktu semua insan sedang menganyam mimpi. Dia pun turut sama mencipta mimpi, terlupakan kejutan dan jegilan matanya pada kata-kata mesej yang diterima.

***

Esoknya dia bertemu Wak Jakpar di kelas mengaji, macam biasa. Kamu kenal Wak Jakpar? Cuba kamu google nama itu. Barangkali ada. Tapi jika kamu buat kerja google-menggoogle nama orang, itu maknanya kamu sedang tiada kerja. Baik cari kerja yang lebih berfaedah, tahu? Seperti google-kan nama para sahabat atau biografi 'alim 'ulamak. Lagi berpahala. Bolehlah kamu mendapat bintang kemuliaan dan kebaikan serta kewarakan. Dia menyengih tiba-tiba apabila bermonolog tentang Google dan nama itu. Wak Jakpar menjeling. Dia tersipu, gaya gadis pemalu dari Tamparuli. Wak Jakpar membuntangkan matanya. Dia gerun.

"Ke mana kamu? Udah empat hari memonteng. Udah jemu mengaji ya? Hah? Ni tak datang mengaji, kamu ada qiyam?" Sinis suaranya berbaur tempelak.

Wajahnya merona merah menahan malu. Takut dia menjawab soalan dari Kiyai tua itu. Malunya dia kepada Kak Limah Lengkong yang duduk sama bertalaqqi. Ala, Kak Limah yang suka bikin lengkong santan tu, kamu tahu? Eh. Habislah! Nanti Kak Limah Lengkong ceritakan pula pada Sulaiman Lonjong itu! Kalau tahu dek Sulaiman Lonjong bahawa dia ponteng mengaji, pasti SMS Sulaiman Lonjong berbunyi pedas-pedas pula selepas ini. Aduh. Empat hari memonteng mengaji. Disuruh bangkit qiyam, dia tidur santak ke subuh. Alahai. Apa mahu dijawab kepada si tua ini?!

"Saya sibuk, tok Kiyai. Minggu depan ada peperiksaan Sijil Adab Melayu. Setiap malam sibuk baca buku, ingat nak rehat sekejap dua-tiga hari dari mengaji," dia menjawab juga. Halus suaranya. Bukan lunaklah, tapi halus. Suara orang takut. Kalau lunak, maknanya nanti ditempelak lagi. Dikatanya gatal.

"Oh, sibuk mengulangkaji pelajaran... " Wak Jakpar mengangguk-angguk. Dia menyeringai, lega kerana Wak Jakpar tidak lagi membawa tumpuan hadirin kepadanya. Selamat untuk seketika.

"Baik anak-anak. Esok dan lusa, kita cuti aja 2 hari. Kasihan semua sibuk mahu hadapi peperiksaan. Semua orang tumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Adab Melayu. Tapi ada satu syarat." Wajah dia, Kak Limah Lengkong, dan beberapa hadirin yang lain tiba-tiba bercahaya. Wak Jakpar memberi cuti! Boleh tangkap ikan! Yahu!

Eh, tapi apa syaratnya pula? Jangan dia minta pengeras, sudah. Hati nyamuk tujuk dulangkah. Air mata dua gayungkah. Ataupun dia mahu Sulaiman Lonjong diberitahu tentang cuti ini? Aduh. Mati!

"Syaratnya mudah aja," Wak Jakpar menyeringai lagi, memaparkan baris giginya yang mulai rompong itu. Sesekali, apabila dia membaca huruf 'fa', kedengaran seperti 'pa', dek kerana mahu mengawal angin yang keluar melalui rompong giginya itu. Ha ha. Dia leka berimaginasi lagi.

"Kamu semua tumpukan perhatian pada pelajaran. Jangan datang mengaji. Jangan makan. Jangan tidur. Jangan mandi. Jangan laksanakan apa-apa hak tubuh, jiwa dan ruh kamu. Belajar sungguh-sungguh. Tumpukan aja pada pelajaran selama dua hari, tahu? Semoga berjaya wahai semua pelajar tekun dan dedikasi. Pergilah balik," Wak Jakpar melempar doa yang kudus. Dia ternganga.

"Dan kamu! Jangan takut. Aku udah SMS Sulaiman Lonjong, mengadu tentang kamu. Degil! Dia kata, jika kamu tidak mahu dengar cakap, minta aku berikan pengorek telinga untuk kamu. Mahu? Nanti kubelikan kotonbat," Wak Jakpar menjegil lagi kepadanya.

Dia menikus. Sulaiman Lonjong itu, datuknya yang mempunyai hobi meligan cucu dengan bilahan rotan!

T_T
____________________________
[1] Cerita tanpa motif. Haha. Pergi sambung kerja! Sambung google-google pun bagus jugak. Tambah ilmu.
[2] Ayoh kita menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

5 comments:

Syazwina Saw said...

"Qum. Qiyamullail."

Haha. Ana suka ber'Qum! Fa'anzir'.

Suruhlah Sulaiman Lonjong kejutkan ana sekali... Dengan simbahan air 2 degrees.

Salaam mujahadah imtihan (jikalau relevan).

Sufi is me said...

nak 'qum faanzir' kenalah 'qum fillayali' skali kan. ke camne? ehe.

nak Sulaiman Lonjong kejutkan?
boleh boleh.
sms nama dan nombor telepon ke 12345
kadar sms adelah satu jongkong emas per sms. =P

keifa imtihan?
dah beli tiket balik mesia?

Syazwina Saw said...

Aduhai. Ana hanya mampu ber'ana'. Dan itu sahaja tahap kefahaman al-lughatul 'arabiyya ana.

Fillayali itu, apakah? :)

Afwan.

Imtihan sedang berlangsung. Ticket sudah dibeli. Dijangka pulang hujung bulan ini, jika panjang umur dan belum mati, insyaAllah.

Enti pula bagaimana?

Anonymous said...

salam,ukhti..

;-) bersiar-siar sebentar.terserempak dgn blog ukhti.sgt menarik entriesnya! mabruuk.ingin dilinkkan,boleh ya? smg dpt dimanfaatkan. salam ukhuwwah. ^_^

Anonymous said...

salam.

lucu la cerpen ni. good job. keep it up :)