Thursday, December 28, 2006

Bermula Dengan Pengakhiran

Jika pernah aku ditanya
Apa akhirnya aku nanti
Jikalah aku menjawab
"Jika pernah, jika pernah"
Apakah akan terjawab apa akhirnya aku nanti

Jika benar aku mengukir anganan
Menutup mata dalam syahid cinta-Nya
Jikalah aku memikir
"Jika benar, jika benar"
Apakah akan terlihat apa akhirnya aku nanti

Jika telah engkau membayang
Dunia ini penuh hamparan bunga-bunga
Biarlah aku katakan
"Hentikan anganan, hentikanlah"
Kerana hidup ini selamanya takkan pernah mudah

Perjuangan ini mereka bayar dengan harta
Perjuangan ini mereka bayar dengan darah
Perjuangan ini mereka bayar dengan jiwa
Sedang kita pula meniti alur juang
Hanya dengan anganan yang takkan pernah sudah

Maka aku katakan selamat tinggal dahulu
Aku pergi, meneruskan hari-hari dalam hidupku
Aku berlalu, menuju senja merah saga hidupku
Kerana sungguh, aku takkan pernah tahu
Apa akhirnya aku, apa sudahnya aku

Bila terbuka langkah pertama
Teruslah kumelangkah mencari noktahnya
Walau belum kupedulikan diriku pada hujung waktu
Kerana sungguh, aku tak mampu memikir
Apa akhirnya aku, apa sudahnya aku.

"Wamakaru, wamakaraLLah"
-Aku pulang ke pangkuan takdir-Mu-

H33
MarjonsPlym
28/12/2006
09:08

Friday, December 08, 2006

Kotak

Macam tak sangka. Kotak-kotak itu akan berlayar dalam masa seminggu lagi. Mula-mula, isi barang dalam kotak dan kemudian hantar untuk dilayarkan pulang. Selepas itu, jasad pula akan pergi, terbang pulang. Walau mungkin ada secebis dari jiwa tertinggal di bumi peti sejuk ini, namun realitinya jasad akan kembali selagi tiada aral melintang.

Kau tahu? Dulu, emak tak pernah pun beri izin untuk dia pergi. Menangis-nangis emak melarang. Dia memang keras hati. Dengan bekal sokongan dari yang selain emak, dia berkemas juga. Akhirnya emak senyum juga kepada kamera, pada pagi hari dia terbang. Walau emak tak senyum pada dia. Akhirnya, saat sampai ke bumi England, dia pula yang menangis. Itulah, degil sangat.

Ayah? Ayah buat-buat cool. Padahal dia tahu ayah excited. Cuma ayah bimbang kalau-kalau excitement itu tak bernoktah di mana-mana. Bimbang peristiwa hitam tahun 2001 berulang pula ke atas dia. Ah, itukan ketentuan-Nya? Kita sibukkan hal yang sudahpun ditentukan, sedang jannah itukan lebih aula.

13 Februari 2005. Malam sebelum berangkat. Dia mendapat panggilan. Hujung talian, ada suara memohon maaf. Dia sudah kering air mata. Tidak sedih, apatah lagi gembira. Membiar segalanya berlaku dan dia tahu dia akan berlalu dengan gembira. Dan iya. Dua tahun dilalui dengan gembira.

Walau ada juga satu atau dua perkara berlaku, namun secara keleluruhannya dia merasakan kisah di United Kingdom memiliki pengakhiran yang gembira. Di sini dia kenal gelanggang. Di sini dia kenal siapa itu saudara. Di sini dia kenal erti rindu kerana Dia. Dan di sini dia rasa lebih dekat kepada Tuhan.

Walau ada juga yang bertanya, "kau pergi sana belajar bahasa Inggeris atau belajar ape?"
Walau ada yang menuduh, "kau berbisnes rufiqa* jugak ke?"
Dan tak kurang yang berpesan, "belajar-belajar fasal Islam, jangan sampai sesat."

Dia rasa macam nak gelak besar-besar depan yang bertanya, menuduh dan berpesan itu. Hairan pula dengan equation yang tersemat dalam kepala otak orang yang bertanya, menuduh dan berpesan itu. Sifirnya yang semacam ini;

(1) Belajar akademik + belajar Islam = sesat
(2) Belajar akademik + joli katak = normal
(3) Belajar akademik + belajar jadi kurang ajar = terpengaruh dengan barat, tapi ok la tu. Moden.
(4) Belajar akademik + belajar Islam + amalkan + ajak orang sama-sama amalkan = ekstrim

Kau rasa bagaimana? Entah-entah kau pun hafal sifir yang sama. Kategorikan orang ikut (1), (2), (3) atau (4), kemudian kau buat kesimpulan ikut suka. Puas hati, bukan? Aku senyum saja. Biarlah dia bungkus baju-bajunya.
_______________________________________
* bukan kompeni sebenar

Friday, December 01, 2006

Anna

Malam itu tenang sekali. Tidak pernah dia merasakan tenang yang sebegitu. Kau pernah tengok air kosong di dalam gelas jernih? Perhatikan air itu ketika tiada kocakan. Tenang bukan? Itulah ketenangan yang dia rasakan.

Seolah segala ribut telah pergi kini. Hanya tinggal dia dan semangat-semangat lamanya. Mulai mengatur langkah-langkah pendekar, menghadam kembali sisa-sisa darah pahlawan yang mengalir dalam dirinya. Ya, darah pahlawan. Yang satu masa lampau terbuak-buak tatkala perut ditebuk peluru senapang kiwi-kiwi kapal salib. Dan kini darah itu mengalir dalam nadinya pula. Hangat. Menunggu masa menghunus pedang di gelanggang para du'at. Masya-Allah. Berbeza sungguh dengan Anna.

Anna? Apa kau peduli lagi fasal Anna? Buangkan aja ingatan-ingatan bodoh kau tentang Anna. Anna bukan anak pahlawan. Bukan juga puteri cantik. Tidak hebat menghunus pedang. Hanya melukut. Sampai masa, kembali ke pinggiran. Selesai.
___________________________________
[-otak yang kebas-]
[jangan cari makna cerita ini, kerana kau takkan jumpa]
[sebab aku pun tak jumpa]
[ . ]