Friday, December 17, 2010

dakwah oh dakwah.. bukanlah cukup dinamakan berdakwah apabila ia sekadar menjadi suatu yg rutin tanpa hati dan kehidupan..

inilah yg pernah aku lalui,
merasakan dakwah adalah 'bergerak' dan sentiasa 'berputar' hingga terlalu fokus kepada teknikal dan terlupa pada esensi dakwah itu sendiri- iaitu menyampaikan...
walau pengalaman ini tak banyak mana pun, cuma moment2 terkeliru tersebut membuat kurasakan bahawa adik2 perlu utk berhati2 agar tidak melalui kekeliruan yg pernah kulalui..

dakwah bermula dengan jihad dengan lidah, itulah hakikatnya. tiada dakwah jika tiada apa yg disampaikan. apalah erti dakwah tanpa maudhuk untuk diberikan. apabila kita bersyahadah, serentak itu tertaklif suatu tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran... kata sheikhuna, dakwah bukannya baju, yg dipakai ketika bersama mad'u, kendian ditanggalkan apabila tak bersama mereka.. bersama kawan, kita jadi biasa. bersama lecturer, kita sekadar murid. bersama housemate, kita sekadar rakan serumah.

hakikatnya dakwah harus berlaku di mana2 sekalipun.. kitalah suatu sosok yang berdiri tegar, sentiasa menjadi penyampai kebenaran.. kita tak hanya bercakap ttg dakwah ketika di dalam usrah dan daurah semata.. harusnya kita sentiasa berkisar ttg dakwah.. hattakan apabila sesama kita bertanya 'keifa haaluki?', otomatis kita tahu apa ertinya 'haal' yang ditanya...

dakwah memberi kehidupan, maka harusnya kita HIDUP DALAM DAKWAH dan dakwah yang dibawa harus sentiasa HIDUP dalam kita! hidup, dalam ertikata bernyawa, punya obsesi, sentiasa berhimmah, segar bugar dan marak menyala! sheikh muntalaq dalam raqaiq berpesan, kita yang membawa dakwah harus menjadi JIWA yang MENERANGI dan bercita-cita tinggi...

sememangnya itulah dakwah... dakwah bukan bertujuan untuk memberi kita suatu rasa 'termulia berbanding manusia'; kerna apalah mulianya kita bila segala amal yg bukan kerana Allah akhirnya akan menghumban kita ke dalam neraka.. dakwah bukan sekadar menambah inci tudung, menambah panjang baju, atau memutus hubungan dengan pasangan non-halal.. dakwah ialah kehidupan! ia memberi hidup, menghidupkan yang mati agar hidup! hidup! hidup!

bagaimana hidupnya dakwah bila kita mematikannya di pintu tasbih kifarah..
bagaimana hidupnya dakwah bila kita berma'thurat sekadar pada bibir sedang mata tertutup dan hati terlelap..
bagaimana hidupnya dakwah bila kita bersibuk-sibuk hanya pada hal sepinggan nasi kita di dunia..
bagaimana hidupnya dakwah bila perbualan, facebook, blog, sms, telefon kita lebih banyak ttg hal2 lagho dan tak terkait langsung dengan DAKWAH...

oh dakwah
maafkan kami
sebab selalu terlupakan kamu..........

Sunday, December 12, 2010

ummi, di manakah hati?

orang yg kehilangan hatinya
akan hilang segala-galanya..

aku hairan melihat
segelintir yang hanya sempat mendapat
mungkin sekadar sebaris ayat kalamullah
ketika berteduh di bawah pohon tarbiyah
namun jiwanya langsung melangit tinggi
bila dipanggil segera menyahut penuh azam
hattakan bila seruan itu adalah
seruan kematian
rindunya bahkan jadi meluap-luap
untuk bertemu Rabbul Alamin
dan jiwanya terus-terusan menyala
dan semakin marak segenap kali mempelajari
ayat-ayat Allah yang baru

namun lebih menghairankan
apabila aku melihat
orang yang 'hidup di bawah naungan tarbiyah'
purnama demi purnama
tahun berganti tahun
dari muda sehingga mulai dewasa
dibelai, dikasih, dituntun, dihabisi uang dan harta,
deminya murobbi sampai rela mencalar perasaan
deminya tak mengapa berjerih penat
asalkan dapat memastikan kelangsungan tarbiyahnya

namun dia tiba-tiba kehilangan jiwa
lalu terbaring lesu membiarkan hatinya
menggelap, pudar, menghitam,
lalu pergi meninggalkannya

maka jadilah dia
orang yang lemah cita-cita
tiada hati dan jiwa
hanya jasad kosong
berjalan atas nama
'aku telah hidup'
namun sebenarnya
hatinya
telah sekian lama
mati meninggalkannya.

tangisnya hanya untuk uji-uji dunia
dan sendunya sekadar meratapi pinggan nasi yang jatuh dari tangan
yang bila-bila saja akan Allah gantikan tanpa sedikitpun mengurangkan perbendaharaan-Nya..

namun aku cukup benar hairan
bila mana air matanya langsung tak pernah merembes
kerana rimbunnya rindu kepada Allah Ta'ala
kerana kesalnya atas dosa-dosa
kerana risaunya melihat jutaan manusia yang berjalan tanpa cahaya
dia malah sebu hati
langsung tak punyai rasa
apabila melintas di sebelah manusia tanpa cahaya
yang suatu masa nanti
akan menarik kakinya dari melangkah masuk ke pintu syurga..

maka benarlah..
orang yang hilang hatinya
akan hilang segala-galanya..

Catatan perjalanan penghujung musim Sepuluh

Satu

Benarnya aku tak punya suatu apa pun yang berharga apalagi menarik untuk dicatat. Namun, kerana risaunya jika perjalanan ini akan berakhir dengan sia-sia tanpa kuambil pengajaran darinya, maka dengan bismillah aku mulakan catatan peribadi ini. Semoga ia akan menjadi ibroh buatku, dan sebagai ingat-ingatan di masa depan demi membangkit semangat, andainya Allah mentaqdirkan untuk aku diuji dengan lemahnya iman dan kefuturan-nauzubillah.

Kali ini aku ke tanah seberang lagi. Perjalanan ke kota asap dan macet itu tak pernah gagal membuat jiwa ini diruntun. Hakikat kehidupan manusia yang berjuang berhempas-pulas meneruskan hidup yang maha sukar sememangnya memerah segenap perasaan simpati dan belas di hati. Anak-anak kecil yang kutemui bergelandangan menjadi pengamen (penyanyi jalanan), Bapak Supir yang rajin dan penuh dengan rasa hormat dan taat demi periuk nasi, tukang bakso yang memikul di bahunya tong-tong bakso dan kuahnya, petani-petani, pemandu-pemandu, angkot-angkot, bajai-bajai, ikhwah-akhawat, dan ah… semuanya. Diam-diam hamasah kecilku membakar lagi, menyalakan himmah agar terus marak meninggi untuk membebaskan hamba-hamba dunia ini agar mengabdi semata kepada Rabbul Alamin.

Hijau tanah Lembang

Ketika di sana, kami sempat bertamu di sebuah kampong yang cukup indah. Lembang namanya, jaraknya sejam mendaki dari Bandar Bandung dengan pacuan empat roda. Sejuk udaranya membias ingatanku kepada kota Inggeris yang telah lama ditinggalkan bermusim-musim yang lalu. Cahaya mentari di Lembang bahkan amat lembut, tak ubah seperti di kota itu. Kebun-kebun kobis dan kekacang, padi yang berteres-teres, serta curug (air terjun) yang tersembunyi di lembah-lembah gunung tambah membuat hati semakin rawan, menumbuhkan rindu untuk berlama-lamaan di situ.

Tetapi meski kampong pinggir gunung Tangkupan Perahu ini amat melekakan untuk santai-santai kosong, namun di situlah kami menghabisi beberapa hari tersebut penuh isi. Setiap masa dihabisi mentadaburi petanda-petanda kekuasaan Tuhan yang ada pada alam, serta bersiar-siar penuh ukhuwah demi mengikat semua hati-hati kami agar bersatu. Sebagaimana alam yang bersimbiosis antara satu dengan lainnya, begitulah ummah yang memegang amanah Allah menjadi khalifah-Nya ini. Perlu sentiasa merasai bahawa kita semua adalah satu badan, jika kaki terluka maka mata takkan mampu tidur ketika tangan sedang sibuk merawat lukanya. Betapa kita ini satu, dan harus kokoh berdiri sebagai satu dan bukan individu-individu yang terpecah-pecah membawa haluan dan mentaksir halatuju dakwah ini seorang diri. Dan rasa ‘satu’ ini, tidak lain berpunca dari iman. Maka tidak hairanlah begitu banyak hadith rasulullah bermula dengan “tidak beriman seseorang itu………..” lalu disambung dengan pesanan-pesanan yang ‘menyatukan’.

Mengingati gunung-ganang yang tersergam gagah pula, kami langsung bercerita tentang tragedi Krakatoa, Merapi dan Bromo. Serentak aku terkesan dengan khabar hari Akhir yang tercatat dalam Surah Maarij; bahawa semua sahabat dan teman yang paling dekatpun sudah tidak lagi mengendahkan diri masing-masing apabila gunung-ganang menghambur bagai bulu yang berterbangan! Subhana-Ka, faqina azaban naar. Betapa kita perlu melihat alam dengan mata hati, agar Allah menjauhkan kita dari bahaya kekufuran.

Sudahkah kita tarbiyah?
Sepanjang di sana, aku kira ada suatu momen yang benar-benar menyentak dan mengesankan hingga pada saat aku menulis ini. Seorang adik yang berwajah pendiam (semoga Allah sentiasa memandu langkahnya ke Syurga), ketika menyampaikan tazpen, telah benar menyentuh hatiku. “Dakwah ini, bisa saja tertuju buat sesiapa,” demikian ujarnya sebelum berjeda seketika. “Namun tarbiyah, adalah pasti akan menuju hanya ke dalam hati yang membuka ruang untuknya,” tenang wajahnya namun segera membuat hati ini buru-buru jadi berdebar. Hatiku lalu menjerit sendiri, “cukupkah usahaku mentarbiyah?”

Malah lebih dari itu segera juga aku menyelam kolam hati, sudahkah aku benar-benar membuka hati ini demi menerima tarbiyah dari Allah? Walau apapun kondisinya sekarang dan akan datang, bersediakah aku? Sudahkah aku cukup membuka hati menerima tarbiyah dari Allah saat putusan-putusan-Nya bercanggah dengan kehendak akal dan mahuku? Sanggupkah aku menerima tarbiyah dari Allah saat Dia memilihku untuk menanggung derita dan jerih payah kehidupan kelak? Dapatkah aku menahan diri dari berkeluh-kesah ketika dihidangkan dengan kesulitan, dan dapatkah aku menjadi pemurah ketika dikurniakan dengan kebaikan dan harta? Bismika Ya Allah… tarbiyahlah aku sesuka-Mu, namun taqdirkan aku menepati apa yang aku mampu… kuserah pada-Mu…

Sungguh, kembara kali ini suatu muhasabah buat diriku. Menyelami dan mendasari hati setiap seorang dari mereka membuat aku benar-benar mengerti hakikat tarbiyah—bahawa bukan semestinya dengan memiliki murobbi atau mutarobbi atau melalui bahan-bahan tarbiyah maka kita sudahpun tarbiyah. Malah hakikat tarbiyah lebih jauh dari itu.
Tarbiyah bukan sekadar menjadikan kita suatu sosok yang berusaha memandu manusia beserta hatinya menuju Allah sepanjang masa, namun tarbiyah juga menjadikan kita manusia yang penuh kemanusiaan. Menjadikan seorang anak penuh sifat taatkan orang tua, menjadikan seorang bapa penuh kebapaan, seorang ibu penuh keibuan, seorang sahabat penuh rasa persahabatan… Above all, tarbiyah menjadikan kita khalifah yang memimpin dengan penuh tawadhuk kehambaan dan tunduk membumi namun jiwanya mulia, ke langit tingginya!

Semoga setiap satu jiwa kami terus dicahayakan kekal sampai hari kebangkitan. Semoga terkesannya tarbiyah di hati setiap dari kami bisa menjadi saksi di hadapan Allah bahawa kamilah hamba-hambaMu yang ingin sentiasa mendekat pada-Mu. Maka tunaikanlah janji-Mu ya Allah, bahawa Kau akan mendekat kepada kami dengan berlari ketika kami berjalan penuh susah menuju-Mu…