Saturday, December 29, 2007

translation Ma Li Rabbun Siwah

(Tiada Bagiku Tuhan SelainNya)

Tiada bagiku tuhan selainNya
Pengampun Penghapus dosa
Tiada bagiku tuhan selainNya
Cahaya Penyuluh hati

Ya Allah hambaMu yg banyak dosa
tambahkanlah pengahmpiran
dariMu dan kepadaMu penghampiranku

Ya Allah jagan Kau putuskan rahmatMu
jangan biarkan aku selamanya dalam keresahan
Wahai Pengasih Wahai Penyayang


Ya Allah Engkau Maha Tinggi, Maha Menentu, Maha Agung
Ya Allah Engkau Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui
Ya Allah Engkau Maha Tinggi, Maha Menentu, Maha Agung
Ya Allah Engkau Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui

Tiada bagiku tuhan selainNya
Tuhan Mendengar Rintihan syahdu
Wahai yang mengampuni aku pada segala dosaku
Dialah yang Maha Santun lagi Mengasihi

Ya Allah kasihanilah pada kecelaanku
ampunilah pada kesalahanku
Pada segala keterlampauan dan Dialah penghidayahnya
Ya Allah belas-kasihanlah pada kelemahanku dan keadaanku
Aku merasakan dosaku semakin meningkat
Maka ampunilah aku wahai Yang Maha Mulia
_____________________________________
*jazakumullah kkhair kpd yg memberi translation.

Monday, December 17, 2007

stepping into the unknown..

#1

Kau tahu? Dulu, aku pernah berangan-angan. Menjejak bumi Inggeris. Mengepal salji. berlari mengejar langit biru. Dan, aku dapat. La haula wala quwwata illa biLLah.

Dulu, aku juga pernah berangan-angan. Punyai rumah besar, kereta besar, bergaji besar. Yang ini semua aku belum dapat. Dan, mungkin aku akan dapat. Mulai 3 Januari, agaknya. Tak kisahlah. Mungkin terpaksa berkokok dahulu, merakit perahu, atau apa sajalah. Walau benarnya mungkin aku pun tak mahu, tapi apa saja mungkin bagi-Nya. La haula wala quwwata illa biLLah.

Dulu, aku masih ingat.
Aku teruja benar menjejak kaki ke 'bumi peti sejuk'.
Menghembus udara berwap.
Sejuk menggigit tulang hitam.
Mandi air panas.
Tidur dalam duvet.
Membeli-belah di kota London.
Menonton bebiri di Paignton.
Melihat kaki langit Torcross.
Menghirup udara Bath.
Wah. Amat teruja.

Sekarang, masih lagi teruja mahu ke sana. Amat.
Masih juga teruja mahukan mercu tanda dunia. Kereta, gaji, rumah.
Tapi kini punyai alasan berbeza.
Kau fikir kenapa?
Kau rasa aku akan dapatkah?

Oh, mungkin kau dah tahu. Telah kurakam berulang kali bukan? Senyumlah, tak mengapa. Mungkin yang sinis itu akan kulihat ikhlas. Kau punya sukalah nak senyum.
_______________________________________________

#2
Dulu, nenek selalu memberitahu baju birunya berwarna hijau. Dia juga gemar membundar angka. Contohnya, RM3.30 dikatanya tiga ringgit setengah. Jam 2.05 dikatanya jam dua suku. Pendek kata, membundar ikut suka. Maklumlah, nenek bukannya bersekolah. Tapi nenek sangat hebat. Kerana tanpa bersekolah pun dia boleh mengira dengan tangkasnya. Adakalanya sekolah pun gagal membuat budak pandai mengira.

Oh, itu bukan poinnya. Sebenarnya aku cuma nak kata; apa yang nenek lihat hijau itu aku namakan biru. Angka yang nenek bundarkan itu, taklah sebanyak itu. Hakikatnya nilai sebenarnya tidaklah seperti yang dikatakan.

Dengan kata lain, apa yang orang nampak begitu, pada aku tidak semestinyalah begitu. Kebenaran itu bukan pada apa yang terdengarkan, tapi pada segala yang memang dicatatkan. Walau apapun, cerita nenek sekadar contoh-contoh saja. Nenek kekal jadi wirawati dalam jiwaku. Tetapi, hanya wirawati ya, bukan sembahanku.

Hm. Dapat tak poinnya? Hehe. (aku sedang ketawa. Skeptikal dengan nasib sendiri)

____________________________
#3
'aku'

Aku.
di satu sudut
terpojok
menanti akhirnya sketsa

Tuhan.
jangan letak koma
pada rangkap itu
akhirinya dengan noktah

Izinku
bertemunya
Izinku
dalam dakapnya
selalu hangat
seperti puluhan tahun dulu

aku dan Tuhan
sentiasa ada
dalam doaku
dalam tangisku
dalam laguku
dalam senduku
dalam puisi 'aku'.

17 des
unknown.

Sunday, December 02, 2007

pagar besi

pada dua wajah pagar besi
termangu aku di satu sisi
sedang engkau terkedu di sisi ini

di situ kulihat gentayang pasrah
di sini kau lihat debuan redha
terbang, mencari tempat di wadi hati

ummat bersengkang mata
pada sepertiga malam
bertatih membongkar hikmah

tabahlah, lalu bersabar
muhasabahlah, lalu ikhtiar
kerana Allah telah berjanji meneguhkan kakimu

(tetapi
kerana adanya pagar besi
kata-kataku bergema lantang
hanya di sini)

Friday, November 16, 2007

Cinta Jakarta

Tuhan
Berikan semula
Secebis cinta
Yang kucicirkan
Di Kota Jakarta

Di sini
Terpilu aku
Menggagau tenang
Yang kutinggalkan
Di Kota Jakarta

Kau Maha Pemelihara
Maha Pengampun
Maha Pemberi
Pulangkanlah semula
Tolonglah

Di Kota mati itulah
Telah kusaksikan
Erti sebenar-benar
Satu kehidupan

Wednesday, October 31, 2007

Bintang

+Ukhti, cuba kau lihat bintang itu.
-Indah. Mengapa ada bintang di langit?
+Cuba kau teka.
-Entah? Kerana ada rahsia agung dari Yang Maha Agung, mungkin.

Senyum.

+Bintang itu ada kerana kita ada. Percaya tak?
-Kau gila.
+Kau lupa? Tuhan bercerita tentang para pelayar mencari arah dengan bintang. Ingat?
-Jadi, kau mengatakan ia dicipta untuk kegunaan para pelayar? Begitu?
+Bintang juga dijadikan pelempar syaitan. Siapa syaitan?
-Penyesat manusia. Musuh nombor utama.
+Hmm. Kemudian, cuba kau fikir, Tuhan sudah berjanji akan menggugurkan bintang-bintang bukan?
-Lalu?
+Lalu digulung seluruh alam al wujud ini, bukan?
-Jadi?
+Jadi benarlah bintang itu di situ kerana kita ada. Jadi, apabila manusia semuanya sudah tiada, maka apa gunanya lagi bintang itu di situ. Kerana itulah Allah akan gulungkan sekali semuanya.

Perbualan terhenti di situ. Mereka sama-sama menutup mata mentadaburi suara alam. Memikir kebesaran-Nya. Sungguh, itu malam paling damai dan menenangkan antara ribuan malam yang berlalu.

"Jadi benarlah. Walau seluruh dunia menyisihkanku, aku ada Allah yang sentiasa di situ untukku. Tuhan, terima kasih atas kerdipan bintang-bintang itu. Izin aku bersua dengan-Mu," desis hatinya.

Saturday, October 20, 2007

Siapekah..

Sebuah entri menyentuh hati.
Semoga bermanfaat.
[especially utk adek2ku. Huhu]
Sila klik----> Siapa?

Wednesday, October 17, 2007

Catatan Syawal

Angka di pojok kanan tetingkap komputer mempamer angka 4:03 pagi. Dan mata ini tak bisa lelap lagi. Benarnya baru saja menghantar Yuyun pulang ke seberang. Bapanya meninggal dunia dipatuk ular ketika ke sawah. Seharian dia menangis. Dia baru saja mengirim wang untuk menebus tanah sawah bapanya itu. Belum sempatpun bersua, Allah menarik hayat bapanya terlebih dahulu. Mak yang melihat pun turut menangis, mengongsikan perasaan kehilangan arwah nenek tempohari. Inilah resam dunia, yang hidup pasti akan pergi. Yang banyak pasti akan habis. Yang ada pasti menghilang.

Melihatnya berkemas-kemas, hati dicuit hiba. Teringat kenangan ketika berkemas-kemas untuk ke bumi peti sejuk lebih dua tahun yang lalu. Serasa terlalu ingin pulang ke sana. Melonjak-lonjak rasa hati mahu kembali. Aduh, bumi tarbiyah itu... bilakah lagi dapat bersua? Tuhan, hamba ini rindu dengan tarbiyah di bumi itu. Dan tarbiyahkah ini, terpaksa menguatkan kaki mengharung jahiliah yang pelbagai di tanah sendiri?

Bumi itu terlalu indah. Tarbiyahnya, malahan fizikalnya sendiri. Walau itu bumi yang belum pernah dikuasai kita, namun suburnya dengan Islam di sana-sini seolah-olah dibaja. Tanpa dipaksa, pohon toiyyibah tumbuh melata hanya dengan semaian dari Yang Esa. Hairan bukan? Pohon toiyyibah lebih subur tumbuh melata di bumi itu, berbanding di tanah kering ini. Kuasa Allah, siapakah dapat menghalang?

Hmm. Terimbas kenangan tentang bumi itu. Sekarang pasti semua pohon sedang mulai meluruhkan dedaunnya. Ah, indahnya! Dedaunan kuning bertebaran di atas rumput yang menghijau, mentari yang mulai suram, langit yang membiru tanda ceria, juga bayu yang menghembuskan angin sejuk yang mendamaikan... semuanya terlalu indah. Paling dirindu—perasaan ketika jalan-jalan petang merentas padang. Begitu indah perasaan itu, apabila dipukul angin sejuk damai, yang adakala mencengkam tulang sulbi. Cukup mendamaikan, apabila berteleku di pinggir padang merenung langit luas tanpa tiang. Ya Tuhan, Maha Suci Engkau!

Lebih dirindu, salju putih yang menyelimuti bumi. Itulah musim sejuk yang menyeronokkan. Jika makcik cleaner kami itu begitu membenci musim sejuk, bagi ana musim sejuklah musim yang paling dinanti. Katanya musim sejuk mengekang aktiviti harian, namun bagi ana musim sejuk adalah anugerah Allah bagi insan melihat ayat-ayatNya. Betapa Maha Suci Dia, berkuasa mencipta cuaca yang pelbagai. Dan paling dinantikan, tentulah PMS sebagai penutup tirai tahun Miladi di situ.

‘Idulfitri di tanah air meruntun hati merindu tanah tarbiyah. Seharusnya’Idulfitri menjadi hari para mukminin merayakan kejayaan kembali kepada fitrah Islam. Kejayaan mengekang al hawwa’ lalu kembali kepada cara hidup yang serasi dengan fitrah. Namun mungkin inilah masanya Allah menguji dengan pelbagai cubaan untuk menilai ketulenan azam para mukminin untuk kembali kepada fitrah. Dan inilah ujian paling getir. Apabila dikembalikan kepada ‘dunia lama’ yang telah ditinggalkan. Dilontar kembali kepada ‘zaman zulumat’. Maka jangan hairan mengapa hati terlalu merindui detik-detik silam di bumi tarbiyah itu...

Entahlah bagaimana menempuh tahun-tahun mendatang. Apapun, Allah juga punyai cara-Nya mentarbiyah ‘abid. Dialah tempat memohon pertolongan. Wallahu musta’an.

Tuhan. Kumohon kekuatan. Thabbit aqdamana. Thabbit qulubana. La tuzigh qulubana ba’da izhadaitana. Tolong, berikan kekuatan.

Thursday, September 13, 2007

Ini Mungkin Yang Pertama

Ini mungkin yang pertama
Bilakah yang akhir, jangan bicara
Inilah yang pertama. Hadir
Setelah kumengenal Yang Teristimewa

Dahulu mungkin aku keliru
Siapa Dia dalam hati, tidak kutahu
Akulah yang nanar. Bungkam
Apalagi mengenal untuk apa hidupku

Jika Ramadhan punyai jasad
Ingin sekali Ramadhan kupeluk
Mendakap cinta di hati. Dekat
Mencari cinta Ramadhan yang hangat

Kini telah tiba hari-hari penuh cinta
Moga Ramadhan selalu bersama
Membawa aku kepada Dia
Pada pesta-pesta penuh bahagia.

Ramadhan Mubarak!

Tuhan,
hampiri kami,
sudilah pandang kami,
kurniakan cinta kepada kami.

Thursday, September 06, 2007

Monolog

Langit
Jangan mendung dahulu
Kerana aku perlu ke seberang
Melangsaikan segala hutang.

Thursday, August 23, 2007

Mencari Diri

Sedang berkemas untuk musafir buat kesekian kalinya, sambil telinga dijamu halwa nasyid dari hijjaz- Rindu. Tiba-tiba terpanggil untuk menulis, entah kenapa. Kata Hijjaz, rindu adalah anugerah Allah. Barangkali rindu itu fitrah, hadir secara alami, menusuk ke dalam sukma. Kerana itulah ia anugerah. Fitrahkah perasaan rindu itu? Jika benar, maka fitrahkah rasa rindu kepada Yang Satu? Jika benar, mengapa payah benar memupuk rindu kepada Yang Maha Pengasih itu, sedang Dia tak pernah gagal menitip kasih buat hamba-Nya?

Kadang terlintas dalam diri, masakan merindu Allah sedang hati sarat dengan perkara dunia?

Seorang sahabat ana bertanya, ubat apakah dapat diberi pada imannya yang terasa meroboh? Iman yang terasa mula luntur, ditebak kesibukan dunia. Difikirkan ubatnya ada di majlis-majlis zikrullah atau taman syurga. Namun tak berapa lama setelah pulang dari majlis-majlis itu, imannya kembali roboh juga. Difikirkan rindu itu ada pada hamparan sejadah di sepertiga malam, namun segalanya terasa kering dan hambar semata. Disangkanya madu kasih Ilahi pasti ada pada kalam-Nya, sayangnya hatinya semacam tanah pejal yang hanya mampu menakung air kasih-Nya tetapi gagal menyerap indah cinta-Nya ke dalam diri. Apa yang tak kena sebenarnya? Apa yang menyekat dari rindu itu menguasai sukma?

Ana juga gagal mencari jawapannya. Kerana terlalu benar, rindu itu memang anugerah, dicampak-Nya pada sesiapa yang dimahukan-Nya. Jika kita dipilih-Nya, alangkah untung. Tetapi jika tidak, alangkah…

Namun Imam al-Ghazali ada menyatakan bahawa usaha mencari Tuhan harus bermula dengan mencari diri. Menjernihkan an-Nafs. Membuang keburukan padanya dan menghias dengan kemuliaan. Sayyid Hawwa’ juga bersetuju dengan ini…

Dan salah satu cara yang paling baik, paling berkesan dan paling segera adalah zikrul maut. Ingati mati. Kerana memang benar, mati itu sentiasa mengejar, dan manusia pun terkadang tidak menyangka dia akan mati pada saat ‘Izrail menjemput.

Hm. Perlu bergerak sekarang. Teguhkan iman, tetapkan amal. Tika kau melangkah mencari-Nya selangkah, Dia berlari mendapatkanmu seribu langkah...

Sakit


*gambar curi dari fs someone [u knw who u r]. afwan ye mencurik.

Teringat kata-kata seorang adik kesayangan ana; "dalam dunia ni memang ade dua jalan je kan kak? Tapi selalu je kite keliru sebab jalan yang jahat nampak macam baik je selalunye."

Begitulah. Kadang-kadang kita hairan kenapalah jalan yang baik yang kita nak pilih ni nampak macam susah je nak ditempuh, dan kelihatan pelik pada lensa mata sesetegah manusia. Tetapi hakikatnya jalan yang tak baik memang selalu nampak cantik dan bagus, membuatkan hati kite nampak jalan yang lagi satu macam tak baik dan tak bagus.

Hmm. Tapi yang lebih hairan, hati kita pula selalu jadi waswas nak ambil jalan baik, walau pasti itulah jalannye. Selalu je terlintas dalam kepala... To go or not to go? To do or not to do? To proceed or just leave it there? To march or to die? Erm..

Mungkin, menyerah kepada Allah bulat-bulat akan menjadi pilihan kita. Cuma, bodohlah kita jika menyerah kepada Allah semata dari sudut usaha yang bersifat materi, sedang Allah menilai kita pada usaha itu. Yang wajib menyerah bulat-bulat pada Allah adalah hati, kerana bukankah tawakkal itu ibadah hati? Sebab itu ahli sufi berkata; "ikatlah tali untamu, kemudian bertawakkallah".

Hm. Macam mana pula jika terpaksa memilih antara dua cabang jalan yang baik? Bimbang pula bila keliru, terus saja pilih jalan yang tak baik. Wal iyazubiLLah! Apepun, baik atau sebaliknya, Allahlah yang menilainya. Berdoalah agar dicampakkan kebaikan untuk mana-mana pilihan. Walau sakit dengan pilihan yang betul itu, namun Allah sentiasa bersama.

Semoga terubat. Syafakumullah.

Saturday, August 11, 2007

sajak yang saye suke sampai bile-bile



*amik dari saharil dot com

Wednesday, August 08, 2007

paint

"We are just the brushes for the Painter to paint His light."

you may choose to be one
you may choose not to be one
you can also choose to break other brushes into pieces
even though you are not dipped into the paint
at all

whatever it is...

Allah is the one who determines the chosen one
The Almighty
The Most Gracious
____________________________________

kami serahkan semua hidup pada Allah
kami tekadkan untuk ikuti Rasulullah
tiada di hati kami melainkan syurga nan indah

-SAZ-

Thursday, August 02, 2007

"Rumah Kami Sangat Jauh..."

Dia membongkar isi sampul surat merah jambu, yang diselit pada mukasurat pertama diari itu. Surat yang kelihatan usang itu tampak bergerigi kesan gigitan gegat, barangkali. Namun itu tidak menghapus minatnya membuka lembar dan memulakan pembacaan...

"Kamu tahu impianku?

Impianku disimpan orang semalam, lalu mereka bawa ke hari ini. Mereka tatang dan hadiahi aku dengan impian itu. Saat aku kabur mengapa aku wujud di sini, hidupku disimbah cahaya bila dihadiahi dengan impian itu. Impian untuk bertemu sebuah negeri abadi selepas penat lelah berjalan. Impian untuk pulang ke rumah yang sangat jauh itu..

Syaratnya, harus menempuh perjalanan itu dahulu. Namun berjalan di lorong sempit berliku-liku ini memang mencabar. Bukan sekali terfikir untuk berpatah semula. Kadang hingga nekad untuk berpatah semula, mencari pangkal semua ini. Na'uzubillah!

Tetapi bila difikir-fikir, siapa aku tanpa semua ini. Aku bukan lagi aku jika menolak untuk memilih jalan ini. Orang terdahulu telah melaluinya dan kini berbahagia. Tiba masanya, aku juga ingin seperti mereka; bisa menjerit "INILAH AKU. INILAH JALANKU".

Aku memerlukan jalan ini untuk tiba ke sana, sedang jalan ini langsung tak memerlukan aku. Inilah masanya menanam tekad. Tak ada letih dalam larian. Aku tahu. Inilah masanya.

Doaku, moga dikurnia seorang penunjuk jalan, memimpin arah jalan. Aku takut hilang tujuan. Tuhan, Kau tahu apa terbaik untukku. Kau putuskanlah untukku. Kau Maha Kuasa, sedang aku tiada kuasa. Ku serah selebihnya pada-Mu. Hidupku dinazarkan untuk-Mu.

"Maka kejarlah mati di jalan Allah, kalian akan mendapatkan kehidupan." Kata-kata Syeikh Abdullah Azzam ini kuhadiah untukmu."

Warkah dilipat. Nafas dihela dalam-dalam. Dalam kesamaran cahaya malam, dia melangkah ke gigi air, mengangkat wudhuk dan kemudian berteleku di atas sejadah memohon semangat. Mungkin lebih tepatnya, memohon kekuatan dan keteguhan hati. Semoga, dia tabah.

"Bismillahi tawakkaltu..."

Saturday, July 14, 2007

apekah?

Kulit diari dikuak. Ada debu bergentayangan, kesan dari libasan kulit diari. Serasa berkurun diari itu terbiar. Eh bukan. Bukan terbiar, tetapi sengaja dibiar. Kerana dia mengharap agar memiliki 25 atau 26 jam sehari--agar sejam atau dua dapat dihabisi melakar lembar diari dengan tinta hati. Namun itu impi yang takkan jadi nyata, pastinya.

Tuesday, June 12, 2007

Batu

I
Tuhan
Izin aku jadi batu
Keras terus begitu
Hingga akhir waktu


II
Adik
Kau harus jadi batu
Walau terlontar jauh
Harus tegar seperti itu


III
Dunia
Aku ini batu
Bermula dari tanah
Berakhir ke dalam tanah

IV
Batu
Aku ini kamu
Ingat itu selalu
Sampai hujung waktu

_________________________________
Hiduplah di dunia seperti orang asing
atau penyeberang jalan.
#40

Saturday, May 26, 2007

Jauh

Tadi saya nampak dia siap-siap
lepas mandi, dia pakai baju baru
tudung baru...
pakai bedak..
pakai celak..
wajah dia putih bersih
ada senyum terukir..
kemudian saya cium wajah dia..
wangi..
pukul sepuluh pagi dia bertolak..
tinggalkan saya..

tapi dia pergi tak lambai saya pon..
dulu masa saya kecik2
dia selalu pegi pasar senyap2
tak lambai saya pun..
beritahu pun tidak..
sebab tak mau saya ikut

bila saya sedar dia dah pergi
mesti saya menangis
tapi bila dia balik
saya akan melonjak-lonjak gembira..

kali ni pun macam tu
tau2 dia dah pergi.
takde lambaian..
takde ucapan..
dan saya rasa
saya takkan melonjak gembira
macam dulu lagi..
kerana dia takkan mungkin pulang...

Baikkk..
adik janji akan jadi budak solehah
macam yg selalu maktok doa..
Jumpa lagi ye nanti...
InsyaAllah..
=)

13-05-84 01:20 saya hadir dalam hidup dia
25-05-07 02:20 dia pergi dari hidup saya selamanya...

in loving memory
Fatimah Binti Sahad

Tuesday, May 08, 2007

Semoga..

Semoga
Selamat meniti segalanya
Selamat menongkah segala yang bakal binasa
Selamat menggapai keredhaan-Nya

Juga moga.
Kuat dalam meniti kehidupan
Gagah dalam mengharung likuan
Tabah dalam menghadapi segala ketentuan

Hidup kita.
Bukan lagi hidup biasa
Bukan lagi untuk dunia
Bukan lagi mencari bahagia

Kerana bahagia ada. Di sana
Dunia hanya tempat sengsara
Sekadar persinggahan sementara
Sebelum sampai ke destinasinya

Demi larian yang. Masih panjang
Demi mengangkatnya ke tempat gemilang
Moga kuat mengatur langkah Pahlawan
Dalam juang mencari Tuhan.

080507 01:47
SAZ KL

Friday, April 27, 2007

"Ya Allah Tuhanku
Yg merubahkanku
Tetapkanlah hatiku
Moga sentiasa dalam agamamu
Jua taat akan perintahmu..."

Tuesday, April 24, 2007

Dakwah ini milik siapa?

Dahulu, ketika Muhammad mendapatnya, terus diberi kepada beribu-ribu manusia.
Dahulu, ketika Abu Bakr mendapatnya, terus diberi kepada enam manusia yang kebanyakannya dijamin syurga.
Dahulu, ketika Bilal mendapatnya, terus dibebaskan jiwanya walau tubuh dibaham belati.
Dahulu, ketika Sumaiyyah mendapatnya, terus dikorbankan nyawanya tanpa ada rasa ragu.
Dahulu, ketika Umar mendapatnya, kasar jiwanya terus dihalusi oleh ayat-ayat Yang Maha Esa.

Itu dahulu.
Sekarang?

Kita mendapatnya, lantas kita biarkan ia tersimpan kemas tidak ke mana-mana.
Kita mendapatnya, lantas kita enggan semua orang merasai apa yang kita rasa.
Kita mendapatnya, lantas kita halang mereka memberi pada yang sepatutnya.

Kita merasa tidak layak, padahal kita sebenarnya dibebani tanggungjawab sejak dari langkah bermula.
Bila pula mula merasa layak, kita melakukannya pula demi segugus nama.

Pedang yang tidak tajam harus diasah.
Pedang yang tajam bukan untuk menikam saudara.
Musuh kita al bathil,
Musuh kita bukan sesiapa yang melangkah dalam soff yang sama.

Tawadhuklah.
Berusahalah.
Buatlah kerana mardhatillah,
Bukan kerana diri sendiri.

SAZ 1108 240407
[aku mahu jadi seperti 313 itu]

Monday, April 09, 2007

Penulisan kritis

Terpanggil untuk menulis selepas ditelah oleh seorang ukhti tentang "tulisan yang menggegar minda". Pernahkah antum cuba menulis sesuatu yang 'bukan sekadar omongan kosong'? Pokoknya, banyak orang tidak mampu menulis karya untuk menjadi bahan bacaan pengembang minda. Mungkin kekangan masa, mungkin juga kekangan lainnya. Jika antum memang bijak menulis, anggapkanlah diri antum dianugerah kelebihan. Maka gunalah sebaiknya. =)

Tetapi bagi ana karya paling agung yang bisa terlahir adalah apabila berjaya membentuk hati-hati manusia untuk mengikut acuan al Quran. Walau bukan dengan tulisan, namun itulah karya terindah; apabila tugas sebagai pejuang kemakmuran dunia terlaksana walau bukan dengan mata pena. Kerana Rasulullah sendiripun berjuang bukan dengan pena, tetapi dengan kudrat dan lidahnya. Itu sebenarnya.

Menulis bukanlah suatu perkara mudah. Bahkan betapa ramai yang trauma apabila hasil tulisan dianggap salah oleh pembaca. Tidak semua orang berkemahiran dalam mencanai perkataan, untuk dijadikan penggegar jiwa. Terutamanya apabila kita bertujuan mendidik manusia dengan tulisan, banyak perkara harus diambilkira. Mungkin lantaran itulah ana hanya menjadikan penulisan sebagai sekadar kaedah untuk rehat-rehat jiwa. Tidak pernah lebih, dan tidak pula bertujuan lain dari sekadar rehat-rehat jiwa. Rehat-rehat yang moga-moga bermanfaat untuk yang mahu mengambil iktibar.

Janggal rasanya menulis begini. Sekian lama mengubat diri dari trauma, baru hari ini berjaya menulis tanpa menggunakan sudut pandangan orang ketiga. Hehe. Namun satu pesan ana untuk para pembaca yang tak seberapa; jangan pernah tinggalkan kerja menyampaikan dengan lidah. Kerana perkara yang dibuat Rasulullah itulah contoh tauladan paling aula. Jika ada kelebihan lain seperti menulis atau melukis, buatlah ketika lapang...

Hm. Da'ie ada masa lapangkah? Sudahkah antum menjadi Da'ie mukmin?

Yang Tidak Kritis,
SAZ-ipbakl
=)

Thursday, March 29, 2007

"Kita diajarkan cinta kematian, bagai musuh kita cinta kehidupan..."

Hati umpama gelas tipis. Digenggam kuat, ia berkecai. Digenggam lewa, ia jatuh berderai. Dibiar alpa, ia menghitam. Ditakung air yang tak bergerak, ia mengarat dan berkeladak.

Sensitif. Itulah sifatnya. Jika tersentuh, bakal merubah bahkan seluruh isi dunia. Namun jika tidak pernah ditembusi cahaya penerang zulumat, alangkah rugi. Manusia yg hatinya mati itu tak ubah seperti boneka-boneka. Berjalan atas dunia hanya sekadar jadi hamba nafsu dan syaitan. Jahil tanpa pedoman, tak ubah seperti binatang ternak.

"Jangan jadi lembu," kata tulisan yang saya baca atas lukisan kartun lembu itu. Ironi. Tapi menyentuh hati. Hmm. Kenapalah susah menjaga hati? Zikrul maut, itu ubat menjaga hati. Betapa indahnya mencintai mati... Tuhan, kurniakan kami cinta itu. Cinta mati itu.

Cahaya iman yang terang menyuluh hati kita akan menyuluh hati mereka. Terima kasih adik, atas kata-kata ini.

Wednesday, March 21, 2007

313, tunggu.

Dalam gentayangan debu
larian kuda-kuda itu
ada satu pelana
tercampak
pilu
313,tunggu
jangan tutup mata tanpa aku



SAZ
ipbaKL
210307
dua
satu
tiga
lapaniturupanyabukanuntukaku

Monday, March 19, 2007

Exhausted?

"I feel exhausted with my life. I have everything, yet i feel empty," perempuan lewat empat puluhan itu tiba-tiba meluah perasaan, membuat mata Firus terbeliak.

Dia, berjawatan hebat di sini. Bukan calang-calang sijil yang diperlukan untuk mengisi jawatan itu. Gajinya--pasti empat hingga lima angka. Personalitinya ceria. Tidak pernah lekang dengan senyuman. Tetapi tiba-tiba dia letai dengan hidupnya?

"I tak puas hatilah dengan hidup I. I think I deserve better than what I have now," dia mengadu lagi. Firus tersenyum.

"Puan marah siapa?" Firus memancing. Fail yang didakapnya sejak tadi diletak atas meja.

"Entah. Takdir, mungkin?" Dia mengerut dahi, sambil merenung ke lantai bilik pejabatnya, seolah mencari jawapan. Barangkali ada tertulis di mana-mana, atas permaidani itu.

"Puan pernah baca hadis keempat dalam buku himpunan 40 hadith? By Imam Nawawi. That makes a very excellent read, indeed. You don't have to find inspirational or motivational books in Kinokuniya, if you've got that book in hand," Firus menjawab sambil mengerling ke arah barisan buku-buku motivasi yang tersusun di rak bersebelahan mejanya. Buku-buku 'kelas atasan', tulisan penulis-penulis Mat Saleh.

"Owh. What does it say?"

"About fate. Taqdir. And it explains why it is called TAQDIR. How actually Allah designed our lives to be like what it is. Owh, we need ample time if we were to discuss about that," Firus mencucuk jarum lagi. Tujuan asalnya berbincang tentang thesis tiba-tiba menjadi peluang emas untuknya menyampaikan Islam.

"Mana awak belajar ni ye? Mak saya kat kampung tu selalu juga ikut usrah di surau. And she did invite me to join that, but I takde masa nak pegi surau atau masjid. Busy la Firus," Dia menyengih. Firus terkedu. Dia yang begitu moden, tiba-tiba bicara soal ini? Ah, silapnya dia menyangka yang bukan-bukan sebelum ini!

"Tak semestinya belajar Islam ni kena duduk surau, Puan. Zaman sahabat dan tabi'in dulu, semua orang saling ajar-mengajarkan tentang Islam. You'll find people doing that everywere, anywhere. Unlike nowadays. Islam is so strange," Firus menjawab.

"Do you think it's all-right if I start to learn it now? Tak lambat sangat ke? I'm old"

"Better late than never," Firus mengangkat kening sambil tersenyum.

"Ok, I ajar you thesis, you ajar I usrah. Boleh tak? Kat mana I nak dapat buku Imam Nawawi tu?"

...
________________________________________
Berusahalah~!
Balligh walau ayah...

Sunday, March 18, 2007

Bolak-Balik

Di celahan jemari. Bila-bila saja, boleh dipaling-palingkan telapak tangan. Lantas berubahlah kedudukan apa yang di celahan jemari itu. Itulah perumpamaan hati, milik abadi Ilaahi Rabbi. Memang sifatnya akan berbolak-balik. Tidak tetap. Berubah-ubah. Sekejap begini, sebentar begitu.

Manusia yang tiada pendirian harus belajar ini; bertawakal kepada Allah, sebelum berfikir panjang tentang sesuatu. Kemudian nekad. Kerana orang yang tidak mendahulukan tawakal, serta tidak mengakhiri keputusan dengan nekad, pastinya akan lebih banyak sangsi dengan keputusan sendiri. Dialah manusia tanpa pendirian, yang sentiasa dibisiki syaitan.


Hmm. Hari ini bukan hari untuk menulis, mungkin.
__________________________________________
Ya Muqallibal Qulub, thabit qulubana 'ala deenik, fi sabilik.

Thursday, March 15, 2007

Utopia

Pakcik Mukhlis itu usianya kira-kira sebaya Ibu. Mungkin. Melihat jumlah peratusan putih rambutnya, aku kira usianya sebaya Ibu. Mungkin sedikit lebih. Pastinya, dalam lingkungan hujung lima puluhan, sama seperti Ibu. Namun masih, beliau masih kelihatan segak. Jujur kuakui, riak-riak tampan masih ada. Caranya membawa diri sememangnya menggambarkan inteleknya. Masakan tidak, keluaran Koleh Melaya. Serupa semuanya. Nampak bijak, hebat bicara, handal dalam skil interpersonal, memandu kereta gabak, berpangkat. Hmm apa lagi? Oh ya, beliau kini katanya merupakan ketua kepada doktor-doktor pakar di hospital swasta yang dibina dekat dengan sungai itu. Wah. Entah apalah nama jawatannya. Hebat betul. Hmm. Melihat janggutnya, aku pasti dia ikhwah itu. Yang tempohari aku lihat wajahnya dalam majalah.

Ketika itu aku dan Abang Handzolah sedang minum-minum petang di kerusi malas depan kolam. Dada aku sedikit berdebar melihat kereta gabak Pakcik Mukhlis masuk ke perkarangan rumah. Kemudian aku masuk, mengkhabarkan pada Abah. Seterusnya aku lihat, ketika Pakcik Mukhlis menggenggami tangan Abang Handzolah saat bersalaman, genggaman Pakcik Mukhlis erat. Erat yang amat, seolah sahabat lama yang begitu rindu untuk bersua. Abang Handzolah, kulihat begitu bersahaja mengawal rasa hatinya yang berbaur. Aku tahu hatinya berbaur. Kerana hatiku juga begitu. Entah. Aku pasti Ibu dan Abah apatah lagi.

Pakcik Mukhlis itu punyai sejarah dengan Ibu. Sejarah cinta orang tua-tua. Sejarah cinta yang tidak lagi mahu Ibu ingati. Sejarah cinta yang takkan mungkin mahu kami ambil peduli. Namun sejarah itu seolah kembali berputar kini. Setelah lebih tiga puluh tahun berlalu, sejarah itu seolah dihidang kembali di depan mata, bersama hadirnya Pakcik Mukhlis hari itu.

Apa yang aku tahu, Pakcik Mukhlis dan Ibu sudah begitu hampir kepada hari pernikahan, apabila Nenek Shamsidar datang memulangkan semula naskhah alquran dan kain songket hadiah dari pihak Ibu semasa pertunangan. Kemudian, Ibu kemurungan berbulan-bulan lamanya selepas majlis akad Pakcik Mukhlis dengan Doktor Hamimah dilangsungkan beberapa minggu selepas itu. Dan kini, setelah lebih tiga puluh tahun berlalu, Pakcik Mukhlis datang. Untuk apakah? Mengulang sejarah?

Saat melihat wajah Pakcik Mukhlis masuk ke rumah, Ibu terus berlalu ke dapur. Abah pula berubah wajah sambil menyambut huluran tangan Pakcik Mukhlis. Haha. Dah tua-tua pun masih cemburu ya. Aku? Aku hanya menahan gelak dalam hati. Sambil terasa sakit hati. Lantas aku berlalu ke bilik, membiar orang tua-tua di luar.

Mereka berbual, sedang aku terus mengurung diri dalam bilik. Takut. Celaru. Geli hati. Semuanya berbaur. Abang Handzolah? Ke mana Abang Handzolah? Sambil berfikir-fikir, aku menghilangkan diri ke alam tanpa sempadan. Melayari internet. Biar hilang hiruk pikuk. Sambil menulis-nulis menghilangkan bosan.

Dua jam selepas itu, Ibu masuk ke bilik membawa sebuah bungkusan. Macam pernah kulihat isinya. Saat kulihat mata Ibu berair dan hidung ibu merah, aku dah tahu. itu pastinya barang-barang yang diberi pihak kami tempohari. Itu pasti keputusan Pakcik Mukhlis. Dan Doktor Hamimah. Ah, sudahlah. Siapalah kami ini. Aku harap Abang Handzolah bersabar.

Mungkin akhawat manis, puteri Pakcik Mukhlis itu bukan jodoh Abang Handzolah. Dia itu bukan sepadan. Dia itu bukan lawan. Pipit harus dengan pipit, jangan berangan mencari enggang. Abang Handzolah, ada ramai lagi akhawat, biar Adik tolong carikan. Anak ikhwah pun belum tentu sepadan dengan ikhwah. Ikhwah pon ada macam-macam. Abang Handzolah tu ikhwah biasa-biasa saja. Harus cermin muka sebelum menerima cadangan itu tempohari. Hmm.. Kita bersangka baik sajalah. Atau... Sedar diri sajalah. Haha. Oh maaf, Abang Handzolah. Adik terlalu berterus terang. Sebagai adik, Adik harus supportive.

Hmm. Jika masih berkeras, nikah saja di Narathiwat. Selesai. Tapi itu perangai ikhwah ke? Err. Bukanke ikhwah ada macam2 ikhwah? Yang dipanggil ikhwah belum tentu 'ikhwah'. Kan?

Eh, siapa ikhwah?"Innamal mukminuna ikhwah"?

Full stop.
_________________________________________
DIsclaimer;
[1] Ini cerita rekaan, takde kena mengena dengan sesapa. Hmm.. kalau orang kate rekaan tuh, takyah la teka-teki mana kebenarannya. Dah nama pun rekaaan. Ish ish ish.

Friday, March 09, 2007

Paradoks

Dan demi pucuk hijau segar pada ranting yang kering,
Demi sungai yang mengalir deras di gurun yang kontang,
Demi angin yang menghembus lembut mencabut dan menerbangkan pepohon,
Demi api dendam yang menjulang semarak cinta,
Sungguh, dua takkan menjadi satu,
Sampai bila-bila.

Kala hati rindukan cinta insan,
Apakan membawa kepada kecintaan terhadap kematian?
Kala bibir lesu mengucap zikrullah,
Apakah hati benar ingat pada Allah?
Sungguh, dua takkan menjadi satu,
Sampai bila-bila.

Pada rintih lelah mengharung lumpur dunia,
Ada yang tersenyum kerana sengsara,
Moga bangunmu esok menjadi bangkit seorang pejuang,
Kerana sungguh, dua takkan menjadi satu,
Sampai bila-bila.
_______________________________
Sesungguhnya ada dua macam cinta yang tak dapat menyatu;Cinta Allah dan cinta kemaksiatan. Cinta Jihad dan cinta kehidupan. Cinta pengorbanan dan cinta harta kekayaan. Cinta kebenaran dan cinta kepemimpinan. Cinta perdamaian dan cinta untuk membalas dendam. Cinta perbaikan “ishlah” dan cinta keselamatan. Cinta perjuangan dan cinta untuk hidup berleha-leha. Cinta keadilan dan cinta penghambaan. Cinta rakyat dan cinta thogut. Cinta untuk senantiasa berbuat baik dan cinta untuk berbuat curang (Musthafa Siba’i).

Tuesday, March 06, 2007

Akhir Sebuah Permulaan

Kotak-kotak yang dikirim sewaktu di tanah tandus Inggeris telah sampai. Masih ingat kotak-kotak yang diceritakan dahulu? Kotak yang membawa segala harta dan jiwa itu. Semuanya selamat sampai ke tanah air. Alhamdulilah. Bersama sampainya kotak itu, maka tamatlah seluruh cerita di tanah tandus Inggeris, yang terukir hanya untuk dua tahun. Segalanya kini berakhir, bersama akhirnya permulaan di medan baru ini.

Bilakah akan kembali? Entahlah, tetapi insyaAllah, pasti akan kembali satu masa nanti. Mungkinkah menyongsong adik-adikku yang bakal Allah kirimkan pada tahun sembilan nanti? Doakan saja. =)

Ada banyak perkara yang sentiasa menggamit ingatan tentang bumi itu. Sebahagian darinya, begitu indah. Sebahagian yang lain pula begitu kabut. Namun, segalanya yang berlaku pastinya adalah perkara terbaik buat diri, kerana Tuhan tidak mungkin pernah lalai dari menyusun aturan dan memelihara hamba-Nya. Bahkan, tidak ada walau sehelai daunpun yang berguguran di luar pengetahuan-Nya. Hebat, kan? Jadi, masakan Dia mengatur segalanya dengan lewa. Buruk atau baik, indah atau kabut, segalanya tidak berlaku dengan sia-sia. Hanya manusia saja yang kerap menjadi zalim, apabila dengan mudah membuat kesimpulan tentang masa lalu dengan begitu mudah. Tapi, biarlah. =)

Satu perkara yang paling takkan dilupa adalah apabila mengukir kenangan bersama-sama dengan jiwa-jiwa yang kini tertinggal di sana. Kamu tahu kamu siapa. =) Walau genggam tangan kamu bukan lagi bersatu dengan genggam tangan saya, namun jangan henti berlari. Teruskan saja, kerana kamu seperti saya, punyai Dia. Apalah nak dirisaukan, kan Dia itu sebaik-baik Teman, juga Pelindung?

Mengingati kamu, pasti terimbas kenangan jalan-jalan kita. Menanti keretapi di Reading, menuju Coventry. Menyusur sungai di Bath, meredah padangnya, bersujud menghadap Allah ketika senja di Land’s End, bahkan menikmati senja di Bristol. Ah. Rindu. Bagaimana agaknya khabar Bandar Riviera Inggeris, Torquay? Masih banyakkah kapal berlabuh? Apakah cerita kota Birmingham? Dan khabar apakah Robinhood di Nottingham? Dan kota kegemaran saya, Edinburgh; masihkah banyak para lelaki peniup-peniup bagpipe berskirt pendek di tepian jalan?

Hmm. Masih ingat ketika kamu dan saya memburu secawan kopi di Bandar Bath? Dengan keadaan yang sejuk membeku, kita berusaha mencari hangat. Hattakan tanpa sedar mengetuk pintu sebuah bar! Haha. Itu mungkin kenangan paling kelakar.

Aduh, teringat pula wajah makcik Susannah, cleaner rumah saya. Begitu sayu melihat tangisannya ketika saya berlalu meninggalkan perkampungan Marjon. Tak sangka, walaupun perkenalan hanya lapan musim, namun tangisannya mengiringi pemergian saya. Ah. Rindu.

Bagaimana dengan Southampton? Masih ingatkah dengan kek pisang kita pada hari raya? Paling istimewa; kereta putih itu. KJU. Yang saya tak lagi pasti apakah masih mampu berziarah ke Plymouth? Dan dua perempuan yang menghias kanvas hidup saya itu. Oh, di situ, empat sebenarnya. Rindu!

Rindu juga pada duduk-duduk petang kita di H33. Dan adik yang mencanai capati ketika saya bertarung dengan 10,000 perkataan. Dan si kakak itu. Yang mengejut lena saya, saban. Yang tak jemu melayan karenah. Yang mendengar segala adu. Yang memeluk kala perlu. Saya rindu pasta bakar kamu! Dan muesli yang kamu sua kemulut saya. Dan kasih yang kamu sua ke hati saya.

Segalanya macam baru semalaman berlaku. Pastinya, setelah dua bulan berlalu, kini saya baru tersedar satu pekara. Bahawa segalanya takkan mungkin berulang untuk berlaku sama seperti dahulu. Takkan mungkin. Dan itu semua akan saya ikat kemas dalam kotak memori, biar teguh di situ. Kerana hanya memori yang saya miliki kini. Itu saja.

Tuhan, walau kami terpisah, namun kami tetap bertemu dalam doa kehadratMu. Walau bumi yang kami pijak kini berbeza, namun tetap kami berlari atas lorong yang sama. Tuhan, tolonglah. Ikatkan hati-hati kami, walau jauh bercerai-berai begini. Sabarkanlah kami, sementara menanti harinya dipertemukan semula. Moga, bertemu dalam gembira. Bersantai atas dipan-dipan. Meminum air kauthar. Menghirup udara nyaman. Memakan buah-buah segar. Mohon dengan amat…

Monday, March 05, 2007

Yakinlah Allah Maha Mendengar

Terlalu sibuk. Atau perasan sibuk. Itulah dua istilah yang paling sesuai untuk saya sekarang. Padahal baru kurang lebih dua purnama meninggalkan tanah tandus England, namun serasa seperti sudah berlari di altitud tinggi; pendakian semakin sukar, dan menghadapi masalah kurang oksigen. Selayaknya apprentice [hehe] seperti saya ini bermain-main saja di kaki bukit, namun perancangan Allah itukan yang terbaik? Apapun Bismillah, moga-moga bersambung larian ini dengan rahmat Tuhan. Walau kadang-kadang tertoleh juga pada kenangan di tanah tandus sana, namun saya segera kembali kepada arah kompas semasa. =)

Dua bulan. Dalam masa sesingkat ini, ada satu pelajaran besar yang saya belajar. Belajar megenali nikmat ukhuwah. Campaklah ke manapun, nikmat Allah yang itu memang takkan pernah sunyi dari menemani. Hanya sesekali kitalah yang membelakangkan nikmat yang disua ke muka. Merindui nikmat ukhuwah yang lain, lantas yang berada di hadapan mata kita entengkan. Bukankah bodoh jika begitu?

Kelmarin. Mereka datang membawa perkhabaran. Pelbagai. Khabar iman yang sedang dilanggar uji-uji. Saya tak terkata, hanya mampu tersenyum mendengarkan luahan rasa itu. Kerana memang benar, iman manusia bukanlah dalam bidang kuasa manusia. Ia perihal antara manusia dengan Yang Esa. Jawapan saya begitu mudah, saya katakan "aku yakin Allah Maha Mendengar. Aku yakin kamu juga begitu."

Hanya satu pesan saya. Jika kamu nekad mengikis karat jahiliyah di hati kamu, jangan sesal apatah lagi berhenti apabila kamu sedikit tergores dan melihat darah tertitis. Kadangkala memang dunia ini terlihat begitu indah dan membuai, namun ingatlah dunia kita bukan di sini. Dunia kita di Darul Akhirat, tempat berehat dan menuai ganjaran. Selagi al-wahan mengarat di hati, selagi itulah kamu takkan melepaskan dunia dari hati.

Rezeki, ajal, bahkan jodoh pertemuan semuanya telah diatur. Seperti rezeki dan ajal, seperti itulah kepercayaan kita terhadap jodoh pertemuan. Berusahalah dengan cara yang halal, jangan adukkan yang halal dengan yang haram kerana bimbang-bimbang kita akan terjauh dari kasih sayang Tuhan. Berusahalah dengan usaha yang menepati sunnatullah, bukan berusaha tanpa tentu arah. Jika kita tahu kita mahu makan nasik berlauk lemak cili api, jangan pula melakukan usaha membuka pintu KFC! Itu namanya gila.

Jadi, bagaimana kita? Masih melakukan usaha yang silap arahnya? Hehe. Pergilah mengaji dengan orang tua-tua. Mereka lebih tahu.

Hmm. Jika kamu gagal fahami tulisan saya, abaikan saja. Ini hanya untuk mereka yang faham. Dan mereka yang peduli. =) Selamat berusaha melerai bongkahan jahiliyyah! "Inna halalan baiyyinun, wa inna haraman baiyyinun..."

Wassalam. Salam tarbiyah dari bumi bertuah.

Wednesday, February 14, 2007

Gelisah

Pernahkah anda merasa gelisah? Gelisah, yang semacam ada dua ekor rama-rama berkejar-kejaran dalam ruang perut anda. Kemudian ada terasa seperti hendak memuntahkan rama-rama itu, atau mungkin lebih mudah jika disembur saja dengan ridsect. Biar mati. Kerana rasa gelisah itu ibaratkan seperti hati anda yang di dalam dada itu berdebar-debar seolah rebana dipalu-palu. Terasa hendak pecah dek kerana paluan. Tak keruan. Haru-biru. Pernah rasai?

Keadaan itu seperti hiruk-pikuk. Suatu keadaan di mana tenang yang dimiliki tiba-tiba bersembunyi. Ketenangan, yang umpama air kosong di dalam gelas jernih yang terbiar sepi itu, pergi bersembunyi. Seolah gelas itu kini penuh kocakan, keributan. Tahukah anda perasaan itu?

Cuba bayangkan. Hati anda sungguh tidak tenang. Resah. Gelisah. Dan anda tidak dapat lihat satu pun cara menghilangkan gelisah itu. Bagaimana? Gelisah itu menderu-deru, seolah-olah anda dihurung ketakutan yang amat sangat sekali.

Cuba bayangkan lagi. Anda tak pernah tahu yang anda punyai sesiapa pun yang dapat membantu membunuh rama-rama yang berkejaran itu, ataupun menghentikan paluan rebana itu. Padahal di sekeliling anda terlalu ramai manusia yang dirasakan mampu membantu. Namun semuanya seolah tuli, bisu malah seperti buta dari melihat apa yang anda alami. Apatah lagi merasai apa yang anda lalui. Saat itulah anda tahu. Anda cuma ada Dia. Sebagai Pembela. Yang bisa membawa anda dari gelap kepada cahaya. Hanya Dia.

Dan tadi. Saya melihat saudara saya. Dilonggok-longgok atas lori umpama kayu balak. Alkisah, satu kisah yang belum klasik. Kisah yang orang mulai lupakan. Dan kisah itu berlaku begitu hampir dengan rumah saya. Rumah kita. Kamu dan saya. Dan. Saya terbisu melihatnya. Bisu. Di saat mereka gelisah, saya hanya mampu bisu.

Di saat saya sibuk membayangkan di manakah saya ataupun apakah saya dalam lima sepuluh tahun lagi, mereka sedikitpun tidak pasti apakah mereka akan bertemu esok hari. Di saat saya berkira-kira apakah yang akan saya lakukan jika rezeki saya begini dan begini, mereka tidakpun mempunyai apa-apa pilihan tentang hidup ini. Dan sungguh, ketika mereka menutup mata bertemu syahid, betapa tenangnya lena kita kala itu. Ah.

Saya sudah tekad, tak mahu bisu lagi. Tak mahu pekak lagi. Tak mahu hilang deria hati. Anda?

Jangan jadi haiwan ternakan. [7:179]

SAZ
14 Februari 2007
~Robbana thabit qulubana ‘ala deenik, fi sabilik~

___________________________________________

Gelisah
Iwan Fals

Bayangkanlah lamanmu berhias api
Sampai bila rumahmu mampu berdiri
Sebelum dipunahkan

Bayangkanlah lahirmu kealam ini
Sampai akhir hayatmu masih merintih
Menagih kedamaian

Dalam hati terlintas satu soalan
Mana hilang keinsanan

Bayangkanlah lautmu dilanda taufan
Sampai bila layarmu mampu bertahan
Sebelum kau tenggelam

Bayangkanlah jagamu tak pernah aman
Sampai malam lenamu rasa terancam
Kau dalam ketakutan

Dalam hati terlintas satu soalan
Mana hilang keinsanan

Mana hilang kasih sayang
Diberikan Tuhan pada kita, insan
Hingga kita biar saja hujan air mata yang melimpah

Thursday, January 25, 2007

Allah ma'ik

Pernahkah anda berhadapan dengan suatu situasi, di mana anda dikelilingi oleh banyak manusia tetapi terasa begitu keseorangan? Anda dikelilingi oleh berpuluh-puluh atau mungkin saja beratus atau beribu orang manusia; ada yang memandang anda dengan tersenyum, ada yang buat tak endah, ada yang melarikan pandangannya dari anda, dan tak kurang juga yang menjeling. Segalanya ada, pelbagai. Namun anda tetap terasa keseorangan. Pernahkah?

Kemudian, pernahkah anda dijanjikan suatu hadiah, tetapi kemudian janji itu terbang pergi umpama debu-debu berterbangan. Katakanlah ianya hadiah yang anda paling hajati selama ini. Dan kini anda tak pasti apakah hadiah itu akan jadi milik anda. Kecewakah anda?

Kemudian lagi, pernahkah anda begitu baik dengan sebahagian manusia, tetapi kemudiannya kebaikan anda hilang ditelan oleh rakusnya rasa-rasa individualistik sebahagian manusia yang lain? Hanya kerana anda mempunyai pendirian yang berbeza dengan mereka, anda telah di-lower-grade-kan dan di-tidaklayak-kan untuk berdiri dan duduk dengan mereka. Sedihkah anda?

Kemudiannya lagi, pernahkan anda terasa okay, tetapi apabila bersendirian tiba-tiba air mata anda bercucuran tak tertahankan. Walaupun anda terasa seperti anda sangat tabah dan kuat tekad, tetapi air mata itu seolah tidak tahu henti. Apakah yang anda lakukan?

Kemudian pula lagi, pernahkah anda terasa begitu serabut dan sesak dengan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan, tetapi anda tidak langsung dapat melihat apakah jalan penyelesaian untuk setiap satu perkara tersebut. Apa yang akan anda lakukan? Lari saja?

Haha. Anda tak perlu jawab soalan-soalan di atas. Jika anda pernah melalui kesemua atau sebahagian daripada situasi-situasi d atas, anda kena ingat sesuatu. Anda kena ingat bahawa bukan anda seorang saja yang diuji sedemikian. Dunia ini medan uji. Adatlah jika sekali sekala terasa sedih dan kecewa. Sebenarnya segalanya terpulang pada anda. Anda boleh merasa gembira dan bahagia, kerana kegembiraan itu sebuah pilihan.

Bagaimana memilih untuk gembira? Caranya mudah saja, dekatkan hati anda kepada Sang Pencipta. Berikan hati yang terluka kepada penciptanya, dan Dia akan merawatnya. Dekati Dia. Sayang Dia. Kembalilah kepada Dia. Bukankah telah Dia ajarkan, "Lillahi ma fissamawati wa ma fil ardh"? Kerana segalanya milik Dia, jadi biar Dia yang membantu menyelesaikan. Atau paling tidakpun, mintalah Dia berikan sakinah di jiwa. Kemudian, duduk dan muhasabah. Selesaikan urusan yang perlu satu persatu. Hal-hal kejiwaan, atasi dengan gagah.

Rilekslah. Senyum-senyumlah. Ok?

Thursday, January 18, 2007

Luntur

Katanya, "ini medan sebenar. Medan menguji kekuatan. Medan menilai kemampuan. Medan yang akan menentukan jauh mana kita berlari. Medan yang akan menyaksikan gagah mana mampu berdiri atas jalan ini. Inilah dia medan kami. Medan kita. Medan saya."

Katanya lagi, "saya harus tabah. Selalu bersemangat macam dulu-dulu. Walaupun ujian tak kunjung henti sejak dari nafas pertama yang saya hirup di bumi ini. Macam-macam ada. Sampai rasa macam nak luntur rona semangat yang mewarnai jiwa."

Katanya lagi, "dunia ini medan uji. Kalau tak diuji, jangan mimpilah untuk mengecap nikmat Jannah. Dalam Kitab Ulung bukankah semua cerita-ceriti berkisar tentang uji-uji untuk ke Jannah? Bergembiralah atas nikmat ujian. Usah mengeluh. Kerja sajalah kuat-kuat, mana tahu ini hari terakhir menikmati ujian Allah?"

Wah. Bersemangatnya. Semoga dia tabah. Langkah awda baru bermula. Jarak memisahkan kita, namun hati kita sama. Saya kata padanya "langit kita warnanya merah menyala. Macam warna saga. Bukan lagi warna biru". Lantas, dia tersenyum.

Berusahalah!

Saturday, January 13, 2007

Kelana

Rintik hujan menyelimuti cermin kereta hitam Chevloret itu. Wiper yang menari ke kiri dan ke kanan sekali sekala, gagal menghalang rintik hujan dari terus terjun membasahi cermin itu. Dari balik cermin, bumi Seri Begawan kulihat suram sekali. Begitu suram, hingga kubah-kubah emas pada masjid yang kulihat indah disimbahi cahaya neon itu juga gagal menarik tumpuan fikiranku.

Pertama kali menjejak kaki, ada doa yang dihulur pada Tuhan semesta alam. Biarpun disambut oleh cahaya yang suram, namun aku optimis. Cahaya takkan selamanya suram. Akan ada pelangi selepas hujan, hadiah dari Tuhan. Esok, harapnya perjalananku bakal diteman cahaya mentari. Dan kamu akan kubawa bersamaku.

Thursday, January 04, 2007

Silam

Kadang-kadang
Kite rasa cam nak bunuh masa silam
Nak padam, rendam, klorox-bleach, berus2, letak dlm washing mishin, buh dynamo
Kasi tanggal semua parut masa silam

Tapi
Buatlah cemana pon
Silam itu tetap di situ

Larilah
Pekiklah
Lolonglah
Silam itu tetap di situ
Terpahat, terpatri abadi
Takkan mampu dipadam

Kadang-kadang cam nak tulis surat kat Tuhan
Nak tanye
Apa yg disediakan untuk saye
Pada masa depan
Apekah saye akan terus berada atas jalan ini?
Apekah silam saye akan terus mengejar?
Apekah saye akan menutup mata dalam syahid cinta-Nya?
Adekah saye hanye berangan-angan kosong?

Tapi
Saye tahu
Yang baek itu dari-Nya
Yang tak baek tu dari saye sendiri

Jadik,
Keje jelah kuat-kuat
Manelah tahu saye mati
Pada esok hari?
___________________________________________
Menongkah gelisah,
Menelan pahit,
Meneguk tuba,
Mendamba sinar,
Di hujung sana.