Thursday, August 23, 2007

Mencari Diri

Sedang berkemas untuk musafir buat kesekian kalinya, sambil telinga dijamu halwa nasyid dari hijjaz- Rindu. Tiba-tiba terpanggil untuk menulis, entah kenapa. Kata Hijjaz, rindu adalah anugerah Allah. Barangkali rindu itu fitrah, hadir secara alami, menusuk ke dalam sukma. Kerana itulah ia anugerah. Fitrahkah perasaan rindu itu? Jika benar, maka fitrahkah rasa rindu kepada Yang Satu? Jika benar, mengapa payah benar memupuk rindu kepada Yang Maha Pengasih itu, sedang Dia tak pernah gagal menitip kasih buat hamba-Nya?

Kadang terlintas dalam diri, masakan merindu Allah sedang hati sarat dengan perkara dunia?

Seorang sahabat ana bertanya, ubat apakah dapat diberi pada imannya yang terasa meroboh? Iman yang terasa mula luntur, ditebak kesibukan dunia. Difikirkan ubatnya ada di majlis-majlis zikrullah atau taman syurga. Namun tak berapa lama setelah pulang dari majlis-majlis itu, imannya kembali roboh juga. Difikirkan rindu itu ada pada hamparan sejadah di sepertiga malam, namun segalanya terasa kering dan hambar semata. Disangkanya madu kasih Ilahi pasti ada pada kalam-Nya, sayangnya hatinya semacam tanah pejal yang hanya mampu menakung air kasih-Nya tetapi gagal menyerap indah cinta-Nya ke dalam diri. Apa yang tak kena sebenarnya? Apa yang menyekat dari rindu itu menguasai sukma?

Ana juga gagal mencari jawapannya. Kerana terlalu benar, rindu itu memang anugerah, dicampak-Nya pada sesiapa yang dimahukan-Nya. Jika kita dipilih-Nya, alangkah untung. Tetapi jika tidak, alangkah…

Namun Imam al-Ghazali ada menyatakan bahawa usaha mencari Tuhan harus bermula dengan mencari diri. Menjernihkan an-Nafs. Membuang keburukan padanya dan menghias dengan kemuliaan. Sayyid Hawwa’ juga bersetuju dengan ini…

Dan salah satu cara yang paling baik, paling berkesan dan paling segera adalah zikrul maut. Ingati mati. Kerana memang benar, mati itu sentiasa mengejar, dan manusia pun terkadang tidak menyangka dia akan mati pada saat ‘Izrail menjemput.

Hm. Perlu bergerak sekarang. Teguhkan iman, tetapkan amal. Tika kau melangkah mencari-Nya selangkah, Dia berlari mendapatkanmu seribu langkah...

4 comments:

Anonymous said...

Terima kasih di atas kata-kata ini.

Anonymous said...

bergurulah dgn yg murshid.. semoga dapat mencari diri.. dan kenal Tuhan.. amin

Anonymous said...

murid kepada al murshid
jika tak pernah menyentuh lubuk hati
yang dapat hanya rugi...

kita boleh pilih sama ada;
1) menjadi tanah subur yang menyerap hidayah dan kemudian menumbuhkan pepohon menghasil buah buat manusia lain
2) menjadi tanah kering yang menakung hidayah untuk diambil orang; walau diri sebenarnya belum dapat menyerapnya
3) menjadi tanah keras yang langsung tidak bisa menakung hidayah. hidayah yang singgah sekadar lalu.

kerana hidayah yang turun kepada Nabi Muhammad itu umpama hujan. Ummatnya harus menjadi tanah.

Unknown said...

salam.mohon share.=).jzkk