Wednesday, October 17, 2007

Catatan Syawal

Angka di pojok kanan tetingkap komputer mempamer angka 4:03 pagi. Dan mata ini tak bisa lelap lagi. Benarnya baru saja menghantar Yuyun pulang ke seberang. Bapanya meninggal dunia dipatuk ular ketika ke sawah. Seharian dia menangis. Dia baru saja mengirim wang untuk menebus tanah sawah bapanya itu. Belum sempatpun bersua, Allah menarik hayat bapanya terlebih dahulu. Mak yang melihat pun turut menangis, mengongsikan perasaan kehilangan arwah nenek tempohari. Inilah resam dunia, yang hidup pasti akan pergi. Yang banyak pasti akan habis. Yang ada pasti menghilang.

Melihatnya berkemas-kemas, hati dicuit hiba. Teringat kenangan ketika berkemas-kemas untuk ke bumi peti sejuk lebih dua tahun yang lalu. Serasa terlalu ingin pulang ke sana. Melonjak-lonjak rasa hati mahu kembali. Aduh, bumi tarbiyah itu... bilakah lagi dapat bersua? Tuhan, hamba ini rindu dengan tarbiyah di bumi itu. Dan tarbiyahkah ini, terpaksa menguatkan kaki mengharung jahiliah yang pelbagai di tanah sendiri?

Bumi itu terlalu indah. Tarbiyahnya, malahan fizikalnya sendiri. Walau itu bumi yang belum pernah dikuasai kita, namun suburnya dengan Islam di sana-sini seolah-olah dibaja. Tanpa dipaksa, pohon toiyyibah tumbuh melata hanya dengan semaian dari Yang Esa. Hairan bukan? Pohon toiyyibah lebih subur tumbuh melata di bumi itu, berbanding di tanah kering ini. Kuasa Allah, siapakah dapat menghalang?

Hmm. Terimbas kenangan tentang bumi itu. Sekarang pasti semua pohon sedang mulai meluruhkan dedaunnya. Ah, indahnya! Dedaunan kuning bertebaran di atas rumput yang menghijau, mentari yang mulai suram, langit yang membiru tanda ceria, juga bayu yang menghembuskan angin sejuk yang mendamaikan... semuanya terlalu indah. Paling dirindu—perasaan ketika jalan-jalan petang merentas padang. Begitu indah perasaan itu, apabila dipukul angin sejuk damai, yang adakala mencengkam tulang sulbi. Cukup mendamaikan, apabila berteleku di pinggir padang merenung langit luas tanpa tiang. Ya Tuhan, Maha Suci Engkau!

Lebih dirindu, salju putih yang menyelimuti bumi. Itulah musim sejuk yang menyeronokkan. Jika makcik cleaner kami itu begitu membenci musim sejuk, bagi ana musim sejuklah musim yang paling dinanti. Katanya musim sejuk mengekang aktiviti harian, namun bagi ana musim sejuk adalah anugerah Allah bagi insan melihat ayat-ayatNya. Betapa Maha Suci Dia, berkuasa mencipta cuaca yang pelbagai. Dan paling dinantikan, tentulah PMS sebagai penutup tirai tahun Miladi di situ.

‘Idulfitri di tanah air meruntun hati merindu tanah tarbiyah. Seharusnya’Idulfitri menjadi hari para mukminin merayakan kejayaan kembali kepada fitrah Islam. Kejayaan mengekang al hawwa’ lalu kembali kepada cara hidup yang serasi dengan fitrah. Namun mungkin inilah masanya Allah menguji dengan pelbagai cubaan untuk menilai ketulenan azam para mukminin untuk kembali kepada fitrah. Dan inilah ujian paling getir. Apabila dikembalikan kepada ‘dunia lama’ yang telah ditinggalkan. Dilontar kembali kepada ‘zaman zulumat’. Maka jangan hairan mengapa hati terlalu merindui detik-detik silam di bumi tarbiyah itu...

Entahlah bagaimana menempuh tahun-tahun mendatang. Apapun, Allah juga punyai cara-Nya mentarbiyah ‘abid. Dialah tempat memohon pertolongan. Wallahu musta’an.

Tuhan. Kumohon kekuatan. Thabbit aqdamana. Thabbit qulubana. La tuzigh qulubana ba’da izhadaitana. Tolong, berikan kekuatan.

1 comment:

Anonymous said...

salam sayang dan rindu utk ukht tersayang..

Daun2 kuning di sini berguguran..
Melankolik rasanya..
Jatuh di atas selimut hijau bumi..
Kontra rasanya...

Dakwah itu segar di bumi penjajah ini..
Namun aku tetap ingin pulang..
Menunggu untuk beraksi di pentas sebenar..
yang bakal menguji tarbiyah..

Ceewahh bersajak plak huhuhu...tp ape2 pun sofi,i will always miss u!Kuat ya ukht..Bina kembali sejarah kita dulu..tunggukan kepulanganku!