Thursday, March 15, 2007

Utopia

Pakcik Mukhlis itu usianya kira-kira sebaya Ibu. Mungkin. Melihat jumlah peratusan putih rambutnya, aku kira usianya sebaya Ibu. Mungkin sedikit lebih. Pastinya, dalam lingkungan hujung lima puluhan, sama seperti Ibu. Namun masih, beliau masih kelihatan segak. Jujur kuakui, riak-riak tampan masih ada. Caranya membawa diri sememangnya menggambarkan inteleknya. Masakan tidak, keluaran Koleh Melaya. Serupa semuanya. Nampak bijak, hebat bicara, handal dalam skil interpersonal, memandu kereta gabak, berpangkat. Hmm apa lagi? Oh ya, beliau kini katanya merupakan ketua kepada doktor-doktor pakar di hospital swasta yang dibina dekat dengan sungai itu. Wah. Entah apalah nama jawatannya. Hebat betul. Hmm. Melihat janggutnya, aku pasti dia ikhwah itu. Yang tempohari aku lihat wajahnya dalam majalah.

Ketika itu aku dan Abang Handzolah sedang minum-minum petang di kerusi malas depan kolam. Dada aku sedikit berdebar melihat kereta gabak Pakcik Mukhlis masuk ke perkarangan rumah. Kemudian aku masuk, mengkhabarkan pada Abah. Seterusnya aku lihat, ketika Pakcik Mukhlis menggenggami tangan Abang Handzolah saat bersalaman, genggaman Pakcik Mukhlis erat. Erat yang amat, seolah sahabat lama yang begitu rindu untuk bersua. Abang Handzolah, kulihat begitu bersahaja mengawal rasa hatinya yang berbaur. Aku tahu hatinya berbaur. Kerana hatiku juga begitu. Entah. Aku pasti Ibu dan Abah apatah lagi.

Pakcik Mukhlis itu punyai sejarah dengan Ibu. Sejarah cinta orang tua-tua. Sejarah cinta yang tidak lagi mahu Ibu ingati. Sejarah cinta yang takkan mungkin mahu kami ambil peduli. Namun sejarah itu seolah kembali berputar kini. Setelah lebih tiga puluh tahun berlalu, sejarah itu seolah dihidang kembali di depan mata, bersama hadirnya Pakcik Mukhlis hari itu.

Apa yang aku tahu, Pakcik Mukhlis dan Ibu sudah begitu hampir kepada hari pernikahan, apabila Nenek Shamsidar datang memulangkan semula naskhah alquran dan kain songket hadiah dari pihak Ibu semasa pertunangan. Kemudian, Ibu kemurungan berbulan-bulan lamanya selepas majlis akad Pakcik Mukhlis dengan Doktor Hamimah dilangsungkan beberapa minggu selepas itu. Dan kini, setelah lebih tiga puluh tahun berlalu, Pakcik Mukhlis datang. Untuk apakah? Mengulang sejarah?

Saat melihat wajah Pakcik Mukhlis masuk ke rumah, Ibu terus berlalu ke dapur. Abah pula berubah wajah sambil menyambut huluran tangan Pakcik Mukhlis. Haha. Dah tua-tua pun masih cemburu ya. Aku? Aku hanya menahan gelak dalam hati. Sambil terasa sakit hati. Lantas aku berlalu ke bilik, membiar orang tua-tua di luar.

Mereka berbual, sedang aku terus mengurung diri dalam bilik. Takut. Celaru. Geli hati. Semuanya berbaur. Abang Handzolah? Ke mana Abang Handzolah? Sambil berfikir-fikir, aku menghilangkan diri ke alam tanpa sempadan. Melayari internet. Biar hilang hiruk pikuk. Sambil menulis-nulis menghilangkan bosan.

Dua jam selepas itu, Ibu masuk ke bilik membawa sebuah bungkusan. Macam pernah kulihat isinya. Saat kulihat mata Ibu berair dan hidung ibu merah, aku dah tahu. itu pastinya barang-barang yang diberi pihak kami tempohari. Itu pasti keputusan Pakcik Mukhlis. Dan Doktor Hamimah. Ah, sudahlah. Siapalah kami ini. Aku harap Abang Handzolah bersabar.

Mungkin akhawat manis, puteri Pakcik Mukhlis itu bukan jodoh Abang Handzolah. Dia itu bukan sepadan. Dia itu bukan lawan. Pipit harus dengan pipit, jangan berangan mencari enggang. Abang Handzolah, ada ramai lagi akhawat, biar Adik tolong carikan. Anak ikhwah pun belum tentu sepadan dengan ikhwah. Ikhwah pon ada macam-macam. Abang Handzolah tu ikhwah biasa-biasa saja. Harus cermin muka sebelum menerima cadangan itu tempohari. Hmm.. Kita bersangka baik sajalah. Atau... Sedar diri sajalah. Haha. Oh maaf, Abang Handzolah. Adik terlalu berterus terang. Sebagai adik, Adik harus supportive.

Hmm. Jika masih berkeras, nikah saja di Narathiwat. Selesai. Tapi itu perangai ikhwah ke? Err. Bukanke ikhwah ada macam2 ikhwah? Yang dipanggil ikhwah belum tentu 'ikhwah'. Kan?

Eh, siapa ikhwah?"Innamal mukminuna ikhwah"?

Full stop.
_________________________________________
DIsclaimer;
[1] Ini cerita rekaan, takde kena mengena dengan sesapa. Hmm.. kalau orang kate rekaan tuh, takyah la teka-teki mana kebenarannya. Dah nama pun rekaaan. Ish ish ish.

No comments: