Terlalu sibuk. Atau perasan sibuk. Itulah dua istilah yang paling sesuai untuk saya sekarang. Padahal baru kurang lebih dua purnama meninggalkan tanah tandus England, namun serasa seperti sudah berlari di altitud tinggi; pendakian semakin sukar, dan menghadapi masalah kurang oksigen. Selayaknya apprentice [hehe] seperti saya ini bermain-main saja di kaki bukit, namun perancangan Allah itukan yang terbaik? Apapun Bismillah, moga-moga bersambung larian ini dengan rahmat Tuhan. Walau kadang-kadang tertoleh juga pada kenangan di tanah tandus sana, namun saya segera kembali kepada arah kompas semasa. =)
Dua bulan. Dalam masa sesingkat ini, ada satu pelajaran besar yang saya belajar. Belajar megenali nikmat ukhuwah. Campaklah ke manapun, nikmat Allah yang itu memang takkan pernah sunyi dari menemani. Hanya sesekali kitalah yang membelakangkan nikmat yang disua ke muka. Merindui nikmat ukhuwah yang lain, lantas yang berada di hadapan mata kita entengkan. Bukankah bodoh jika begitu?
Kelmarin. Mereka datang membawa perkhabaran. Pelbagai. Khabar iman yang sedang dilanggar uji-uji. Saya tak terkata, hanya mampu tersenyum mendengarkan luahan rasa itu. Kerana memang benar, iman manusia bukanlah dalam bidang kuasa manusia. Ia perihal antara manusia dengan Yang Esa. Jawapan saya begitu mudah, saya katakan "aku yakin Allah Maha Mendengar. Aku yakin kamu juga begitu."
Hanya satu pesan saya. Jika kamu nekad mengikis karat jahiliyah di hati kamu, jangan sesal apatah lagi berhenti apabila kamu sedikit tergores dan melihat darah tertitis. Kadangkala memang dunia ini terlihat begitu indah dan membuai, namun ingatlah dunia kita bukan di sini. Dunia kita di Darul Akhirat, tempat berehat dan menuai ganjaran. Selagi al-wahan mengarat di hati, selagi itulah kamu takkan melepaskan dunia dari hati.
Rezeki, ajal, bahkan jodoh pertemuan semuanya telah diatur. Seperti rezeki dan ajal, seperti itulah kepercayaan kita terhadap jodoh pertemuan. Berusahalah dengan cara yang halal, jangan adukkan yang halal dengan yang haram kerana bimbang-bimbang kita akan terjauh dari kasih sayang Tuhan. Berusahalah dengan usaha yang menepati sunnatullah, bukan berusaha tanpa tentu arah. Jika kita tahu kita mahu makan nasik berlauk lemak cili api, jangan pula melakukan usaha membuka pintu KFC! Itu namanya gila.
Jadi, bagaimana kita? Masih melakukan usaha yang silap arahnya? Hehe. Pergilah mengaji dengan orang tua-tua. Mereka lebih tahu.
Hmm. Jika kamu gagal fahami tulisan saya, abaikan saja. Ini hanya untuk mereka yang faham. Dan mereka yang peduli. =) Selamat berusaha melerai bongkahan jahiliyyah! "Inna halalan baiyyinun, wa inna haraman baiyyinun..."
Wassalam. Salam tarbiyah dari bumi bertuah.
No comments:
Post a Comment