Saturday, June 27, 2009

hasbunallahu wa nikmal wakeel...

Dari Abu Hurairah r.a. ; Rasulullah s.a.w bersabda:
Akan masuk syurga orang yang hati mereka bagaikan hati burung, beerti bertawakkal sungguh-sungguh, mempercayai jaminan Allah atas dirinya..
(muslim)

Dari Umar r.a. ; Rasulullah s.a.w bersabda:
Andaikan kamu bertawakkal kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, niscaya Allah akan memberikanmu rizqi sebagaimana burung yang keluar pada pagi hari dengan perut kosong (lapar) dan kembali pada senja hari dalam keadaan kenyang.
(Attirmidzi)

*Riyadhus Salihin Jilid 1

Friday, June 26, 2009

Cerdek ep 3: Dah Terlambat.. Ke? (Cerite panjang-pendek)

HATI SEORANG SAHABIAH

Malam itu aku ke rumah Aufa. Lama benar rasa hati-hati ini tidak berkumpul bersama, bertemu demi menjaga sebuah iman. Aku tidak pasti, barangkali tiga atau empat minggu kini, Aufa tidak bersama dalam halaqah kami. 'Bercuti', khabar ummi. Pertama kaliku mendengar istilah 'rehat' atau 'bercuti' terpacul dari orang dakwah. Macam kerja pulak, ada cuti-cuti. Terpecah tawa kecilku di hadapan ummi. Ah, ada-ada saja.. Malu betul ummi terlihat perangai nakalku.

Walimah Aufa pun semakin hampir, barangkali ada yang boleh kubantu jika berziarah, demikian fikirku. Kereta Savvy hijauku membelah malam, mencari-cari nombor jalan dan rumah akhwatku ini. Alamat yang diberikan lewat mesej di telefon genggam agak sukar kucari. Aduh, besar sekali dosaku terhadap Aufa.. Dua tahun berhalaqah dengan Aufa, tidak pernah sekalipun aku berziarah ke rumahnya. Masih kuingat, Aufa begitu bersemangat berziarah ke rumah sewa kami dahulu. Ada juga dua-tiga kali beliau datang, terkadang bersendirian. Ada sekali awal dulu dia datang bersama akhwat yang juga kawan-kawannya yang pulang bercuti musim panas di malaysia. Hmm, tapi kenapa sekarang Aufa tak datang berziarah lagi ye?

"Assalamualaikum..." Aku separa berteriak, menghulur salam kepada pintu pagar rumah no:51 itu. Rumah kecil yang kulihat begitu simple sekali luarannya.
"Wa'alaikum salam," suara parau lelaki separuh abad menjawab sambil menjengah di pintu. Siap berketayap dan berkain pelikat, lagaknya seolah baru pulang masjid.
"Ni Rumah Aufa ke? Aufa ada, pakcik?" Aku menanyakan, sedikit was-was apakah alamat yang kutujui itu benar rumah Aufa.
"Oh, ada tu di dalam. Jemput masuk. Duduklah dulu," Pakcik mengajakku masuk lantas mengetuk pintu bilik sebelah belakang, lalu berlalu masuk ke bilik hadapan. Bilik yang diketuk itu bilik Aufa agaknya. Sunyi sekali rumah ini.

Wah, rumah ini rumah yang sangat asas! Ruang tamu yang selesa untuk dua-tiga orang bersantai, dapur yang agak kecil, serta dua bilik. Namun nampak amat homely.
"Eeeh Farah dah sampai!" Aufa sedikit terjerit melihatku. Heh, Aufa masih begitu. Dah hampir kepada walimah pun masih begitu.
"Maaf Aufa, ana tercepat pulak. Tadi Budget lebihan masa untuk sesat-sesat. Tiba-tiba dipermudahkan pula. Eh, kenduri minggu depan kan? Mana barang-barang? Ana ingat nak tolong apa-apa."
"Oh, tak payah. Semua dah dibuat di kampung sebelah mak," Aufa menerangkan.

Aku jadi pelik. Kampung sebelah mak? Memang Aufa duduk berdua saja dengan ayahnya ke? Mataku menerawang melihat gambar keluarga di dinding, tiada gambar ibunya. Hanya ayah dan adik-beradiknya.

"Owh, tengok gambar tu ea? Mak dan ayah dah lima belas tahun bercerai. Hehe. Aufa duduk dengan ayah sebab kerja di sini. Kat kampung takde kerja," Aufa seolah mendengar soalan-soalan yang bermain di mindaku.

"Ooooo.. sorry Aufa, ana tak pernah ambil tahu. Tak sangka dah dua tahun kita usrah sama pun, enti belum ana kenal. Teruknya ana!" Rasa bersalah buru-buru mengerumuni hati. Ish! Kenapalah aku tak pernah nak berkenal-kenal dengan beliau? Kawan sekerjaku semua sudah pernah kuziarahi semasa hari raya atau majlis-majlis open house mereka. Rakan setarbiyah pula aku lupakan. Teruk pula rasanya diri nih!

"Oh takpe, dah biasa... Sejak balik malaysia ni memang jarang-jarang akhwat datang ziarah. Tapi faham je, semua sibuk kan? Aufa pun jarang dapat pergi berziarah. Agaknya memang beginilah kehidupan sebenar kita kan? Masa belajar dulu tak jumpa realiti lagi agaknya," Aufa senyum lalu bingkas ke dapur membuat air. Aku pula terdiam senyap, dan terkedu. Menelan liur.

Kepalaku ligat memikir. Kehidupan sebenar seorang daie apakah harus berbeza dengan segala yang diwara-warakan di dalam buku-buku fikrah dan perkongsian-perkongsian dalam tamrin dan daurah? Terlalu idealkah kisah-kisah lama dan perkongsian-perkongsian orang-orang awal dalam dakwah, hinggakan kami tak bisa merealisasikan teori-teori yang kini bisa saja laju meluncur dari lidah-lidah kami?

Monday, June 22, 2009

dan bintang kadangkala terlindung sinarnya

tahukah?
bintang itu, jika terhalang akan terlindung sinarnya. saat ia ada, kadang terlupa menghargainya terhias di situ. lalu, saat kita rindukan kerdipan cahayanya buat penenang jiwa yang semakin meroboh, apakah mungkin sudah terlambat? bilamana saat kita berlari berhamburan keluar dari kamar pada tengah malam mencari cahayanya, lantas kita sadari bahwa bintang tidak lagi berkerdipan tika itu.

kita merayakan mentari yang hebat galak menyinar. Hadirnya memang akan pasti menyemat tenaga kedalam ruang hati yang suram. dan kita bahkan arif sekali bahawa sememangnya mentari itulah yang memberi sinar kepada bintang agar mampu berkerdipan. namun barangkali ada masanya kita terlupakan bahawa bintang yang lemah dan tak punya apa itu juga adalah sebahagian dari kasih sayang Allah yang dikirim buat hamba-Nya. Dicipta-Nya bintang itu buat penghibur emosi insani. Bukankah insan punyai rasa dan bicara di hati? Insan bahkan punyai berjuta fitrah yang hanya Allahlah saja mengetahui apa yang sesuai untuk setiap dari satu fitrah itu.

Maka sungguh, hanya kitalah yang harus memperdalam fikiran dan membasahi hati supaya mampu bersimpuh menghadap Robb dengan penuh rasa syukur. kerna terkadang bintang juga tidak mampu memancar, pada ketika terlindung sinarnya.

* * *
tahukah?
hati itu suatu objek mulus, bahkan akan tercarik hanya kerna suatu sentapan atau bisa saja suatu sentuhan. hati, pada sesetengah keadaan akan membawa manusia bersama cintanya menerobos ke ruang angkasa untuk menerawang melepasi ke langit tujuh. Menerawang dimensi masa, menonton segala yang pernah berlaku yang diceritakan Allah kepada hamba-Nya. Namun adakala hati juga gagal menjalankan fungsi dengan benar, saat dirinya tidak dalam kondisi yang benar. maka tika itu tempanglah hati...

kerna itu nabi mengajarkan doa agar Allah menetapkan hati yang suka berbolak balik. hati yang terkadang azam utk thabat namun melupainya semahunya.

duhai semua hati-hati.. sangkutlah segala tawakal, pengharapan dan takutmu hanya pada Yang Selayaknya.. Kelak ketika hati-hati itu diterjah oleh sentapan dan carik-carik ujian, maka bertabahlah. pohonkan doa untuk terus thabat. semoga Allah melindungimu dan mencampakkan thabat kedalammu. Semoga.