Saturday, September 30, 2006

cahaya andalusia part 2

Sejurus selepas majlis usrah berakhir, Khansa bersegera memohon izin untuk pulang. Urusan pulang yang ditangguh sebelum ke rumah Kak Rabitah telah pupus dari hatinya. Namun, dia kini ada urusan lain yang mendesak hati untuk pulang ke dunia kecilnya. Cerita-cerita Kak Rabitah tentang Sepanyol menambah lagi sebak dan hiba, apatah lagi bila dia melihat gambar-gambar yang dirakam sekitar bumi tandus Andalus itu.

Bagaimana bangunan yang mempunyai dinding-dinding yang berukir ayat-ayat suci al Quran akhirnya memberi teduh kepada mereka yang tidak mengimaniNya. Bagaimana bergeloranya jiwa apabila melihat gambar air pancuran yang dibangunkan sistemnya oleh orang Islam, tetapi hanya menjadi penghias sepi tanpa sesiapa tahu sebabnya air itu dibuat supaya berpancuran di situ. Suasana La Alhambra kelihatan sungguh tenang, tetapi jiwanya kacau memikirkan sejarah yang disimpan kota itu.

Sesudah solat Isyak dan mentadabbur beberapa potong ayat suci dari tafsir al Quran, Khansa berteleku di atas pembaringan. Memandang kosong ke siling. Kecamuk yang meladeni fikiran beransur hilang, tetapi dia mencari-cari suatu asbab dan cara untuk dia raja’ kepada Ar Rahman. Dia rindu, tetapi ingatannya kepada insan seperti Ilham Asrar adakala begitu ganas membunuh rindunya kepada Yang Maha Pengasih. Dia tak mahu itu. Dia tak mahu qalbnya diselaputi kabut-kabut kelabu. Terbayang-bayang tulisan bertinta hijau dari Ilham Asrar tentang pengharapan.

Kalam Ilham Asrar pada bait ini amat membekas;
Dia secebis pun tidak memerlukan kepada kita, tetapi kita tanpa cintaNya tidaklah bermakna apa-apa. Maka, janganlah menumpukan dan meletakkan harapan selain Dia, kerana Dialah yang Maha Memberi, Maha Melimpah Kebaikan Dan KemurahanNya, juga Maha Berkuasa membalas dengan azab siksa.”Tidak berterus terang, namun Khansa mulai terang dengan apa yang cuba diterangkan Ilham Asrar, sahabat yang pernah dia kagumi satu ketika dahulu.

Pada mata Khansa, Ilham Asrar memang bertuah kerana menerima tarbiyyah secara langsung sejak kecil. Berbeza sedikit dengan Khansa yang dipelihara neneknya, tarbiyyah yang diterima tidaklah sehebat Ilham Asrar. Namun masih, ajaran-ajaran Nek Timah kukuh terpahat di hati. Adakala, timbul juga cemburu di hatinya apabila memikirkan betapa Khansa rindu kepada didikan jiwa, sedang Ilham Asrar bahagia dalam ukhuwah di dataran bertuah.

Khansa menarik nafas dalam-dalam sambil berfikir-fikir apakah maknanya semua ini. Cuba dirungkai teka-teki yang bersarang, tetapi susunan memorinya terlihat sesuatu yang indah. Memang indah. Bila difikirkan kembali, walaupun selama ini dia terperosok jauh dari kegembiraannya yang ditinggalkan di tanah watan, namun kasih Ilahi sentiasa dirasakan datang entah dari pelusuk mana. Indah!

Hadirnya warkah-warkah peringatan dari Ilham Asrar benarnya mengheret Khansa untuk kembali merindui tarbiyyah imaniyyah sedikit demi sedikit. Dan pasti, hadirnya Kak Rabitah yang tak jemu bercerita hal-hal dunia dan kehidupan selepas kematian telah membawa bersama secebis sinar buat Khansa. Ukhuwah yang diberi terasa melapangkan dada di kala terasa lelah dengan mehnah dunia. Dan kini, Khansa yakin bahawa jaringan ukhuwah yang ditemuinya di tanah asing Ratu Elizabeth ini merupakan susunan Allah baginya membaiki dan mendidik diri dan jiwa agar bertakwa. Mungkinlah ini bukti janji Tuhan kepada insan, yang dikhabar melalui lidah Muhammad s.a.w;

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [ Surah as-Syams 91:7-10]

Khansa melihat sekilas kepada kalendar yang berpangkah pada tarikh 8 Mei. Dia lantas mencapai pen dan kertas di atas meja sisi di kepala katilnya. Ada sesuatu yang mahu dicurah buat Ilham Asrar di tanah subur Dataran Syam. Masih belum dilupa tarikh keramat ini...

Dengan nama Allah, yang ar-Rahman dan ar-Rahim…
“Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!” [Al Mulk 67:12-14]

Assalamualaikum warahmatullah…
Warkah berkisar tentang bumi Andalus telah sampai ke tangan saya dengan selamat. Terima kasih atas kiriman khabar berita dari tanah Dataran, kerana sedikit sebanyak ia umpama menjirus secangkir air pada saat tanah Ratu Elizabeth ini sungguh gersang dengan sinar tarbiyyah imaniyyah…

Sungguh, saya kelu untuk meneruskan tarian pena, kerana benarnya tiada apa yang layak dibicarakan selain ungkapan terima kasih. Sungguh, memang saya faham kini apa yang saya benar rindukan di tanah gersang ini.

Percaya atau tidak, saya memang dapat merasakan betapa tanah ini kontang dengan siraman tarbiyyah imaniyyah. Mengetahui kisah Andalus yang tandus membuat hati meraung hiba, lantas membuka mata saya betapa jauhnya hati ini dari sinar didikan jiwa. Apatah lagi dengan mehnah-mehnah yang tak putus arusnya, saya bersyukur kerana kasih Tuhan tak pernah gagal Dia tunjukkan kepada kita. Allahu rabbiy, huwa ar-Rahman, ar-Rahim.

Teruskanlah usaha membuka hati insan kepada mengagungkan Ilahi, moga-moga terbias pahala buat bekalan mencari redha Ilahi di tanah abadi. Benar, dengan bait kata-kata saja adakala kita bisa mengubah hala sekeping hati. Hati yang mungkin pernah bersempudal dengan lumpur dosa, moga-moga mahu sama-sama raja’ kepada al-Ahad. Mempersembahkan taubat, juga persembahan ubudiah di dalam tunduk sujudnya.

Tanah Andalus pernah menjadi milik kita, tak ubah seperti al Quds tempat letaknya al-Aqsa. Maka, terlalu ingin hati ini melihat tanah-tanah itu kembali mejadi watan kita, sepertimana saat gemilangnya kita suatu ketika dahulu. Rindu… benar-benar rindu. Jiwa ini rindu kepada kibaran panji-panji kita, seperti satu ketika dahulu. Namun kehidupan dunia hanya sebagai percubaan buat kita, bagi-Nya menentukan siapakah yang lebih baik amalannya. Moga kita akan termasuk dalam golongan yang diredhai-Nya, insya-Allah. Maka dengan itu berusahalah, moga-moga bertemu dengan kematian dalam pensaksian yang diimpikan.

Wallahu a’lam. Oh, hari ini hari lahirmu. Sanah helwah ya akh. Moga dewasanya dirimu selari dengan pertambahan iman dan taqwa. Tiada apa yang lebih berharga selain doa, moga-moga terpilih dirimu menjadi pembela deen ini yang merindukan syahid idaman.

Akhirul kalam, ini mungkin titipan yang akhir. Maka jika Allah menghendaki bertemulah kita lagi. Tapi tentunya bukan lagi di medan ini, melainkan di medan perjuangan nanti. Barisan harus disusun, dan hati harus dikentalkan demi membentuk tembok-tembok kukuh…Kita takkan mungkin menjadi kukuh dengan terus leka terbuai dengan arus jahiliyah yang bisa mengaratkan hati dan mengaburi qalb dalam melihat sinarNya. Ayuh, berangkat kita menuju Tuhan!!!

Wassalam.
Khansa binti Amran
United Kingdom

Khansa melipat warkah itu dan dimasukkan ke dalam sampul surat kuning yang dibelinya di Tesco dahulu. Ah, sesal benar hatinya kini kerana membeli-belah di situ. Jangan haraplah akan diulang perbuatan bodohnya itu dengan membawa keuntungan buat mereka membunuh saudara-saudara yang mengimani Dia yang Satu. Itulah sampul surat yang terakhir, takkan lagi dibeli dari Tesco. Selepas in bukan hanya sampul surat, hatta sebatang paku pun takkan dibeli dari pasaraya itu.

Khansa meletak sampul surat kuning itu ke atas permukaan meja yang rata, dan kemudian mengukir nama Ilham Asrar pada permukaan sampul surat itu. Tiba-tiba hati Khansa terdetik. Dia belum lagi menghabisi bacaan berbaki dua lembar dari warkah Ilham Asrar. Dia lantas segera mencari-cari warkah itu di dalam buku kuliahnya. Kemudian dibuka dan disambung bacaannya penuh teliti. Usai membaca, Khansa terduduk dihenyak kejutan. Jantungnya seolah-olah berhenti berdegup…

Kini tahulah dia, takkan mungkin warkah tulisannya itu sampai ke tangan Ilham Asrar. Rupa-rupanya itulah warkah selamat tinggal dari Ilham Asrar, sebelumpun sempat Khansa mengucapkan terima kasih kepadanya. Itu warkah terakhir titipan Ilham Asrar. Paling akhir, sebelum dia meninggalkan Dataran Syam, menuju impiannya di persempadanan. Tidak akan berpaling lagi untuk kembali, melainkan hanya akan kembali kepada Tuhannya.

Air mata Khansa kini kering. Tiada apa yang hendak ditangisi bagi insan yang begitu kuat bermujahadah kepada Tuhannya. Ilham Asrar mahu membaiki diri, begitu juga dia. Lalu, Khansa harus tegar. Jangan lagi berpaling kepada arus jahiliyah yang berkarat dalam hati. Lekatan dan lekitan getah jahiliyah perlu dibuang dengan penuh bersungguh-sungguh. Moga-moga terbias semangat untuk bermujahadah yang sama seperti kentalnya semangat Ilham Asrar, untuk Khansa thabat dalam perjuangan menentang nafsu dalam dirinya.

...doakan kekuatan ana dalam peperangan menentang nafsu. Tak mahu ana mengulangi sejarah Abu Abdillah di Andalus, yang menangis seperti perempuan kerana gagal mempertahan islam seperti seorang ar-Rijal sejati! Ayuh mencari iman yang tulen, mengisi piala hati dengan cinta Ilahi, serta bergantung harap hanya pada-Nya. Ingat, Dia sedikitpun tidak memerlukan cinta kita, tetapi kita tanpa cinta-Nya umpama layang-layang terputus tali. Hilang arah. Hilang tujuan. Hilang pergantungan. Hilang cinta. Hilang segala-galanya. Segalanya. Tiada apa...

Salam mujahadah,
Ilham Asrar Ibnu Siddiq
~Islami ya Quds~


Itu perenggan akhir dari Ilham Asrar. Khansa menarik nafas dalam-dalam dan dihembus perlahan seolah membuang segala derita dari jiwa.. Lantas diambil surat yang ditulisnya tadi, lalu digariskan satu garisan panjang, merentasi ukiran nama Ilham Asrar. Kemudiannya dituliskan kalimah “La ilaha ilaLLah” di bahagian atas contengan itu. Di bawahnya pula ditulis seuntai doa;

Ya Tuhan, kuatkanlah hatiku. Jadikan imanku sebuah keimanan yang sadiq, hilangkanlah takut di hatiku dan buanglah pengharapan dalam hatiku, dan gantikanlah dengan ketakutan dan pengharapan yang hanyalah pada-Mu, ya Azizun Hakim! Bantulah aku dalam tribulasi menentang nafsu dalam diriku, dalam pada menempuh ujian menilai iman dan taqwa, dan moga-moga gagah diriku menuju syahid idamanku…

Itulah warkah terakhir dinaqal buat Ilham Asrar yang merindui Tuhannya. Tetapi sebenarnya, mungkin itulah surat untuk Tuhan, dari Khansa yang merindui tarbiyyah imaniyyah setelah merasakan hangat cahaya dari Andalusia...

Friday, September 29, 2006

Cahaya Andalusia [Revised: Part 1]

OLEH: saufiahazzahrah

“Khansa, ni ada surat di pigeonhole awak tadi. Saya tolong ambilkan,” Hafsah menghulur kepingan sampul surat bercop tulisan Arab, sambil mengambil tempat di sebelah Khansa. Kuliah dari Dr Carlson hampir bermula. Dewan kuliah yang gamat mula beransur tenang.

Wajah Khansa mengukir ceria ketika menyambut huluran dari Hafsah. “Thanks Hafsah,” balas Khansa seraya membelek-belek tulisan di atas sampul surat itu. Tulisan yang amat dikenalinya. Serentak , Khansa gagal menyembunyikan ceria. Terlihat juga baris giginya, walau cuba ditahan ceria hatinya dari dikesan sahabat baiknya.

“Hai, lebar senyum? Entah daripada manalah 'warkah usang' itu datang ye?” Hafsah mengusik apabila melihat sahabatnya bukan main ceria. Setiap kali mendapat kiriman surat, Khansa mesti begitu. Tersenyum-senyum tanda ceria.

Hati Khansa berbunga riang menyambut sampul surat itu. Khansa tahu itu dari dia. Dari lelaki itu, yang tidak pernah jemu mengukir kalam-kalam nasihat buat Khansa. Warkah ini tentu balasan kepada warkah kiriman Khansa tempohari. Telah bertahun mereka begitu, kalam-kalam yang dititip dalam warkah menjadi penghubung dua jiwa yang dipisah oleh benua. Walau jauh, adakala terasa begitu dekat.

Ilham Asrar. Itulah namanya. Manusia biasa yang kadangkala meraih kagum Khansa. Sejak zaman sekolah hinggalah masing-masing membawa haluan mencari segugus redha Tuhan di perantauan, sentiasa ada sesuatu yang membuat hati Khansa terbuka mendengar atau membaca kalam bicaranya. Bicaranya penuh hikmah, sarat dengan ingatan-ingatan yang membawa kepada mencintai Tuhan Semesta Alam. Entah kenapa. Barangkali karisma, atau mungkin saja memang kerana kalam itu milik Ilham Asrar.

Fikiran Khansa melayang jauh sepanjang dua jam mendengar kuliah. Kata-kata Dr Carlson sedikitpun tidak melekat di ingatannya. Melonjak-lonjak fuadnya ingin segera pulang membongkar isi surat itu. Hilang sakinah di jiwanya akibat menunggu selama dua jam sebelum kuliah ditangguhkan oleh Dr Carlson tadi. Tidak sabar rasanya menunggu habis kuliah untuk menatap muntahan kalimah dari pena Ilham Asrar yang tak pernah gagal meruntun hati.

Usai kuliah lewat zohor itu, Khansa segera mengatur langkah meninggalkan dewan kuliah demi menuju ke dunia kecilnya. Bilik yang dihuninya. Sambil melangkah, dia menyanyi kecil menikmati pemandangan sekeliling. Ceria musim bunga masih kelihatan pada hamparan permaidani rumput yang dihiasi bunga-bunga kecil berwarna kuning, serentak mewarnai ceria hati Khansa saat itu.

“Khansa! Tunggulah saya!” Hafsah memanggil dari pintu dewan kuliah, dengan suara separa berteriak. Beberapa pasang mata biru milik lelaki Inggeris yang ada di sekeliling tertancap pada wajah Hafsah, seraya membuat wajahnya panas. Malu. Masih tebal malunya, walau sudah beberapa lama mendiami bumi tempat orang berfikiran terbuka. Bumi orang Inggeris, orang yang memegang tamadun dunia hari ini.

Khansa berhenti berjalan, menunggu Hafsah mendapatkannya. “Erm, Hafsah... saya nak balik cepat ni. Ada benda nak buat,” Khansa cuba menyelindung ceria di wadi kalbunya. Malu pula jika Hafsah dapat meneka isi hatinya.

“Eh, semalam kan kita berjanji nak ke Plymton?” Hafsah cuba menuntut janji Khansa semalam.

“Hah? Janji apa pula petang-petang ni?”

“La... kan Kak Itah ajak kita ke rumah dia petang ni? Kak Itah hantar mesej masa kita dalam kuliah tadi, dia dahpun siapkan bihun sup kegemaran awak tu. Lagipun kan kita belum habis belajar Usul 20 tu.”

“Alamak, saya lupalah,” ceria Khansa ghuyub dengan tiba-tiba.

“Habis, awak nak pergi ke tak ni? Terpulanglah pada awak, tapi Kak Itah tentu gembira kalau awak datang macam selalu. Saya pun tak seronoklah jika ke rumahnya sendirian. Jomlah,” Hafsah cuba untuk berdiplomasi dengan Khansa, bimbang kalau-kalau Khansa terasa didesak pula untuk ke majlis-majlis ilmu sebegitu. Masih dipahat kukuh di hatinya pesan Fathi Yakan bahawa Allah pastinya menunjuk jalan ke arah kebaikan, tapi untuk kita memilih jalan itu sebenarnya memang mengikut kehendak kita.

Khansa terdiam sejenak. Buku yang terselit di dalamnya warkah dari Dataran Syam dipeluk kemas. Sungguh, melonjak-lonjak benar fuadnya ingin pulang membaca kandungan surat itu dan menulis balasannya. Tetapi kini dia keliru antara kehendak sendiri dengan keperluan ruhani. Benarnya tidaklah mengapapun jika dia ponteng kali itu, tetapi ada sesuatu yang membuatnya terasa berat untuk mendahulukan kemahuan hatinya membaca surat itu.

“Okay, jomlah ke rumah Kak Rabitah. Lagipun saya juga yang beriya-iya semalam nak mendengar bicara Kak Itah tentang jaulahnya ke Sepanyol kan? Hehe, terlupa pula,” Khansa membatalkan niatnya untuk pulang ke dunia kecilnya, lantas melangkah ke stesen bas bersama Hafsah untuk ke rumah Kak Rabitah. Rindu pula dirasakan kepada kakak seniornya itu, setelah hampir tiga minggu tidak bersua wajah. Hanya panggilan telefon penghubung hati-hati yang ingin selalu bersama menuju redha Ilahi.

Sambil melangkah, fikirannya berkisar pada surat Ilham Asrar yang lalu. Katanya dia akan terbang ke Sepanyol tiga minggu selepas tarikh surat itu dihantar. Tentu kali ini suratnya menceritakan kembaranya di bumi Andalus. Kebetulan pula Kak Rabitah juga ke sana. Apalah agaknya perkhabaran dari bumi yang pernah disinar cahaya syahadah itu yang dititip Ilham Asrar, dan apa pula cerita Kak Rabitah? Semuanya berlegar-legar dalam kepala Khansa.

***

Peluang duduk sendirian di dalam bas yang lengang itu diambil oleh Khansa untuk membuka kiriman warkah dari Ilham Asrar. Dengan penuh teliti dibuka surat yang tidak berpelekat itu. Kemudian, ditatap tulisan Ilham Asrar penuh debar. Seperti biasa, warkah darinya pasti bermula dengan sepotong ayat suci yang ditulisnya sendiri dengan tulisan arab. Cantik. 'Tentu Ilham Asrar pandai menulis khat, layaklah jadi ustaz', bisik hati Khansa. Khansa menyeringai sambil memulakan bacaan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya” [Al Baqarah: 257]

Assalamualaikum warahmatullah. Sesungguhnya Allah itu pelindung bagi orang-orang beriman, mengeluarkan mereka dari gelap kufur dengan memberi cahaya hidayah. Maka janganlah kita menurut jejak langkah syaitan yang mengembalikan kepada zulumat, kerana syaitan itu musuh yang jelas nyata.

Apa khabar iman dan amal? Moga-moga sentiasa dalam kekuatan bermujahadah mencari redhaNya. Kita hambaNya, tentulah tersangat berharap kepadaNya. Dia secebis pun tidak memerlukan kepada kita, tetapi kita tanpa cintaNya tidaklah bermakna apa-apa. Maka, janganlah menumpukan dan meletakkan harapan selain Dia, kerana Dialah yang Maha Memberi, Maha Melimpah Kebaikan Dan KemurahanNya, juga Maha Berkuasa membalas dengan azab siksa.

Tiada apa yang menarik untuk ditulis kali ini, tetapi hati terusik pula mengingatkan janji untuk mengutus berita bumi Andalus. Alhamdulillah, bumi Andalus telah saya jelajahi. Kini saya kembali semula ke bumi subur ini membawa seberkas hati yang terasa lebih hampir kepadaNya. Sungguh, hati benar-benar sayu melihat bagaimana nur telah hilang berganti zulumat, terutamanya apabila melihat tinggalan sejarah binaan-binaan yang pernah megah dikibar panji-panji Islam.

Empayar Bani Umaiyyah Ke-2 menyaksikan bumi Sepanyol disimbah nur dan kemudian diganti dengan zulumat semula hingga ke hari ini. Usianya hampir 800 tahun (711-1492) tetapi kini hanya hidup sebagai sejarah yang hampir dilupakan. Masjid Cordoba telah menjadi pembuka sejarah gilang-gemilangnya, dan pembinaan La Alhambra di Granada pula menandai kejatuhan empayar tersebut. Sungguh, tiada apa yang lebih menyayat hati selain dari melihat rumah-rumah Allah dicabul dan ditukar menjadi rumah-rumah ibadah untuk manusia yang tidak mengimaniNya. Ah, Sepanyol memang berjaya menitiskan air mata saya hingga terasa begitu perlu kepada rahmatNya!

Khansa,
Tahukah awak bahawa kira-kira 500 tahun yang lampau, selain peristiwa Columbus menemui benua Amerika, tahun 1492 juga merupakan tahun umat Islam berdukacita dengan kejatuhan kerajaan Islam di kota Granada. Jatuhnya kerajaan pimpinan Sultan Abu Abdillah Muhammad XII juga menandakan berakhirnya pemerintahan Islam di bumi Andalus dan Sepanyol. Tunduknya Sultan Abu Abdillah Muhammad XII kepada Ratu Isabella dan Ferdinand sebenarnya permulaan kepada derita dan kehancuran maruah deen suci ini di tanah itu.

Sejak penyerahan takhta kepada Ratu Isabella dan Ferdinand, umat Islam ditindas dan dipaksa untuk berhenti mentauhidkan Al Ahad, dan mengaku taat kepada kekufuran! Selama 250 tahun proses yang dinamakan Inquisition ini berlaku, yang mana sesiapa yang mengimani Al Ahad akan dibunuh atau dicaci dan dihalau dengan penuh kehinaan dari bumi Andalus. Terbayangkah di minda awak bahawa ayah, ibu, saudara-mara bahkan diri kita sendiri diperlakukan sedemikian?

Dengan sejarah yang sebegini tragis, mengapalah kita masih belum lagi raja’ sepenuhnya kepada pelukan deen suci ini? Mengapalah kita masih alpa dengan punca-punca jatuhnya maruah kita di tanah itu? Kita katakan kita mahukan kegemilangan kibaran panji-panji kita dikembalikan, tapi entah mengapa sukar benar rasanya menentang nafsu dalam diri? Deen ini suci, deen ini simbol keamanan, deen ini menunjuk kepada cara hidup yang membawa sa’adah dan sakinah, tetapi entah mengapa kita seolah tidak pernah untuk menggigit dengan geraham sunnah yang ditinggalkan oleh pengasas deen ini? Menagapa kita lebih mengagungkan cara hidup dan budaya yang bukanpun identiti kita, dan serentak menghancurkan iman dalam hati sendiri? Bukankah kita pernah bersetuju bahawa untuk menegakkan deen ini atas muka bumi, kita perlu menegakkannya dalam diri dahulu?

Kita sebenarnya belum hampir kepada-Nya. Jika benar, masakan kita biar piala hati dipenuhi rasa-rasa yang bukan sepatutnya seperti ini? Jika benar, masakan kita masih terbuai-buai oleh anganan dunia yang tidak berkesudahan? Jika benar, masakan kita masih saling mengutus warkah-warkah yang dipenuhi kalam jahiliyah? Bahkan! Kita tahu saban hari kita berbuat dosa, namun tidak pernah pula kita berusaha memadam dosa itu? Kita pernah sama berjanji meninggalkan jahiliyah, namun kita biar rasa ini bersarang di hati.

Khansa, saya pernah buntu. Saya pernah keliru dalam memilih antara kemahuan hati atau kehendak Ilahi. Saya fikirkan saya gagah. Tetapi setiap kali saya cuba untuk menjauhi, rasa itu kembali, datang menghurung hati, lalu saya kirim secebis bersama kalam-kalam yang dinaqal buat awak. Sungguh, sukar untuk saya taqarrub ila Allah dalam keadaan yang sebegitu. Namun kembara ke bumi Andalus benar-benar memberi saya semangat baru. Dan ketika mata menyaksikan sendiri air pancuran di Alhambra Granada mengalir lesu, saat itulah satu jawapan yang pasti telah saya temui. Saat jiwa menyaksikan Kalamullah yang terukir pada dinding-dinding rumah Allah yang kini dijadikan gereja di Mezquita Cordoba, hati telah benar-benar nekad. Dan kini saya pasti, saya takkan sesal dengan keputusan ini. Tekad ini. Tekad untuk membuang rasa yang salah ini.

Khansa, ayuhlah gagah menentang nafsu dalam diri. Ayuhlah kotakan janji untuk menjadi pejuang Deen Ilahi. Ayuhlah bersama membantu membangkitkan ummah, membela kembali maruah agama kita yang telah tergadai sejak bertahun-tahun lamanya. Kini, telah sampai masanya Ghuraba' tiba. Jika kita mahu menyandang julukan Generasi Ghuraba', seharusnya kita menjadikan diri kita layak. Berusaha untuk menjadi layak. Jika terus-terusan begini, layakkah kita?Jika benar mahu sa'adah dan sakinah, cara inikah?

Khansa terasa bagai ditampar. Serasa ada batu yang menghempap dirinya. Dada terasa sesak. Air mata Khansa bergenang. Cuba ditahan, tapi gagal. Baki surat yang lagi dua lembar itu tidak mampu untuk dihabisi. Diseka titis-titis jernih yang mulai bercurahan laju merentas pipi halusnya. Terperangkap antara sesal dan rajuk. Antara al haq dan al hawwa'. Dia tidak pernah berusaha sepenuh hati untuk raja’. Dia tahu rasa yang membuai itu bukan rasa-rasa yang patut dilayani, tetapi dia tidak usaha untuk membuangnya, malah dilayan. Dia terlupa bahawa sa’adah dan sakinah itu anugerah dari Yang Maha Memberi, maka kepada-Nyalah sepatutnya hati meminta dan mengharap. Betapa selama ini pengharapan dalam hatinya tersilap dicurah, dicurah bukan pada Yang Abadi!

“Khansa, dah nak sampai!” Hafsah mencuit bahu Khansa, memberi ingatan bahawa mereka menghampiri rumah Kak Rabitah. Air mata diseka. Hafsah merenung, hairan. "Awak ok?" Tanya Hafsah, namun hatinya dapat mengagak. 'Pastinya surat ustaz tu,' hatinya berdetik.

"Ok je." Khansa melipat warkah yang dititip Ilham Asrar lantas menyelitkannya ke dalam buku yang diriba. Benarnya, tak sabar rasanya untuk pulang ke dunia kecil. Dia mahu bersendirian, berbicara dengan Al Ahad. Bicara hatinya yang telah lama tersimpan, yang tak mahu lagi ditangguh!

***

Wednesday, September 27, 2006

Peribadi

Satu perkara yang sukar dilakukan dalam hidup adalah melihat sesuatu dari kaca mata insan lain. Melihat apa yang dilihat, merasai apa yang dirasa, mempertimbang apa yang difikir, mentafsir apa yang difahami dan sebagainya. Memang sukar, hinggakan adakalanya kita buntu untuk menilai apa yang ada dalam fikiran orang. Hingga, ada ketikanya kita terlajak membuat kesimpulan tentang apakah yang sebenarnya ada dalam fikiran orang. Ini, suatu perkara yang amat berbahaya yang boleh menimbulkan perselisihan antara kita dengan orang lain.

Apa yang pasti, setiap hari kita akan bangkit dari lena dengan fikiran yang semakin bercambah. Setidak-tidaknya kita akan ada satu pengalaman semalam untuk dibawa dalam kantung memori hari ini. Pengalaman itu dikutip dan disimpan, sebagai bekalan menempuh esok yang misteri. Mengapa misteri? Misteri kerana hari esok merupakan suatu takdir yang amat sukar diteka. Walau saban hari kita merancang, namun perancangan-Nya sememangnya berada lebih atas dari perancangan kita. Siapalah yang mampu meneka rencana Dia?

Dan. Pengalaman yang semalam-semalam itulah yang menjadikan kita seperti kita hari ini, dan mereka seperti mereka saat ini. Pelbagai ragam manusia menjadi asam garam kehidupan yang ditempuh. Kadangkala, amat sukar untuk menyesuaikan diri dengan 'asam' dan 'garam' yang dibawa orang. Sesekali, apabila terlebih 'garam' atau 'asam'nya, kita jadi tidak betah melayani orang. Hati mula menjadi radang, dan kadangkala gagal kita menjadi rasional.

Persoalannya, hidup kita di dunia ini saling berkait, tak ubah seperti jejaring sarang labah-labah. Apabila terputus seutas 'tali' yang mengikat jejaringan, maka huru-haralah semuanya. Begitulah orang-orang yang beriman, jika terputus seutas tali persefahaman yang mengikat mereka sebagai saudara, maka hancurlah segalanya. Jadi, tidak hairanlah mengapa Rasulullah pernah mensyaratkan kita agar mencintai saudara seakidah sebagaimana mencintai diri sendiri, jika benar mahu menjadi orang yang beriman. Mencintai saudara seakidah, yang mencintai Allah. Yang juga mahu menuju Allah. Pulang kepada fitrah.

Maka, untuk itu kita harus sentiasa berfikir demi kebaikan orang lain, dan menjaga hubungan dengan orang lain. Inilah yang paling sukar dilakukan, namun harus diingat tentang balasan yang indah. Balasan pahala. Oleh itu, bersabarlah dengan 'asam' dan 'garam' yang diberi orang. Berusahalah untuk mencintai orang lain sepertimana kita mencintai diri sendiri. Dan bagi diri kita sendiri, usahlah memberi lebih 'asam' ataupun kurang 'garam' kepada orang. What goes around comes around...

Dan ini, tak lebih dari tazkirah untuk diri sendiri. Allahu ta'ala a'lam.

Tuesday, September 26, 2006

Baru

Setiap yang bermula pasti akan menemui pengakhiran. Begitulah. Yang hidup akan mati, yang datang akan pergi, yang ada akan hilang, yang banyak akan habis, dan begitulah seterusnya. Tiada yang kekal, melainkan Dia.

Dunia ini telahpun terwujud sejak ribuan, malah mungkin jutaan tahun yang lampau. Sejak diutuskan Adam 'alaihissalam hinggalah ke hari ini, entah berapa puluh ribu juta manusia yang pernah hadir menduduki bumi. Namun dalam jutaan manusia itu, ada kita. Kita sebagai satu makhluk al-Khaliq, hidup atas muka bumi-Nya. Hanya salah satu, daripada entah berpuluh ribu juta. Istimewakah kita? Atau hanya melukut di sudut dunia?

Usia bumi ini begitu panjang, namun kita hanya hadir untuk seketika, meghiasi suatu sudut dunia. Tetapi walau ada puluhan ribu juta manusia selain dari kita, tetapi Dia takkan pernah lalai dari mengetahui dan memerhatikan kita. Kerana kita ini istimewa, dan bukan dijadikan atas muka bumi ini tidak bersebab. Setiap insan itu sentiasa dalam perhatian-Nya. Bukankah dia itu Maha Kuasa, Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana? Maka apakah yang boleh menghalangnya dari memerhatikan setiap satu dari kita?

Maka. Jadikan dirimu mulia, kerana dirimu istimewa. Apa yang memuliakan antara satu insan dengan yang lain? Hakikatnya Allah memandang semua insan sama sahaja, kecuali segolongan manusia. Itulah golongan manusia yang benar-benar beriman kepada-Nya dan kembali kepada Fitrah sebenar. Fitrah menyerah kepada-Nya. Fitrah mulia. Wallahu a'lam.

Monday, September 25, 2006

T o L o n G

Suatu waktu,
Aku telah bersumpah untuk tidak berpaling lagi pada rasa itu
Tidak akan akur lagi pada jahiliah itu
Tidak sesekali sesal pada keputusan itu
Tuhan, demi-Mu
Maka bantulah aku

Ya Tuhan, tolonglah
Jangan Kau palingkan semula aku pada jahiliah itu
Bunuhkanlah karat-karat itu
Kikiskan, gilapkan, sinarkan hatiku
Sungguh, aku ingin thabat atas jalan-Mu

Tuhan,
Jadikan cintaku hanya untuk-Mu,
Jadikan aku pejuang sabil-Mu
Jadikan syurga itu bayangan mindaku saban waktu
Kerana Engkaulah Tuhanku
Tetapkanlah hatiku pada-Mu
Jangan Kau palingkan hatiku setelah Kau hidayahkanku

Jiwa dan raga ini, ingin aku dedikasikan untukMu
Gagahkan aku memandang syurga di hujung jalan
Kala dugaanMu datang mengganggu
Kerana sungguh,
Aku ingin thabat atas jalan-Mu!