Sejurus selepas majlis usrah berakhir, Khansa bersegera memohon izin untuk pulang. Urusan pulang yang ditangguh sebelum ke rumah Kak Rabitah telah pupus dari hatinya. Namun, dia kini ada urusan lain yang mendesak hati untuk pulang ke dunia kecilnya. Cerita-cerita Kak Rabitah tentang Sepanyol menambah lagi sebak dan hiba, apatah lagi bila dia melihat gambar-gambar yang dirakam sekitar bumi tandus Andalus itu.
Bagaimana bangunan yang mempunyai dinding-dinding yang berukir ayat-ayat suci al Quran akhirnya memberi teduh kepada mereka yang tidak mengimaniNya. Bagaimana bergeloranya jiwa apabila melihat gambar air pancuran yang dibangunkan sistemnya oleh orang Islam, tetapi hanya menjadi penghias sepi tanpa sesiapa tahu sebabnya air itu dibuat supaya berpancuran di situ. Suasana La Alhambra kelihatan sungguh tenang, tetapi jiwanya kacau memikirkan sejarah yang disimpan kota itu.
Sesudah solat Isyak dan mentadabbur beberapa potong ayat suci dari tafsir al Quran, Khansa berteleku di atas pembaringan. Memandang kosong ke siling. Kecamuk yang meladeni fikiran beransur hilang, tetapi dia mencari-cari suatu asbab dan cara untuk dia raja’ kepada Ar Rahman. Dia rindu, tetapi ingatannya kepada insan seperti Ilham Asrar adakala begitu ganas membunuh rindunya kepada Yang Maha Pengasih. Dia tak mahu itu. Dia tak mahu qalbnya diselaputi kabut-kabut kelabu. Terbayang-bayang tulisan bertinta hijau dari Ilham Asrar tentang pengharapan.
Kalam Ilham Asrar pada bait ini amat membekas;
“Dia secebis pun tidak memerlukan kepada kita, tetapi kita tanpa cintaNya tidaklah bermakna apa-apa. Maka, janganlah menumpukan dan meletakkan harapan selain Dia, kerana Dialah yang Maha Memberi, Maha Melimpah Kebaikan Dan KemurahanNya, juga Maha Berkuasa membalas dengan azab siksa.”Tidak berterus terang, namun Khansa mulai terang dengan apa yang cuba diterangkan Ilham Asrar, sahabat yang pernah dia kagumi satu ketika dahulu.
Pada mata Khansa, Ilham Asrar memang bertuah kerana menerima tarbiyyah secara langsung sejak kecil. Berbeza sedikit dengan Khansa yang dipelihara neneknya, tarbiyyah yang diterima tidaklah sehebat Ilham Asrar. Namun masih, ajaran-ajaran Nek Timah kukuh terpahat di hati. Adakala, timbul juga cemburu di hatinya apabila memikirkan betapa Khansa rindu kepada didikan jiwa, sedang Ilham Asrar bahagia dalam ukhuwah di dataran bertuah.
Khansa menarik nafas dalam-dalam sambil berfikir-fikir apakah maknanya semua ini. Cuba dirungkai teka-teki yang bersarang, tetapi susunan memorinya terlihat sesuatu yang indah. Memang indah. Bila difikirkan kembali, walaupun selama ini dia terperosok jauh dari kegembiraannya yang ditinggalkan di tanah watan, namun kasih Ilahi sentiasa dirasakan datang entah dari pelusuk mana. Indah!
Hadirnya warkah-warkah peringatan dari Ilham Asrar benarnya mengheret Khansa untuk kembali merindui tarbiyyah imaniyyah sedikit demi sedikit. Dan pasti, hadirnya Kak Rabitah yang tak jemu bercerita hal-hal dunia dan kehidupan selepas kematian telah membawa bersama secebis sinar buat Khansa. Ukhuwah yang diberi terasa melapangkan dada di kala terasa lelah dengan mehnah dunia. Dan kini, Khansa yakin bahawa jaringan ukhuwah yang ditemuinya di tanah asing Ratu Elizabeth ini merupakan susunan Allah baginya membaiki dan mendidik diri dan jiwa agar bertakwa. Mungkinlah ini bukti janji Tuhan kepada insan, yang dikhabar melalui lidah Muhammad s.a.w;
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [ Surah as-Syams 91:7-10]
Khansa melihat sekilas kepada kalendar yang berpangkah pada tarikh 8 Mei. Dia lantas mencapai pen dan kertas di atas meja sisi di kepala katilnya. Ada sesuatu yang mahu dicurah buat Ilham Asrar di tanah subur Dataran Syam. Masih belum dilupa tarikh keramat ini...
Dengan nama Allah, yang ar-Rahman dan ar-Rahim…
“Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!” [Al Mulk 67:12-14]
Assalamualaikum warahmatullah…
Warkah berkisar tentang bumi Andalus telah sampai ke tangan saya dengan selamat. Terima kasih atas kiriman khabar berita dari tanah Dataran, kerana sedikit sebanyak ia umpama menjirus secangkir air pada saat tanah Ratu Elizabeth ini sungguh gersang dengan sinar tarbiyyah imaniyyah…
Sungguh, saya kelu untuk meneruskan tarian pena, kerana benarnya tiada apa yang layak dibicarakan selain ungkapan terima kasih. Sungguh, memang saya faham kini apa yang saya benar rindukan di tanah gersang ini.
Percaya atau tidak, saya memang dapat merasakan betapa tanah ini kontang dengan siraman tarbiyyah imaniyyah. Mengetahui kisah Andalus yang tandus membuat hati meraung hiba, lantas membuka mata saya betapa jauhnya hati ini dari sinar didikan jiwa. Apatah lagi dengan mehnah-mehnah yang tak putus arusnya, saya bersyukur kerana kasih Tuhan tak pernah gagal Dia tunjukkan kepada kita. Allahu rabbiy, huwa ar-Rahman, ar-Rahim.
Teruskanlah usaha membuka hati insan kepada mengagungkan Ilahi, moga-moga terbias pahala buat bekalan mencari redha Ilahi di tanah abadi. Benar, dengan bait kata-kata saja adakala kita bisa mengubah hala sekeping hati. Hati yang mungkin pernah bersempudal dengan lumpur dosa, moga-moga mahu sama-sama raja’ kepada al-Ahad. Mempersembahkan taubat, juga persembahan ubudiah di dalam tunduk sujudnya.
Tanah Andalus pernah menjadi milik kita, tak ubah seperti al Quds tempat letaknya al-Aqsa. Maka, terlalu ingin hati ini melihat tanah-tanah itu kembali mejadi watan kita, sepertimana saat gemilangnya kita suatu ketika dahulu. Rindu… benar-benar rindu. Jiwa ini rindu kepada kibaran panji-panji kita, seperti satu ketika dahulu. Namun kehidupan dunia hanya sebagai percubaan buat kita, bagi-Nya menentukan siapakah yang lebih baik amalannya. Moga kita akan termasuk dalam golongan yang diredhai-Nya, insya-Allah. Maka dengan itu berusahalah, moga-moga bertemu dengan kematian dalam pensaksian yang diimpikan.
Wallahu a’lam. Oh, hari ini hari lahirmu. Sanah helwah ya akh. Moga dewasanya dirimu selari dengan pertambahan iman dan taqwa. Tiada apa yang lebih berharga selain doa, moga-moga terpilih dirimu menjadi pembela deen ini yang merindukan syahid idaman.
Akhirul kalam, ini mungkin titipan yang akhir. Maka jika Allah menghendaki bertemulah kita lagi. Tapi tentunya bukan lagi di medan ini, melainkan di medan perjuangan nanti. Barisan harus disusun, dan hati harus dikentalkan demi membentuk tembok-tembok kukuh…Kita takkan mungkin menjadi kukuh dengan terus leka terbuai dengan arus jahiliyah yang bisa mengaratkan hati dan mengaburi qalb dalam melihat sinarNya. Ayuh, berangkat kita menuju Tuhan!!!
Wassalam.
Khansa binti Amran
United Kingdom
Khansa melipat warkah itu dan dimasukkan ke dalam sampul surat kuning yang dibelinya di Tesco dahulu. Ah, sesal benar hatinya kini kerana membeli-belah di situ. Jangan haraplah akan diulang perbuatan bodohnya itu dengan membawa keuntungan buat mereka membunuh saudara-saudara yang mengimani Dia yang Satu. Itulah sampul surat yang terakhir, takkan lagi dibeli dari Tesco. Selepas in bukan hanya sampul surat, hatta sebatang paku pun takkan dibeli dari pasaraya itu.
Khansa meletak sampul surat kuning itu ke atas permukaan meja yang rata, dan kemudian mengukir nama Ilham Asrar pada permukaan sampul surat itu. Tiba-tiba hati Khansa terdetik. Dia belum lagi menghabisi bacaan berbaki dua lembar dari warkah Ilham Asrar. Dia lantas segera mencari-cari warkah itu di dalam buku kuliahnya. Kemudian dibuka dan disambung bacaannya penuh teliti. Usai membaca, Khansa terduduk dihenyak kejutan. Jantungnya seolah-olah berhenti berdegup…
Kini tahulah dia, takkan mungkin warkah tulisannya itu sampai ke tangan Ilham Asrar. Rupa-rupanya itulah warkah selamat tinggal dari Ilham Asrar, sebelumpun sempat Khansa mengucapkan terima kasih kepadanya. Itu warkah terakhir titipan Ilham Asrar. Paling akhir, sebelum dia meninggalkan Dataran Syam, menuju impiannya di persempadanan. Tidak akan berpaling lagi untuk kembali, melainkan hanya akan kembali kepada Tuhannya.
Air mata Khansa kini kering. Tiada apa yang hendak ditangisi bagi insan yang begitu kuat bermujahadah kepada Tuhannya. Ilham Asrar mahu membaiki diri, begitu juga dia. Lalu, Khansa harus tegar. Jangan lagi berpaling kepada arus jahiliyah yang berkarat dalam hati. Lekatan dan lekitan getah jahiliyah perlu dibuang dengan penuh bersungguh-sungguh. Moga-moga terbias semangat untuk bermujahadah yang sama seperti kentalnya semangat Ilham Asrar, untuk Khansa thabat dalam perjuangan menentang nafsu dalam dirinya.
...doakan kekuatan ana dalam peperangan menentang nafsu. Tak mahu ana mengulangi sejarah Abu Abdillah di Andalus, yang menangis seperti perempuan kerana gagal mempertahan islam seperti seorang ar-Rijal sejati! Ayuh mencari iman yang tulen, mengisi piala hati dengan cinta Ilahi, serta bergantung harap hanya pada-Nya. Ingat, Dia sedikitpun tidak memerlukan cinta kita, tetapi kita tanpa cinta-Nya umpama layang-layang terputus tali. Hilang arah. Hilang tujuan. Hilang pergantungan. Hilang cinta. Hilang segala-galanya. Segalanya. Tiada apa...
Salam mujahadah,
Ilham Asrar Ibnu Siddiq
~Islami ya Quds~
Itu perenggan akhir dari Ilham Asrar. Khansa menarik nafas dalam-dalam dan dihembus perlahan seolah membuang segala derita dari jiwa.. Lantas diambil surat yang ditulisnya tadi, lalu digariskan satu garisan panjang, merentasi ukiran nama Ilham Asrar. Kemudiannya dituliskan kalimah “La ilaha ilaLLah” di bahagian atas contengan itu. Di bawahnya pula ditulis seuntai doa;
Ya Tuhan, kuatkanlah hatiku. Jadikan imanku sebuah keimanan yang sadiq, hilangkanlah takut di hatiku dan buanglah pengharapan dalam hatiku, dan gantikanlah dengan ketakutan dan pengharapan yang hanyalah pada-Mu, ya Azizun Hakim! Bantulah aku dalam tribulasi menentang nafsu dalam diriku, dalam pada menempuh ujian menilai iman dan taqwa, dan moga-moga gagah diriku menuju syahid idamanku…
Itulah warkah terakhir dinaqal buat Ilham Asrar yang merindui Tuhannya. Tetapi sebenarnya, mungkin itulah surat untuk Tuhan, dari Khansa yang merindui tarbiyyah imaniyyah setelah merasakan hangat cahaya dari Andalusia...
3 comments:
boleh hantar majalah! ;)
kak sofi pandai bercerita time skola dlu ey..? hehe..nak dengar lagi..lagi...!
Salam,akak.
Sgt menarik! Tersentuh hati saya...
Ada peluang saya akan pergi ke Sepanyol utk membakar semangat perjuangan...
Post a Comment