Sunday, October 01, 2006

Delegasi Ramadhan

"Kamu dapat jemputan ke Ramadhan Party budak-budak Zimbabwe itu?" Subhi melempar pertanyaan di hujung talian.

"Bila?" Aqilah menyoal. Terkejut. Parti Ramadhan? Ifthor, barangkali?

"Petang inilah. Di rumah Baidha'. Kamu tak tahu?" Subhi bertanya lagi. Musykil.

"Mengapa Baidha' tidak pun membuka mulut menjemput saya? Baru saja bertemunya di perpustakaan tidak berapa ketika yang lalu. Sedang berjalan pulang ni," Aqilah mengutarakan kemusykilannya pula, sambil terus mengatur langkahan menuju Dewan Kediaman. Hampir saja terjerumus ke dalam longkang kering di kiri laluan pulang, dek kerana terkejut dengan berita Parti Ramadhan pelajar Zimbabwe itu.

"Yalah, masakan dia menjemput kamu. Kerana saya dan Zuhri yang dijemputnya. Dengarnya ramai juga pelajar lelaki yang mereka undang," Subhi menjawab sinis. Aqilah faham.

"Apa yang kamu nak buat sekarang?" Aqilah menyoal, gusar. Risau kalau-kalau perkara lama berulang lagi. Perkara yang telah bertahun-tahun begitu. Akan berulang lagikah kali ini?

"Kamu pergilah cakap dengan Baidha'. Saya telahpun bersepakat dengan Zuhri untuk menolak jemputan itu. Tetapi, saya tak fikir Baidha' faham. Pergilah beritahu pada Baidha', terangkan apa yang sepatutnya," Subhi bersuara, atau dengan kata lain mengeluarkan pekeliling. Aqilah tersentap. Langkahan terhenti di pinggir tasik universiti.

"Susah la. Saudara memang mudah kerana hanya perlu bercakap dengan saya. Saya yang susah mahu berhadapan dengan Baidha' tu. Fahamkah dia jika saya beritahu apa yang sepatutnya?" Aqilah menyuarakan isi hati. Sedikit geram, mungkin.

"Hmm. Kena cakap. Kalau kita tak beritahu, masakan mereka tahu. Kalau tahu pun, mungkin mereka terlupa. Ingatkanlah dia. Ramadhan itu suci, jangan cemarkan dengan jahiliyah. Bukankah nabi kata la yukminu ahadukum hatta yuhibba li akhihi, ma yuhibbu linafsih[1]? Tak sayang saudara seakidah? Nanti dia kena kat akhirat, kamu kena sekali. Silap-silap, saya pun dapat saham. Tak takut? Saya takut..." Subhi memujuk Aqilah, seperti memujuk anak-anak kecil. Disogok dengan syurga neraka. Tapi ada betulnya. Kerana syurga itu benar, dan neraka itu juga benar. 'Mengapa mesti aku fikirkan pujukan itu layaknya untuk kanak-kanak saja? Astaghfirullah,' bisik Aqilah seorangan.

"Tapi, saya rasa tak layak nak beri peringatan. Saya pun jahat jugak dulu-dulu. Sama-sama bergembira di Ramadhan Party mereka. Sama-sama bergaul mesra dengan lelaki-lelaki Zimbabwe itu. Sama-sama memasak dan membakar daging barbeku dengan girang, tanpa terfikir batas pergaulan. Bergurau senda, mesra. Ah, bencinya!" Aqilah buntu. Kecewa dengan silamnya.

"Ah, jika mahu lakukan saja. Yang dulu harusnya kamu padam dengan kebaikan. Atbi'ie assaiyyi'atal hasanata tamhuha[2]. Bila lagi? Kalau nak membaiki ummah, kenalah ada tekad yang waja. Wad'u ila robbika innaka la'ala hudan mustaqim[3]! Kalau nak buat perkara benar, kamu ada Tuhan sebagai pembela. Nak ke taknak ni?" Kata-kata Subhi menyuntik semangat.

"Baik! Berusahalah!" Semangat. Aqilah serentak menekan punat merah pada telefon selular. Malas berdalih lagi. 'Ya! Inilah masanya,' hati Aqilah berdetik.

'Ramadhan itukan suci, takkan kubiar lumpur noda menghiasi suci Ramadhan. Jika benar Baidha' terlupa, aku harus mengingatkan. Telah begitu lama kami hidup dalam kegelapan. Sekian lama kami larut dalam identiti yang bukan milik kami. Terlalu lama aku beruzlah mengasing diri. Hidup ini hanya sebuah perjalanan kepada keabadian, takkan kutemui Raudhah jika duduk beruzlah mengasing diri!' Itu tekad Aqilah pada hening petang 1 Ramadhan. Dengan penuh keazaman, Aqilah melangkah ke bilik Baidha'.

Ramadhan itu. Kali itu benarnya Ramdhan terakhir bagi Aqilah. Hayatnya tamat beberapa langkah sebelum sempat menunaikan hasrat besar, cita-cita akbar. Aqilah, bersama semangatnya mengislah ummah, telah terbunuh dalam kemalangan ketika melintasi jalan untuk ke bilik Baidha'.

Maka, siapakah yang tinggal untuk menyambung delegasinya itu?
______________________________
[1] "tidak beriman seseorang itu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri"- No.13 matan arba'in
[2] "iringi kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya" -No.18 matan arba'in
[3] "maka serulah kepada Tuhanmu, sesungguhnya engkau berada di atas petunjuk yang lurus" -QS 22:67
[4] Halamak. Tragis nyeh. Tetapi cerita, nama dan watak sekadar rekaan.

4 comments:

tuan tanah said...

aduh, ngeri!

Ishhh... biar benar, ada ke orang buat Ramadhan Party sebenar-benarnya?

Sufi is me said...

ada je.

kat mesia banyak.
poser di siang hari,
berbuka dengan entah siapa-siapa di petang hari,
enjoy di panggung2, taman2 mahupun shopping complex di malam hari.

lalu apa?

Anonymous said...

aduh, zaman jahiliyah ku...

Sufi is me said...

jOm jaGa Cahaya dalam hati kita...