Tuesday, October 10, 2006

Istafti Qalbak

[Tanyalah Hatimu]

Dia diam, memerhati alam dari celahan tabir kamar tidurnya. Matahari seperti segan menunjuk wajah. Bayu musim luruh mulai bertiup, sesekali memberi ketar pada tubuh. Dedaunan yang berguguran mulai merampas ceria pepohonan. Sepertimana kelamnya cahaya matahari, seperti itulah hatinya. Cerianya hilang, ghuyub bersama hari yang berlalu.

Diamati pohon-pohon yang berdiri kaku menghiasi laman. Pohon-pohon yang pernah begitu ceria merimbun menghiasi laman kini tidak lagi begitu. Segalanya yang dahulu hijau kini umpama mati, dibunuh oleh warna-warna musim luruh.

Seketika, dia menutup mata. Cuba menyelami hatinya. Kala itu, serasa enggan dibuka lagi matanya untuk melihat dunia. Seolah enggan menghadapi semua itu lagi. Seperti ingin lari dari memikul beban yang menyesakkan. Namun seketika itu kata-kata Abah melintasi mindanya.

"Tanyalah hatimu. Tenteramkah pada keputusan itu? Jika benar penat dengan dugaan Tuhan Yang Maha Kuasa, jika benar lelah dengan 'padang permainan' ini, ke mana pula dapat kamu lari?"

"Bukan mahu lari, tetapi Zainab terasa ujian ini terlalu berat, tak tertanggung. Satu demi satu dugaan bertamu. Terasa perlukan masa untuk mengatur segalanya agar menjadi sediakala..."

"Berat? Bukankah telah Dia janjikan bahawa segala amal kita takkan disia-siakan?[1] Anakku, belajarlah menjadi wanita cekal. Dugaan memang datang dan pergi, hadapilah. Usah lari"

"Bukan tidak mahu, cuma Zainab risau Zainab tak mampu, Abah"

"Sungguh, dia tidak akan menduga kita lebih dari yang mampu kita tanggung. Dia itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Dia pasti menjagamu, jika kamu menjaga-Nya"

"Abah, Zainab perlu doa Abah. Semangat dari Abah. Doakan ya?"

"Abah tidak mampu selalu di sisimu. Hanya Dia yang akan sentiasa bersamamu. Hanya Dia temanmu. Ihfazillah, yahfazuk.[2] Itu kalam Nabi tentang janji Allah yang pasti"

Serentak, air matanya berderai. Saat dia ragu dengan dirinya, lelaki tua itu memberi yakin. Mengingatkan tentang apa yang dia terlupakan. Kata-katanya ringkas, namun penuh makna. Perlahan-lahan, dibuka matanya. Seolah-olah ada kekuatan menyelinap segenap dirinya. Sebak di dada terasa kurang.

Tuhan, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah kesalahan-kesalahan kami. Matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti. Kerana sungguh, syurga yang manis itu akan cuba kami langsaikan maharnya hanya dengan izin-Mu.
____________________________________________________
[1] 3:195
[2] Matan arba'in No:19

No comments: