Sunday, January 18, 2009

KITA dan FALASTIN

Assalamualaikum wrm para pembela agama sekalian..


Gaza dalam bahaya. Falastin yang telah lama dilanda bencana kini menjadi tumpuan media. Sana-sini orang berkempen, demonstrasi, berkumpul secara besar-besaran, malah ikhwah sibuk berceramah siang malam semata-mata ingin mengambil peluang keemasan ini untuk menceritakan dan 'mendidik' masyarakat tentang Falastin. Alhamdu Lillah wa Masha Allah.

Keparahan keadaan masyarakat Falastin memang telah sedia dimaklumi bukan sekadar dua-tiga minggu kebelakangan ini sahaja, malah penindasan dan kekejaman Israel dan Amerika telah sekian lama dalam pengetahuan kita. Sejak 1948, isu ini tidak pernah surut. Kekejaman dan kebengisan Yahudi memang telah lama terpampang, dengan 80 resolusi PBB yang dibuat semenjak dahulu sememangnya tidak pernah satu pun dipatuhi Israel. Semua itu sudah sejak sekian lama diketahui umum. Tetapi kali ini -dan sesungguhnya Allahlah yang mengaturkannya- masyarakat dengan tiba-tiba kelihatan lebih terpukul dan turut sama terjun ke dalam arus 'peduli Falastin' ini. Sentimen yang dimainkan media negara kita begitu memuncak, sehingga isu ini sepanas isu karikatur Nabi; malahan jauh lebih hangat lagi. Semua lapisan masyarakat kelihatan begitu bersungguh-sungguh ingin mengambil berat isu Falastin ini, dan turut serta dalam segala kempen, boikot, demo dan sebagainya. Lalu bagaimana pendirian kita sebagai "du'at qobla kulli syaik"?


Kita du'at mengatasi apa sahaja tugas yang lain

Kita semua sedia maklum, tugas kita sebagai du'at bukanlah dilandasi oleh berita-berita hangat semasa atau banjir-banjir tsunami yang melanda sekali sekala. Keterlibatan kita dalam dunia dakwah dan mentarbiyah rijal-rijal ini bertitik-tolak dari kefahaman terhadap keadaan ummah dan watan sekarang, yang telah sekian lama kehilangan seorang Khalifah meneraju seluruh umat Islam sedunia.

Umat Islam; dari Maghribi hingga ke Indonesia, malah sekarang meliputi benua Amerika hingga ke Australasia, kini dalam keadaan berpecah belah dan meroboh. Setiap inci watan kita sudahpun diracuni idea-idea nasionalis yang menyebabkan keterikatan ummah bukan lagi kepada Islam tetapi kepada tanah-tanah yang dipecah-pecahkan oleh perbatasan dan sempadan. Maka, seharusnya tugas sekarang ialah kita mencari dan menyedarkan rijal-rijal yang kehilangan taringnya agar kembali bangun dan mendasari perjuangan ummah membangunkan semula khilafah yang hilang!

Seharusnya tugas menceritakan qodhaya ummah ini telahpun lama kita jalankan demi memahamkan dan mendidik rijal-rijal. Tidak sepatutnya kisah saudara-mara Falastin kita hanya rancak diheboh kesana-kemari hanya sesudah media memainkan sentimen-sentimen tertentu yang barangkali didalangi oleh orang-orang berkepentingan! Bagaimanalah nanti setelah sejuk isu ini, akankah ia seperti isu banjir? Banjir menyurut, maka kita pun turut sama surut dalam berdakwah?


Akhawati fillah,

Kita ini bertemu atas jalan dakwah ini kerana ingin membina semula kegemilangan Islam yang telah punah dirobohkan oleh tangan-tangan keji. Kita telahpun mengikat ikrar setia untuk membina rijal-rijal agar 'Rumah Teduhan' kita yang sedang marak terbakar ini dapat diselamatkan dan kembali menjadi naungan seluruh alam. Syahadah al Haq kita harus telah lama memanaskan dan terus-menerus membakar marak nyalaan semangat kita untuk menumpukan seluruh tenaga dan usaha kita dalam melaksanakan dakwah kita. Kerja kita bukan bermusim. Tugas kita takkan pernah surut. Tidak akan ada erti henti dalam dakwah kita, selagimana Rumah Teduhan kita tidak dapat diselamatkan! Walau apapun cerita dan 'ledakan berita' dalam arus masyarakat kita, kembalilah kepada titik tolak asal perjuangan kita--kita ini berjuang mencari rijal untuk mengembalikan khilafah yang telah hilang.


Jalannya adalah ISLAH

Sedarlah saudaraku! Hanya dengan kembali kepada Allah dan melakukan islah serta amalan soleh sajalah yang bisa membantu dengan sebenar-benar bantuan. Kita takkan dapat mengembalikan kegemilangan Islam dan kemakmuran yang dibawanya, dengan hanya menghantar kontena-kontena ubat dan makanan atau dengan huluran barang seringgit dua. Tidak dinafikan, bantuan material seperti amat penting kepada saudara-mara kita di Falastin, namun percayalah bahawa Islam takkan tertegak hanya dengan sadaqah dan derma kedalam tabung Falastin. Kita mahu yang lebih dari itu. Kita mahu rijal-rijal dan jundiy-jundiy untuk mempertahankan agama ini!

Ingatlah hadith Thoifah... Tidak akan berlaku hari Qiyamah sehingga orang-orang islam memerangi orang Yahudi hattakan batu dan pokok-pokok pun turut memanggil2 memberitahukan kewujudan orang Yahudi menyorok dibelakangnya (Au kama qaal). Takkanlah kita hanya mahu biarkan orang Falastin sahaja berjuang mati-matian dan kita pula hantarkan bantuan kain kafan buat mereka? Ingatlah! Sebahagian mereka sudahpun bersenang-senang di atas pelaminan, duduk bersama pelayan-pelayan suci! Ringgit kita belum tentu cukup untuk dihantar menjadi mahar daerah syurga!!! Mereka menghantar anak, mengirim nyawa, takkanlah kita hanya mengirim ringgit saja?


Jadi Siapakah Rijal?

Persoalan ini bukanlah soalan yang boleh dijawab dengan 'bertele-tele' tanpa asas. Rijal bukan saja merujuk kepada 'budak lelaki' seperti maksud literalnya. Rijal adalah para pembela agama, tidak kiralah lelaki mahupun perempuan yang mahu menegakkan islam dalam dirinya dan memilih jalan perbaikan (islah) sebagai jalannya. Dr Abd Karirn Zaidan menggariskan beberapa ciri RijaludDakwah ini; rijal harus memiliki kefahaman yang mendalam, keimanan yang mantap dan hubungan yang intim dengan Allah Ta'ala. Atau dengan kata lainnya kita perlu mempersiapkan rijal-rijal yang memiliki persiapan dari sudut aqliyah, ruhiyah dan harakiyah. Maka siapakah yang akan menanggung tugas berat mencari rijal sebegini ini, jika kita tidak melakukannya secara berfokus? Fikirkanlah!


[Peringatan ini tidak lebih hanyalah buat diriku yang terkadang lupa... Harus lebih laju berlari!]

1 comment:

Ummu Mujahid said...

jzlh mengingatkan.. :)