Friday, November 13, 2009

Baidha di rumah Mak Arwa

Sebaik salam disahut dari dalam, Baidha' meluru naik ke rumah. Seraya memijak lantai teratak kayu nan usang milik Mak Arwa, Baidha' meluru mendapatkan Mak Arwa yang tika itu sedang melipat kain. Segera dia menyalami tangan tua Mak Arwa, lalu buru-buru dia menyembam wajah ke bahu Mak Arwa. Dipeluknya Mak Arwa erat-erat. Seakan tidak ingin lagi dia melepaskan. Saat itu, Baidha' terus membiarkan air matanya berbicara. Sudah tak tertahan rasanya dia menanggung segala ini. Seakan ingin pecah hatinya menakung duka yang dihadapinya itu.

Mak Arwa membalas bicaranya dengan rangkulan kejap, seolah bisa meneka pilu yang merundung sekeping hati gadis muda ini. Gadis yang pernah menjadi anaknya buat beberapa tahun.

"Sudahlah tu nak. Mak pun rindu pada Baidha," jemari tua itu mengusap-usap belikat Baidha'. Lembut. Serasa mengalir renjatan sakinah ke dalam jiwa Baidha'. Pelukan itu bukan pelukan biasa. Dapat dirasakan seolah pelukan itu mengalirkan cinta dan mahabbah yang sungguh berbara-bara.

"Kenapa mak buang Baidha'? Baidha' tak mahu tinggal dengan Bonda. Baidha' kan anak mak. Kenapa Baidha' mesti duduk dengan Bonda? Baidha' nak balik duduk dengan mak. Sampai hati mak buang Baidha'!" suara Baidha kedengaran merengek. Tak ubah seperti anak kecil. Tangisnya menjadi-jadi.

"Aish, jangan cakap macam tu. Baidha' kan tetap anak mak. Walaupun Baidha' perlu mak kembalikan kepada Ibu Baidha' yang sebenar, ikatan atifi kita takkan pernah terlerai, sayang," Mak Arwa terus memujuk gadis yang diserah padanya saat masih bayi itu.

Masih segar di mindanya kisah belasan tahun dahulu, saat Bonda Baidha, Cik Puan Khalisah meminta Mak Arwa memelihara Baidha' buat sementara dek kerana perlu berhijrah ke tanah asing. Mak Arwa menatang Baidha' bagai minyak yang penuh. Diberi segala asuhan agar Baidha' membesar menjadi mukminah solehah seperti yang didambakan setiap ibu. Dan setelah beberapa tahun berlalu, Cik Puan Khalisah kembali ke sini dan menuntut haknya. Tentulah Mak Arwa perlu menyerahkan. Walau hatinya terlalu berat menghadapi kenyataan ini.

"Baidha', baliklah sayang. Tapi Mak Wa nak Baidha' ingat, Baidha' tetap anak mak walau bukan darah daging mak. Tapi Baidha' perlu taat kepada ibu, kerana dia yang benar-benar berhak keatasmu," Mak Arwa menuturkan baris itu dengan penuh hati-hati, kerana setiap bait itu memotong-motong lumat segenap inci hatinya. Hancur.

"Kenapa pulak?! Baidha' sayang mak. Ini rumah Baidha'," bentak Baidha'. Mak Arwa terdiam. Seperti selalu, gadis ini memang sukar untuk dipujuk.

Akhirnya mengalir juga air mata Mak Arwa. Mereka sama-sama bungkam, tenggelam dalam sebuah pengharapan agar kemelut ini dapat diakhirkan dengan baik. Air mata Mak Arwa sama bercucuran, sederasnya air mata Baidha' saat itu...

2 comments:

.:Ai_SuKi:. said...

Oh akk...
punyai maksud tersirat kah cerita ini?..

ainun said...

erk apsal guna nama pena ana lak jadi watak cerita...huu