Friday, October 30, 2009

Cerdek ep 6: Dah Terlambat.. Ke? (Cerite panjang-pendek)

Jumaat minggu itu Aufa mengambil cuti untuk pulang ke kampung, kerana Khairun dan keluarga akan datang berziarah pada Sabtunya. Aufa terasa sudah hampir benar tarikhnya, tetapi dia tidak membuat sebarang persiapan lagi. Paling dirisaukannya, Aufa merasakan dirinya seolah makin tidak bersedia menjadi isteri. Benarkah dia akan mengikat janji dengan lelaki yang telah 2 tahun tidak ditemuinya itu? Aufa gugup memikirkannya..

Usai solat subuh pagi jumaat yang barokah itu, Aufa membuka kembali lembaran ma'thurat. Dibacanya ma'thurat yang telah lama ditinggalkan itu dengan penuh tadabbur. Kemudian Aufa menyambung teleku di atas sejadah pada pagi hening itu dengan bacaan surah Al Kahfi sehingga habis 110 ayatnya. Kemudian ditadabburi ayat-ayat cinta dari Allah itu satu persatu. Betapa indah empat cerita yang disebut dalam surah itu... Serasa begitu lama tidak mentadabburi ayat-ayat cinta dari Allah, dek kerana menyibukkan diri dengan tugas pejabat dan segala macam urusan dunia.

Pagi itu seolah suatu ketenangan menyusup masuk ke jiwanya. Selesai berpagi-pagi dengan surah Al Kahfi, Aufa bingkas ke dapur dan mengemas serba sedikit.Kemudian dia menuang susu dan muesli jenapa Alpen ke dalam mangkuk sebagai sarapan. Sambil menyuap muesli, Aufa menghidupkan komputer. Beberapa akhbar dan lelaman blog 'wajib baca' dilayarinya. Sedang asyik membaca, satu tetingkap Y!M menjelma.

"Salam. Di pejabat?" Khairun memulakan bicara. Aufa gugup. Hanya memandang sepi kepada tetingkap itu. Apa urusannya mengajak berbual pula?

"Fa, ana tak sabar tunggu esok. Debar. Fa pakai baju warna apa esok? Ana nak pakai kemeja warna sama," Khairun menambah lagi. Jantung Aufa bagai tertikam. Serasa kata-kata Khairun memalu genderang ke dadanya. Namun cepat dikawal perasaannya.

'Aish.. macam tak halal je nih,' kata-kata itu tiba-tiba terdetik di hati Aufa, serentak mengundang rasa tidak selesa. Dibatalkan niatnya untuk menjawab pertanyaan Khairun. Jemari Aufa berhenti menari. Fikirannya kosong. Sudahnya tetingkap Y!M Khairun terbiar tak berjawab, hinggalah Aufa mengambil keputusan untuk terus menutup komputernya.

Sungguh, tiba-tiba Aufa rasa tak selesa. Tidak seperti selalunya, Aufa pasti gembira menerima khabar dari Khairun baik dari Y!M, SMS mahupun panggilan telefon. Namun entah mengapa, hari ini Aufa benar-benar terasa seolah terlalu lama dia membiar jahiliah tersebut berlegar-legar dalam perhubungannya dengan Khairun. Memang benar, dia akan berkahwin dengan Khairun, namun pastinya itu bukan lesen untuk mereka berdua berhubungan melebihi batasan syarak. Perbualan-perbualan yang terlalu peribadi, emel, SMS dan panggilan telefon tanpa urusan penting tentunya tidak sesuai untuk mereka berdua selagi tidak ada ikatan pernikahan yang sah!

Aufa berbaring di katil memikirkan... Benarkah ini bakal suaminya? Bakal bapa kepada anak-anak yang ingin dihantarnya syahid ke syurga? Kata-kata Kakak tempohari benar-benar menghantuinya kini.

2 comments:

dEvOtEeS said...

uuhuu akak... cepat2 sambung lg ye.
Memang membuat diri ter'ponder'..

batupadu said...

ehem2
aufa-akhirnya menjadi batu yang berfikir..alangkah baiknya!