Thursday, January 25, 2007

Allah ma'ik

Pernahkah anda berhadapan dengan suatu situasi, di mana anda dikelilingi oleh banyak manusia tetapi terasa begitu keseorangan? Anda dikelilingi oleh berpuluh-puluh atau mungkin saja beratus atau beribu orang manusia; ada yang memandang anda dengan tersenyum, ada yang buat tak endah, ada yang melarikan pandangannya dari anda, dan tak kurang juga yang menjeling. Segalanya ada, pelbagai. Namun anda tetap terasa keseorangan. Pernahkah?

Kemudian, pernahkah anda dijanjikan suatu hadiah, tetapi kemudian janji itu terbang pergi umpama debu-debu berterbangan. Katakanlah ianya hadiah yang anda paling hajati selama ini. Dan kini anda tak pasti apakah hadiah itu akan jadi milik anda. Kecewakah anda?

Kemudian lagi, pernahkah anda begitu baik dengan sebahagian manusia, tetapi kemudiannya kebaikan anda hilang ditelan oleh rakusnya rasa-rasa individualistik sebahagian manusia yang lain? Hanya kerana anda mempunyai pendirian yang berbeza dengan mereka, anda telah di-lower-grade-kan dan di-tidaklayak-kan untuk berdiri dan duduk dengan mereka. Sedihkah anda?

Kemudiannya lagi, pernahkan anda terasa okay, tetapi apabila bersendirian tiba-tiba air mata anda bercucuran tak tertahankan. Walaupun anda terasa seperti anda sangat tabah dan kuat tekad, tetapi air mata itu seolah tidak tahu henti. Apakah yang anda lakukan?

Kemudian pula lagi, pernahkah anda terasa begitu serabut dan sesak dengan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan, tetapi anda tidak langsung dapat melihat apakah jalan penyelesaian untuk setiap satu perkara tersebut. Apa yang akan anda lakukan? Lari saja?

Haha. Anda tak perlu jawab soalan-soalan di atas. Jika anda pernah melalui kesemua atau sebahagian daripada situasi-situasi d atas, anda kena ingat sesuatu. Anda kena ingat bahawa bukan anda seorang saja yang diuji sedemikian. Dunia ini medan uji. Adatlah jika sekali sekala terasa sedih dan kecewa. Sebenarnya segalanya terpulang pada anda. Anda boleh merasa gembira dan bahagia, kerana kegembiraan itu sebuah pilihan.

Bagaimana memilih untuk gembira? Caranya mudah saja, dekatkan hati anda kepada Sang Pencipta. Berikan hati yang terluka kepada penciptanya, dan Dia akan merawatnya. Dekati Dia. Sayang Dia. Kembalilah kepada Dia. Bukankah telah Dia ajarkan, "Lillahi ma fissamawati wa ma fil ardh"? Kerana segalanya milik Dia, jadi biar Dia yang membantu menyelesaikan. Atau paling tidakpun, mintalah Dia berikan sakinah di jiwa. Kemudian, duduk dan muhasabah. Selesaikan urusan yang perlu satu persatu. Hal-hal kejiwaan, atasi dengan gagah.

Rilekslah. Senyum-senyumlah. Ok?

Thursday, January 18, 2007

Luntur

Katanya, "ini medan sebenar. Medan menguji kekuatan. Medan menilai kemampuan. Medan yang akan menentukan jauh mana kita berlari. Medan yang akan menyaksikan gagah mana mampu berdiri atas jalan ini. Inilah dia medan kami. Medan kita. Medan saya."

Katanya lagi, "saya harus tabah. Selalu bersemangat macam dulu-dulu. Walaupun ujian tak kunjung henti sejak dari nafas pertama yang saya hirup di bumi ini. Macam-macam ada. Sampai rasa macam nak luntur rona semangat yang mewarnai jiwa."

Katanya lagi, "dunia ini medan uji. Kalau tak diuji, jangan mimpilah untuk mengecap nikmat Jannah. Dalam Kitab Ulung bukankah semua cerita-ceriti berkisar tentang uji-uji untuk ke Jannah? Bergembiralah atas nikmat ujian. Usah mengeluh. Kerja sajalah kuat-kuat, mana tahu ini hari terakhir menikmati ujian Allah?"

Wah. Bersemangatnya. Semoga dia tabah. Langkah awda baru bermula. Jarak memisahkan kita, namun hati kita sama. Saya kata padanya "langit kita warnanya merah menyala. Macam warna saga. Bukan lagi warna biru". Lantas, dia tersenyum.

Berusahalah!

Saturday, January 13, 2007

Kelana

Rintik hujan menyelimuti cermin kereta hitam Chevloret itu. Wiper yang menari ke kiri dan ke kanan sekali sekala, gagal menghalang rintik hujan dari terus terjun membasahi cermin itu. Dari balik cermin, bumi Seri Begawan kulihat suram sekali. Begitu suram, hingga kubah-kubah emas pada masjid yang kulihat indah disimbahi cahaya neon itu juga gagal menarik tumpuan fikiranku.

Pertama kali menjejak kaki, ada doa yang dihulur pada Tuhan semesta alam. Biarpun disambut oleh cahaya yang suram, namun aku optimis. Cahaya takkan selamanya suram. Akan ada pelangi selepas hujan, hadiah dari Tuhan. Esok, harapnya perjalananku bakal diteman cahaya mentari. Dan kamu akan kubawa bersamaku.

Thursday, January 04, 2007

Silam

Kadang-kadang
Kite rasa cam nak bunuh masa silam
Nak padam, rendam, klorox-bleach, berus2, letak dlm washing mishin, buh dynamo
Kasi tanggal semua parut masa silam

Tapi
Buatlah cemana pon
Silam itu tetap di situ

Larilah
Pekiklah
Lolonglah
Silam itu tetap di situ
Terpahat, terpatri abadi
Takkan mampu dipadam

Kadang-kadang cam nak tulis surat kat Tuhan
Nak tanye
Apa yg disediakan untuk saye
Pada masa depan
Apekah saye akan terus berada atas jalan ini?
Apekah silam saye akan terus mengejar?
Apekah saye akan menutup mata dalam syahid cinta-Nya?
Adekah saye hanye berangan-angan kosong?

Tapi
Saye tahu
Yang baek itu dari-Nya
Yang tak baek tu dari saye sendiri

Jadik,
Keje jelah kuat-kuat
Manelah tahu saye mati
Pada esok hari?
___________________________________________
Menongkah gelisah,
Menelan pahit,
Meneguk tuba,
Mendamba sinar,
Di hujung sana.

Thursday, December 28, 2006

Bermula Dengan Pengakhiran

Jika pernah aku ditanya
Apa akhirnya aku nanti
Jikalah aku menjawab
"Jika pernah, jika pernah"
Apakah akan terjawab apa akhirnya aku nanti

Jika benar aku mengukir anganan
Menutup mata dalam syahid cinta-Nya
Jikalah aku memikir
"Jika benar, jika benar"
Apakah akan terlihat apa akhirnya aku nanti

Jika telah engkau membayang
Dunia ini penuh hamparan bunga-bunga
Biarlah aku katakan
"Hentikan anganan, hentikanlah"
Kerana hidup ini selamanya takkan pernah mudah

Perjuangan ini mereka bayar dengan harta
Perjuangan ini mereka bayar dengan darah
Perjuangan ini mereka bayar dengan jiwa
Sedang kita pula meniti alur juang
Hanya dengan anganan yang takkan pernah sudah

Maka aku katakan selamat tinggal dahulu
Aku pergi, meneruskan hari-hari dalam hidupku
Aku berlalu, menuju senja merah saga hidupku
Kerana sungguh, aku takkan pernah tahu
Apa akhirnya aku, apa sudahnya aku

Bila terbuka langkah pertama
Teruslah kumelangkah mencari noktahnya
Walau belum kupedulikan diriku pada hujung waktu
Kerana sungguh, aku tak mampu memikir
Apa akhirnya aku, apa sudahnya aku.

"Wamakaru, wamakaraLLah"
-Aku pulang ke pangkuan takdir-Mu-

H33
MarjonsPlym
28/12/2006
09:08

Friday, December 08, 2006

Kotak

Macam tak sangka. Kotak-kotak itu akan berlayar dalam masa seminggu lagi. Mula-mula, isi barang dalam kotak dan kemudian hantar untuk dilayarkan pulang. Selepas itu, jasad pula akan pergi, terbang pulang. Walau mungkin ada secebis dari jiwa tertinggal di bumi peti sejuk ini, namun realitinya jasad akan kembali selagi tiada aral melintang.

Kau tahu? Dulu, emak tak pernah pun beri izin untuk dia pergi. Menangis-nangis emak melarang. Dia memang keras hati. Dengan bekal sokongan dari yang selain emak, dia berkemas juga. Akhirnya emak senyum juga kepada kamera, pada pagi hari dia terbang. Walau emak tak senyum pada dia. Akhirnya, saat sampai ke bumi England, dia pula yang menangis. Itulah, degil sangat.

Ayah? Ayah buat-buat cool. Padahal dia tahu ayah excited. Cuma ayah bimbang kalau-kalau excitement itu tak bernoktah di mana-mana. Bimbang peristiwa hitam tahun 2001 berulang pula ke atas dia. Ah, itukan ketentuan-Nya? Kita sibukkan hal yang sudahpun ditentukan, sedang jannah itukan lebih aula.

13 Februari 2005. Malam sebelum berangkat. Dia mendapat panggilan. Hujung talian, ada suara memohon maaf. Dia sudah kering air mata. Tidak sedih, apatah lagi gembira. Membiar segalanya berlaku dan dia tahu dia akan berlalu dengan gembira. Dan iya. Dua tahun dilalui dengan gembira.

Walau ada juga satu atau dua perkara berlaku, namun secara keleluruhannya dia merasakan kisah di United Kingdom memiliki pengakhiran yang gembira. Di sini dia kenal gelanggang. Di sini dia kenal siapa itu saudara. Di sini dia kenal erti rindu kerana Dia. Dan di sini dia rasa lebih dekat kepada Tuhan.

Walau ada juga yang bertanya, "kau pergi sana belajar bahasa Inggeris atau belajar ape?"
Walau ada yang menuduh, "kau berbisnes rufiqa* jugak ke?"
Dan tak kurang yang berpesan, "belajar-belajar fasal Islam, jangan sampai sesat."

Dia rasa macam nak gelak besar-besar depan yang bertanya, menuduh dan berpesan itu. Hairan pula dengan equation yang tersemat dalam kepala otak orang yang bertanya, menuduh dan berpesan itu. Sifirnya yang semacam ini;

(1) Belajar akademik + belajar Islam = sesat
(2) Belajar akademik + joli katak = normal
(3) Belajar akademik + belajar jadi kurang ajar = terpengaruh dengan barat, tapi ok la tu. Moden.
(4) Belajar akademik + belajar Islam + amalkan + ajak orang sama-sama amalkan = ekstrim

Kau rasa bagaimana? Entah-entah kau pun hafal sifir yang sama. Kategorikan orang ikut (1), (2), (3) atau (4), kemudian kau buat kesimpulan ikut suka. Puas hati, bukan? Aku senyum saja. Biarlah dia bungkus baju-bajunya.
_______________________________________
* bukan kompeni sebenar

Friday, December 01, 2006

Anna

Malam itu tenang sekali. Tidak pernah dia merasakan tenang yang sebegitu. Kau pernah tengok air kosong di dalam gelas jernih? Perhatikan air itu ketika tiada kocakan. Tenang bukan? Itulah ketenangan yang dia rasakan.

Seolah segala ribut telah pergi kini. Hanya tinggal dia dan semangat-semangat lamanya. Mulai mengatur langkah-langkah pendekar, menghadam kembali sisa-sisa darah pahlawan yang mengalir dalam dirinya. Ya, darah pahlawan. Yang satu masa lampau terbuak-buak tatkala perut ditebuk peluru senapang kiwi-kiwi kapal salib. Dan kini darah itu mengalir dalam nadinya pula. Hangat. Menunggu masa menghunus pedang di gelanggang para du'at. Masya-Allah. Berbeza sungguh dengan Anna.

Anna? Apa kau peduli lagi fasal Anna? Buangkan aja ingatan-ingatan bodoh kau tentang Anna. Anna bukan anak pahlawan. Bukan juga puteri cantik. Tidak hebat menghunus pedang. Hanya melukut. Sampai masa, kembali ke pinggiran. Selesai.
___________________________________
[-otak yang kebas-]
[jangan cari makna cerita ini, kerana kau takkan jumpa]
[sebab aku pun tak jumpa]
[ . ]

Sunday, November 19, 2006

"Wahai anakku!
Selama mana kamu hidupkan dari malam-malammu dengan mengulangkaji ilmu dan merujuk buku-buku serta menahan dirimu dari tidur, tidak aku ketahui atas tujuan apakah kamu berbuat demikian? Andai semata-mata tujuanmu itu berniatkan mengharap keindahan dunia, mengecapi kesenangannya, menikmati kemewahannya dan mengumpul kekayaan atau seumpamanya, fawailun laka thumma wailun laka [maka celakalah kamu, sungguh! Celakalah kamu]. Dan seandainya tujuan itu semata-mata meneruskan syariat RasululLah s.a.w, mendidik kelakuanmu, menewas kehendak nafsu buasmu, fathuba laka thumma thuba laka [maka beruntunglah kamu, sungguh! beruntunglah kamu]. Sesungguhnya benarlah kata pepatah Arab;

saharul u'yuni lighoiri wajhika dho'iun, wabukauhunna lighoiri faqdi batilun [bersengkang mata bukan kerana-Mu tiada gunanya; dan tangisan airmata bukan untuk-Mu adalah sia-sia]"

-Imam Al Ghazali-

Saturday, November 18, 2006

Cakap

"Assalamualaikum," sana.
"Wa'alaikumussalam. Ada apa?" sini.
"Terasa macam nak cakap dengan seseorang," sana.
"Fasal apa?" sini.
"Sibuk ke? sana.
"Agak," sini.
"Ok," sana.
"Allah ada," sini.
"Tahu," sana.
"Allahlah tempat mengadu," sini.
"Ya baik," sana.
"Bangun. Malam ni. Jom sama," sini.
Senyap. Ada tangis di situ.
"Kan bagus kalau adik ade sini," sana.
"Tak bagus pun," sini.
"Kenapa?" sana.
"Orang kata ukhuwah tu lebih manis bila jauh," sini.
"Bila dekat asyik nak gaduh," sana. Tergelak dalam sebak.
"Rindu sebenarnya," sini.
"Kenapa tak cakap?" sana.
"Saje. Nak didik sabar. Ada ujian yang jauh lebih besar tak lama lagi," sini.
Sana senyap.
Sini senyap.
Dan titis itu tumpah juga. Berjuraian.

______________________________________
On the authority of Abu Hurayrah (may Allah be pleased with him), who said that the Messenger of Allah (PBUH) said:

Our Lord (glorified and exalted be He) descends each night to the earth's sky when there remains the final third of the night, and He says: Who is saying a prayer to Me that I may answer it? Who is asking something of Me that I may give it him? Who is asking forgiveness of Me that I may forgive him?

It was related by al-Bukhari (also by Muslim, Malik, at-Tirmidhi and Abu Dawud).In a version by Muslim the Hadith ends with the words:
And thus He continues till [the light of] dawn shines.

Wednesday, November 15, 2006

Cotton Buds

Telefon bimbit W810i pemberian ayahnya bergetar, lantas mengeluarkan bunyi-bunyian. Diamat-amati, bunyi itu rupanya lagu Pinky and the Brain. Kamu tahu kartun Pinky and the Brain? Kalau tak tahu, mungkin kamu bukan sezaman dengan dia. Sama ada kamu budak mentah, atau kamu dah tua bangka. Ataupun kamu budak geek. Kamu tahu geek? Kalau kamu tak tahu Pinky and the Brain, kamulah geek. Geek itu macam nerdlah.

Dia terpisat-pisat bangun dan memecat selimut tebal corak petak-petak coklat yang menemani tidurnya saban malam. Dicapai telefon atas meja di hujung kakinya, lantas ditenyeh-tenyeh telefon hitam itu. Mata yang kuyu dan merah kerana kurang tidur, tiba-tiba dia jegilkan. Terkejut benar barangkali membaca mesej itu.

"Salam. Qum. Qiyamullail," kata mesej yang terpapar. Dari Sulaiman Lonjong.

Dia memandang jam di tangan. "Eh, mana aku pakai jam masa tidur malam-malam buta nih," dia merengek sendiri. Matanya melilau mencari jam radio yang bersinar memaparkan waktu tempatan tika itu. Oh, di situ. Atas rak yang penuh dengan buku-buku bertimbun itu. Jam 3:30 pagi rupanya. Pagi betul. Tentu embun jantan sedang mulai menyiram bumi. Eh, kenapa panggil embun jantan? Kalau embun betina turun pukul berapa pula? Dia menggaru-garu kepala memikirkan soalan yang tiba-tiba terlintas di kepala.

Dia berguling-guling atas katil. Malas mahu bangkit dan membasahi wajah dengan air sejuk yang membekukan. Eh, bukan! Bukan dia berguling ala bintang hindustan, kamu jangan bayangkan yang bukan-bukan. Dia bergolek ke kiri dan ke kanan, gaya orang malas. Tentu, syaitan sedang mengalun-alunkan lagu merdu kedalam gegendang telinganya, agar tidur semula. Dengan kedinginan pagi yang memang mengasyikkan lena. Tambah pula dengan kesyahduan suasana pagi hari yang sunyi sepi. Fuh! Memang seronok kalau menyambung tidur. Alah, Sulaiman Lonjong bukannya ada di sini.

Dan. Dia terlena juga dalam berkira-kira dan menghitung-hitung seronoknya lena di waktu ini. Waktu semua insan sedang menganyam mimpi. Dia pun turut sama mencipta mimpi, terlupakan kejutan dan jegilan matanya pada kata-kata mesej yang diterima.

***

Esoknya dia bertemu Wak Jakpar di kelas mengaji, macam biasa. Kamu kenal Wak Jakpar? Cuba kamu google nama itu. Barangkali ada. Tapi jika kamu buat kerja google-menggoogle nama orang, itu maknanya kamu sedang tiada kerja. Baik cari kerja yang lebih berfaedah, tahu? Seperti google-kan nama para sahabat atau biografi 'alim 'ulamak. Lagi berpahala. Bolehlah kamu mendapat bintang kemuliaan dan kebaikan serta kewarakan. Dia menyengih tiba-tiba apabila bermonolog tentang Google dan nama itu. Wak Jakpar menjeling. Dia tersipu, gaya gadis pemalu dari Tamparuli. Wak Jakpar membuntangkan matanya. Dia gerun.

"Ke mana kamu? Udah empat hari memonteng. Udah jemu mengaji ya? Hah? Ni tak datang mengaji, kamu ada qiyam?" Sinis suaranya berbaur tempelak.

Wajahnya merona merah menahan malu. Takut dia menjawab soalan dari Kiyai tua itu. Malunya dia kepada Kak Limah Lengkong yang duduk sama bertalaqqi. Ala, Kak Limah yang suka bikin lengkong santan tu, kamu tahu? Eh. Habislah! Nanti Kak Limah Lengkong ceritakan pula pada Sulaiman Lonjong itu! Kalau tahu dek Sulaiman Lonjong bahawa dia ponteng mengaji, pasti SMS Sulaiman Lonjong berbunyi pedas-pedas pula selepas ini. Aduh. Empat hari memonteng mengaji. Disuruh bangkit qiyam, dia tidur santak ke subuh. Alahai. Apa mahu dijawab kepada si tua ini?!

"Saya sibuk, tok Kiyai. Minggu depan ada peperiksaan Sijil Adab Melayu. Setiap malam sibuk baca buku, ingat nak rehat sekejap dua-tiga hari dari mengaji," dia menjawab juga. Halus suaranya. Bukan lunaklah, tapi halus. Suara orang takut. Kalau lunak, maknanya nanti ditempelak lagi. Dikatanya gatal.

"Oh, sibuk mengulangkaji pelajaran... " Wak Jakpar mengangguk-angguk. Dia menyeringai, lega kerana Wak Jakpar tidak lagi membawa tumpuan hadirin kepadanya. Selamat untuk seketika.

"Baik anak-anak. Esok dan lusa, kita cuti aja 2 hari. Kasihan semua sibuk mahu hadapi peperiksaan. Semua orang tumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Adab Melayu. Tapi ada satu syarat." Wajah dia, Kak Limah Lengkong, dan beberapa hadirin yang lain tiba-tiba bercahaya. Wak Jakpar memberi cuti! Boleh tangkap ikan! Yahu!

Eh, tapi apa syaratnya pula? Jangan dia minta pengeras, sudah. Hati nyamuk tujuk dulangkah. Air mata dua gayungkah. Ataupun dia mahu Sulaiman Lonjong diberitahu tentang cuti ini? Aduh. Mati!

"Syaratnya mudah aja," Wak Jakpar menyeringai lagi, memaparkan baris giginya yang mulai rompong itu. Sesekali, apabila dia membaca huruf 'fa', kedengaran seperti 'pa', dek kerana mahu mengawal angin yang keluar melalui rompong giginya itu. Ha ha. Dia leka berimaginasi lagi.

"Kamu semua tumpukan perhatian pada pelajaran. Jangan datang mengaji. Jangan makan. Jangan tidur. Jangan mandi. Jangan laksanakan apa-apa hak tubuh, jiwa dan ruh kamu. Belajar sungguh-sungguh. Tumpukan aja pada pelajaran selama dua hari, tahu? Semoga berjaya wahai semua pelajar tekun dan dedikasi. Pergilah balik," Wak Jakpar melempar doa yang kudus. Dia ternganga.

"Dan kamu! Jangan takut. Aku udah SMS Sulaiman Lonjong, mengadu tentang kamu. Degil! Dia kata, jika kamu tidak mahu dengar cakap, minta aku berikan pengorek telinga untuk kamu. Mahu? Nanti kubelikan kotonbat," Wak Jakpar menjegil lagi kepadanya.

Dia menikus. Sulaiman Lonjong itu, datuknya yang mempunyai hobi meligan cucu dengan bilahan rotan!

T_T
____________________________
[1] Cerita tanpa motif. Haha. Pergi sambung kerja! Sambung google-google pun bagus jugak. Tambah ilmu.
[2] Ayoh kita menumpukan perhatian terhadap pelajaran.