Monday, October 30, 2006

Balang yang membawa Malang.

ade sekumpulan semut...
duduk dalam balang gegule
yang beracun

Semut P: Weh kengkawan, jom la kite kawal diri kite supaya jangan makan bende beracun ni, sehinggalah kite ketemu jalan kuar dari balang nih. Walopon sedap, tapi bahaye woo.
Semut Q: Ok, tapi kite harap awak ingatkan la kite selalu. Kite kadang2 terlupe, sebab bile nengok gegule ni cam sedap dan lazat berkrim, kite rase nak geget jek.
Semut R: Ha ah, kite pon same. Awak kene ingatkan kite jugak tau P. Kite takot sgt kalo kite lupe.
Semut P: Kite akan selalu ingatkan awak. Kite nak keluar sama-sama dengan awak semua dalam keadaan sihat dan cargas. Kite sayang awak semua cam kite sayang adik beradik kite kat sarang semut tuh.
Semut Q: Okeh. Jom kite berpecah sekejap, cari jalan keluar. P, awak ikut timur dan R ikut barat. Kite ikut selatan.
Semut P: Korang jangan lupe tau! Janji ye, jangan geget gegule tu!!

Semut2 yang bertige pun berpecah menjalankan tugas masing-masing...
Sehari...
Dua hari...
Semut P balik ke tempat diorg bertemu.

Tapi Q ngan R tak muncul-muncul.
Sehari...
Dua hari...
Tiga hari...
Semut P tunggu dengan sabo,
sebab nak tunjuk jalan kuar.

Akhirnya barulah Semut P tahu,
Semut Q ngan R dah separuh mabuk.
Diorang dah geget gegula tu.
Gegula tu gegula racun.
Diorang tahu.
Tapi diorang terlupe.
Diorang geget jugak.
Geget dan geget lagik.

Semut P hanya boleh nangis-nangis sengsorang.
Selepas melukiskan peta jalan keluar,
Semut P menyusup keluar dari balang gegule
melalui satu jalan kecik yg ditunjuki oleh pakcik kerengge.

"Gunekanle peta ni
bile korang dah sedo dari mabuk gegule
yg korang geget tadi.
Kite ciao dulu. Tata."
tu baris kata
tulisan Semut P
seblom melangkah pergi.


__________________________________________
moral of the story;
[1] jangan belasah gegule manyak2. nanti epilepsi.
[2] gegule memang sedap. tapi kek pisang laaaagi sedap.

Monday, October 23, 2006

Kerana apabila arus getar hati menyambut kegembiraan itu semakin deras, jiwa akhirnya akur untuk pulang kepada fitrah. Moga tenang menghadapi hari penuh gelombang. Ada beribu kegembiraan menanti jiwa-jiwa yang merindui taman yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Salam aidilfitri. Kullu am wa antum bikhair. Semoga amalan aku dan kamu diterima.

___________________________________________
Kata-kata aku, hati-hati aku, mungkin kamu gagal memahami. Maaf.

Saturday, October 21, 2006

Pada Waktu Yang Semakin Suntuk

Kurang lebih sepuluh minggu. Hanya itu masa yang dia ada untuk berleha-leha lagho. Selepas itu, dia tahu dia perlu pasrah. Dia perlu ke seberang, kembali ke gagang. Dia, yang dahulunya datang dengan seribu impian, kini perlu kembali ke gagang. Impian silam kini bertukar, cita-cita kini telahpun mengganti anganan yang disimpan.

Dengan baki masa yang terlalu suntuk, ditimbuni pula dengan pelbagai kongkongan duniawi dan ukhrawi. Wah, bagai tidak cukup putaran jam yang 24. Serasa mahu ditambah menjadi 29kah, 35kah, 44kah...

Dia begitu berharap, yang terlalu amat sangat sekali, bahawa dia dimatikan sebagai orang yang berbakti. Kemudian dihidupkan kembali sebagai penghuni taman yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Wallahi, cita-cita itu terlalu akbar! Pasak iman dalam dada masih goyah, masakan cita-cita menjadi realiti?

Hehe. Kamu tak faham tulisan saya? Abaikan. Baik kamu mengaji al-Quran, ada pahala! =)

Friday, October 20, 2006

nihil

bulan
dikerudungi awan
langit
melakar hujan
angin
berhias taufan

mohon amat
ada rahmat
dalam hikmat

[jangan cari noktahnya di mana]

-----> . <-----

Sunday, October 15, 2006

Warkah Tidak Beralamat

Assalamualaikum warahmatullah.

Sahabat,
Kudoakan engkau sejahtera di dalam perlindungan-Nya. Semoga segala urusanmu dipermudah, semudah air mengalir di sungai. Sungguh, kutahu engkau sedang resah gelisah dengan uji-uji dunia yang bertali arus saat ini. Tambah pula dengan uji-uji iman yang memang keras menggoyah tugu taqwa. Namun doaku sentiasa mengiringi, moga-moga kita terpilih menjadi insan pilihan. Insan yang dipilih Tuhan lantaran keimanan.

Aku, seperti biasa. Ramadhan di bumi Inggeris juga biasa-biasa. Segalanya tenang dan damai, tambah pula dengan ketibaan musim luruh nan damai. Entah kenapa, aku begitu gemar pasca soifi seperti ini. Melonjak-lonjak fuadku menantikan saat-saat melihat dedaunan berguguran menyelimuti bumi. Musim kharif. Reranting yang dihias daun-daun menguning, yang menunggu masa gugur menyembah bumi serta pohon-pohon botak memang memikat jiwa. Suasana yang suram dengan simbahan cahaya mentari yang sangat minima pula tidak pernah gagal membuat hati merasa tenang dan sejuk. Masya-Allah.

Sahabatku di jalan Allah,
Bagaimana kamu? Bagaimana juangmu? Bagaimana sahabat-sahabat kita di situ? Bagaimana kamu semua? Masihkah gagah berlari? Aku tahu, ribut nafsu yang gila sering saja melanda, namun masihkah kau teruskan larian? Sukar. Aku tahu ia sukar. Namun usahlah kita berhenti, usah juga walau berfikir tentang berhenti berlari. Jalan ini jelas sudah diterangi cahaya, langkah juga telah kita mulakan. Ayuh, teruskan. Gagahi diri.

Jika kau pernah merasa lelah, ketahui aku juga pernah begitu. Namun sahabat seperti kamulah yang aku harapkan untuk membangkit semangat mengorak langkah. Masih ingatkah? Kalaulah saat itu kau mengatakan "sampai di sini sajalah larianmu", nescaya saat itu jugalah aku akan tersungkur menyembam ke bumi. Hilang semangat. Patah sebelah kaki. Walau aku tahu aku tetap perlu berlari. Walau dengan menyeret sebelah kaki. Walau hanya dengan mengengsot. Aku harus teruskan, aku tahu itu...aku tahu.

Namun semangatmu satu masa dahulu memberi pulih padaku. Serasa begitu gagah untuk terus melangkah. Kakiku tidak patah, malah kau bantu pula aku. Sungguh, dunia ini memang medan uji. Medan tempat Dia melihat siapa antara engkau, aku, dia dan mereka yang beramal soleh. Yang menabur bakti. Yang mendukung dustur Ilahi. Semangatmu, harusnya kau genggam buat dirimu kini.

Tuhan, permudahkanlah urusan kami, jangan Kau susahkan. Jadikan hati-hati kami dekat pada-Mu. Jadikan jiwa-jiwa kami tidak gentar dengan ujian-Mu. Jadikan kami hamba-hamba yang bersyukur. Kami insan yang menzalimi diri kami, maka ampuni kami. Jika Engkau tidak mengampuni dan merahmati kami, sesungguhnya kami termasuk dalam golongan yang rugi. Jangan Kau jadikan kami golongan yang rugi, tetapi jadikanlah kami orang-orang yang berbakti.

Sahabat,
Kembalilah kepada semangatmu yang dulu. Kembalilah. Supaya yang lain-lain tidak patah semangat. Supaya dapat kita sama-sama melangkah gagah demi mengembalikan gemilang kejayaan KITA. Kerana Dia. Lillahi Ta'ala.

Wassalam.

Friday, October 13, 2006

[ t a n p a t a j u k ]

Pada semarak semangat
Yang dihambur dari jasad
Ada genang titis jernih
Pada sungkur sujud memohon tekad

Larianku baru selangkah
Namun mengapa terasa lelah
Mungkinkah hati terpasung rantai
Ketika cita dikendong gagah

Duhai hati, sungguh
Rantaianmu memberati jalan yang kutempuh
Walau mahumu indah dalam jiwaku
Namun izin kubangkit dari lenamu

Tinggallah engkau wahai hati
Kuleraikan pasungan rantai ini
Kehendakmu bukan lagi keutamaanku
Kemahuanmu kini kekal dalam semadi...

12.50
H33(e)
MarjonsPlym

Tuesday, October 10, 2006

Istafti Qalbak

[Tanyalah Hatimu]

Dia diam, memerhati alam dari celahan tabir kamar tidurnya. Matahari seperti segan menunjuk wajah. Bayu musim luruh mulai bertiup, sesekali memberi ketar pada tubuh. Dedaunan yang berguguran mulai merampas ceria pepohonan. Sepertimana kelamnya cahaya matahari, seperti itulah hatinya. Cerianya hilang, ghuyub bersama hari yang berlalu.

Diamati pohon-pohon yang berdiri kaku menghiasi laman. Pohon-pohon yang pernah begitu ceria merimbun menghiasi laman kini tidak lagi begitu. Segalanya yang dahulu hijau kini umpama mati, dibunuh oleh warna-warna musim luruh.

Seketika, dia menutup mata. Cuba menyelami hatinya. Kala itu, serasa enggan dibuka lagi matanya untuk melihat dunia. Seolah enggan menghadapi semua itu lagi. Seperti ingin lari dari memikul beban yang menyesakkan. Namun seketika itu kata-kata Abah melintasi mindanya.

"Tanyalah hatimu. Tenteramkah pada keputusan itu? Jika benar penat dengan dugaan Tuhan Yang Maha Kuasa, jika benar lelah dengan 'padang permainan' ini, ke mana pula dapat kamu lari?"

"Bukan mahu lari, tetapi Zainab terasa ujian ini terlalu berat, tak tertanggung. Satu demi satu dugaan bertamu. Terasa perlukan masa untuk mengatur segalanya agar menjadi sediakala..."

"Berat? Bukankah telah Dia janjikan bahawa segala amal kita takkan disia-siakan?[1] Anakku, belajarlah menjadi wanita cekal. Dugaan memang datang dan pergi, hadapilah. Usah lari"

"Bukan tidak mahu, cuma Zainab risau Zainab tak mampu, Abah"

"Sungguh, dia tidak akan menduga kita lebih dari yang mampu kita tanggung. Dia itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Dia pasti menjagamu, jika kamu menjaga-Nya"

"Abah, Zainab perlu doa Abah. Semangat dari Abah. Doakan ya?"

"Abah tidak mampu selalu di sisimu. Hanya Dia yang akan sentiasa bersamamu. Hanya Dia temanmu. Ihfazillah, yahfazuk.[2] Itu kalam Nabi tentang janji Allah yang pasti"

Serentak, air matanya berderai. Saat dia ragu dengan dirinya, lelaki tua itu memberi yakin. Mengingatkan tentang apa yang dia terlupakan. Kata-katanya ringkas, namun penuh makna. Perlahan-lahan, dibuka matanya. Seolah-olah ada kekuatan menyelinap segenap dirinya. Sebak di dada terasa kurang.

Tuhan, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah kesalahan-kesalahan kami. Matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti. Kerana sungguh, syurga yang manis itu akan cuba kami langsaikan maharnya hanya dengan izin-Mu.
____________________________________________________
[1] 3:195
[2] Matan arba'in No:19

Saturday, October 07, 2006

Adik dan Ugonda

"Abang, nanti abang balik dari Ugonda, Abang nak buat apa?" tanya Si Adik di corong Skype. Girang hatinya dapat berbicara dengan Si Abang yang dirindui. Si Ibu di sisi tersenyum.

"Abang nak buat adik faham Islam. Lepastu kita pergi ajak orang fahami Islam. Nak?" Si Abang mengajak. Bersungguh.

"Eh. Hehe. Kelakarlah Abang ni," Si Adik tergelak kecil, terhibur dengan kesungguhan si Abang.

"Tak berlawak. Cakap betul ni," serius.

"Abang bersemangat betul nak bagi orang faham Islam. Nanti dah besar Adik nak jadi macam Abang, nak pergi Ugonda jugak. Nanti boleh belajar fasal Islam," walau jauh berjuta batu, namun ada juga tempias hangat semangat kepada Si Adik. Si Ibu diam memerhati butir perbualan antara dua anak lelakinya itu.

"Jangan!"

"Habis?"

"Kena janji untuk jadi lebih bagus dari Abang. Lebih baik, lebih berilmu. Lebih soleh, lebih ligat memusleh. Janji?"

Diam. Suasana bening.

"Janji?"

"Ok, janji. InsyaAllah," Si Adik tersenyum. Tiba-tiba Si Ibu menyampuk.

"Hai Abrar, kamu tu dihantar ke Ugonda untuk berbisnes syarikat kamu. Ni bisnes apa pulak berjanji-janji dengan adik macamni? Mama tak sukalah!" Si Abang menelan liur. Perit.

"Bisnes dengan Tuhan, Ma. Moga-moga Mama ada bahagian bila untung nanti. Abrar sayang Mama."

Wednesday, October 04, 2006

Adik Kecil

"Kenapa hidup ni susah sangat yek Umi?" Adik kecil menyoal. Gusar. Ada keruh pada wajahnya.

"Hidup kan ujian bagi orang beriman. Untuk Allah menilai siapa antara kita yang beramal soleh. Hidup mungkin saja syurga bagi orang yang mencintai dunia, tetapi dunia hanyalah padang permainan untuk kita. Sampai masanya, kena 'balik' juga," perempuan separuh abad itu membuka bicara. Terasa menusuk ke kalbu. Aku hanya diam, berbuat tak tahu. Mencuri dengar, sebenarnya.

"Tak larat. Umi, Adik sedih. Kakak pun sedih..." Dia mengadu lagi.

"Sabarlah. Lalui kesusahan dengan redha, di situ ada kekuatan. Ujian datang bukan untuk menyiksa jiwa kita, tetapi sebagai penguat jiwa. Supaya kita lebih dekat pada-Nya. Itupun jika kita memilih untuk dekat pada-Nya. Sayang pada-Nya. Sayang Tuhan tak?" Perempuan separuh umur itu memujuk lagi.

"Sayang. Tapi Adik rasa macam nak hidup dalam mimpi. Nak mimpi syurga. Umi jauh, Abah jauh. Tokwan jauh. Camne," dia merengek. Ada sayu pada nada suaranya.

"Jika benar mahu menurut langkah pejuang, Adik mesti kuat. Jika benar mahu turut sama membangkit ummat, Adik mesti tabah. Thabat. Adik kena hadapi ujian yang tersedia ini. Mesti. Dia kan ada. Maha Pengasih, Maha Penyayang. Carilah Dia, selangkah Adik mendekati, seribu langkah Dia menghampiri," kata-kata itu diringi tumpahan air mata. Adik kecil menangis teresak-esak.

"Kakak, Umi kata Adik kena kuat. Jom kita jadik kuat. Jangan sedih-sedih. Allah ada. Jom kita cari Dia," Adik kecil berpaling, berbicara dengan aku. Serentak, si kecil itu berlari keluar.

Aku termangu di sudut itu, terkesima dengan Adik kecil itu. Dia, yang sekecil itu, pandai memujuk aku. Subhanallah.

Sejurus selepas itu, aku tersedar. Adik?





Itu, rupanya mimpiku.

Monday, October 02, 2006

Dua Puluh Tiga

Sebulan. Lebih.

Lebih sebulan, dan dia sedikitpun tidak teringat angka itu melintasi hidupnya. Maaf, hanya itu yang bisa dilafaz. Benarnya ingatan itu bukan tidak ada. Sesekali, melintas juga. Namun, ada sesuatu yang membuat dia bimbang, lantas tidak betah memikirkan. Sesuatu? Seseorang, bukan sesuatu. Itu yang sebetulnya. Entah.

Kecamuk. Itu betulnya yang menguasai akal. Bermacam perkara yang lain sarat berselirat di fikiran, masakan dapat memikir yang tidak-tidak. United Kingdom, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Segamat, Muar, Batu Pahat, Lembah Pantai, Padang Pauh, MMU Cyberjaya, KLIA dan kini United Kingdom semula. Barangkali itu puncanya dia terlupa. Mungkin.

Tidak sama lagi seperti dahulu, itulah yang pasti kini. Masakan sama, bila masing-masing kini ada haluan perjalanan sendiri. Sendiri memilihnya, maka mungkin inilah sebenar hasilnya. Jalan di hadapan terlalu panjang. Moga, kedua-duanya bahagia.

Dua puluh tiga, lapan. Kini dua puluh lima.
Hingga bertemu lagi.
=)

Nah hadiah

Sunday, October 01, 2006

Delegasi Ramadhan

"Kamu dapat jemputan ke Ramadhan Party budak-budak Zimbabwe itu?" Subhi melempar pertanyaan di hujung talian.

"Bila?" Aqilah menyoal. Terkejut. Parti Ramadhan? Ifthor, barangkali?

"Petang inilah. Di rumah Baidha'. Kamu tak tahu?" Subhi bertanya lagi. Musykil.

"Mengapa Baidha' tidak pun membuka mulut menjemput saya? Baru saja bertemunya di perpustakaan tidak berapa ketika yang lalu. Sedang berjalan pulang ni," Aqilah mengutarakan kemusykilannya pula, sambil terus mengatur langkahan menuju Dewan Kediaman. Hampir saja terjerumus ke dalam longkang kering di kiri laluan pulang, dek kerana terkejut dengan berita Parti Ramadhan pelajar Zimbabwe itu.

"Yalah, masakan dia menjemput kamu. Kerana saya dan Zuhri yang dijemputnya. Dengarnya ramai juga pelajar lelaki yang mereka undang," Subhi menjawab sinis. Aqilah faham.

"Apa yang kamu nak buat sekarang?" Aqilah menyoal, gusar. Risau kalau-kalau perkara lama berulang lagi. Perkara yang telah bertahun-tahun begitu. Akan berulang lagikah kali ini?

"Kamu pergilah cakap dengan Baidha'. Saya telahpun bersepakat dengan Zuhri untuk menolak jemputan itu. Tetapi, saya tak fikir Baidha' faham. Pergilah beritahu pada Baidha', terangkan apa yang sepatutnya," Subhi bersuara, atau dengan kata lain mengeluarkan pekeliling. Aqilah tersentap. Langkahan terhenti di pinggir tasik universiti.

"Susah la. Saudara memang mudah kerana hanya perlu bercakap dengan saya. Saya yang susah mahu berhadapan dengan Baidha' tu. Fahamkah dia jika saya beritahu apa yang sepatutnya?" Aqilah menyuarakan isi hati. Sedikit geram, mungkin.

"Hmm. Kena cakap. Kalau kita tak beritahu, masakan mereka tahu. Kalau tahu pun, mungkin mereka terlupa. Ingatkanlah dia. Ramadhan itu suci, jangan cemarkan dengan jahiliyah. Bukankah nabi kata la yukminu ahadukum hatta yuhibba li akhihi, ma yuhibbu linafsih[1]? Tak sayang saudara seakidah? Nanti dia kena kat akhirat, kamu kena sekali. Silap-silap, saya pun dapat saham. Tak takut? Saya takut..." Subhi memujuk Aqilah, seperti memujuk anak-anak kecil. Disogok dengan syurga neraka. Tapi ada betulnya. Kerana syurga itu benar, dan neraka itu juga benar. 'Mengapa mesti aku fikirkan pujukan itu layaknya untuk kanak-kanak saja? Astaghfirullah,' bisik Aqilah seorangan.

"Tapi, saya rasa tak layak nak beri peringatan. Saya pun jahat jugak dulu-dulu. Sama-sama bergembira di Ramadhan Party mereka. Sama-sama bergaul mesra dengan lelaki-lelaki Zimbabwe itu. Sama-sama memasak dan membakar daging barbeku dengan girang, tanpa terfikir batas pergaulan. Bergurau senda, mesra. Ah, bencinya!" Aqilah buntu. Kecewa dengan silamnya.

"Ah, jika mahu lakukan saja. Yang dulu harusnya kamu padam dengan kebaikan. Atbi'ie assaiyyi'atal hasanata tamhuha[2]. Bila lagi? Kalau nak membaiki ummah, kenalah ada tekad yang waja. Wad'u ila robbika innaka la'ala hudan mustaqim[3]! Kalau nak buat perkara benar, kamu ada Tuhan sebagai pembela. Nak ke taknak ni?" Kata-kata Subhi menyuntik semangat.

"Baik! Berusahalah!" Semangat. Aqilah serentak menekan punat merah pada telefon selular. Malas berdalih lagi. 'Ya! Inilah masanya,' hati Aqilah berdetik.

'Ramadhan itukan suci, takkan kubiar lumpur noda menghiasi suci Ramadhan. Jika benar Baidha' terlupa, aku harus mengingatkan. Telah begitu lama kami hidup dalam kegelapan. Sekian lama kami larut dalam identiti yang bukan milik kami. Terlalu lama aku beruzlah mengasing diri. Hidup ini hanya sebuah perjalanan kepada keabadian, takkan kutemui Raudhah jika duduk beruzlah mengasing diri!' Itu tekad Aqilah pada hening petang 1 Ramadhan. Dengan penuh keazaman, Aqilah melangkah ke bilik Baidha'.

Ramadhan itu. Kali itu benarnya Ramdhan terakhir bagi Aqilah. Hayatnya tamat beberapa langkah sebelum sempat menunaikan hasrat besar, cita-cita akbar. Aqilah, bersama semangatnya mengislah ummah, telah terbunuh dalam kemalangan ketika melintasi jalan untuk ke bilik Baidha'.

Maka, siapakah yang tinggal untuk menyambung delegasinya itu?
______________________________
[1] "tidak beriman seseorang itu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri"- No.13 matan arba'in
[2] "iringi kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya" -No.18 matan arba'in
[3] "maka serulah kepada Tuhanmu, sesungguhnya engkau berada di atas petunjuk yang lurus" -QS 22:67
[4] Halamak. Tragis nyeh. Tetapi cerita, nama dan watak sekadar rekaan.